Lim Kit Siang

Malaysia’s foreign debt – Parliament Question

SOALAN:
Lim Kit Siang (Ipoh Timur) minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah tindakan yang telah diambil untuk memastikan bahawa Malaysia tidak akan mengikut jejak langkah Iceland dan Greece dan menjadi sebuah negara bankrap yang memerlukan penyelamatan dan masyarakat serantau atau antarabangsa.

JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,

  1. Untuk makluman Yang Berhormat, hutang negara adalah hutang luar negara yang terdiri daripada hutang luar jangka sederhana dan panjang bagi Kerajaan Persekutuan, Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK) dan sektor swasta serta hutang jangka pendek sektor perbankan dan swasta. Peratusan hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tahun 2004 hingga 2009 kekal terurus dengan purata 34.6% dan pecahannya adalah seperti berikut:

    Tahun Peratus hutang negara kepada KDNK
    2004 42.3
    2005 37.8
    2006 32.1
    2007 29.2
    2008 31.9
    2009 34.3
  2. Pada tahun 2009, jumlah hutang negara berkurangan kepada RM233.92 bilion daripada RM236.18 bilion pada tahun 2008 walaupun peratusannya meningkat sedikit. Pengurangan adalah disebabkan bayaran balik bersih hutang jangka sederhana dan panjang oleh Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta yang lebih mengimbangi ambilan bersih yang lebih besar oleh Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK). Kekukuhan nilai ringgit berbanding dengan dolar AS juga menyumbang kepada penurunan hutang luar negara secara keseluruhan. Nisbah khidmat hutang luar negara pada 31 Disember 2009 dianggarkan pada tahap 7.0% mencerminkan kekukuhan pendapatan eksport untuk membayar tanggungan hutang. Nisbah rizab antarabangsa kepada hutang luar jangka pendek lebih daripada mencukupi bagi menampung 4.2 kali hutang luar jangka pendek.

  3. Kerajaan terus melaksanakan pengurusan hutang luar negeri yang berhemat dan pragmatik untuk memudahkan pelbagaian pinjaman luar negeri oleh sektor awam dan sektor swasta, meminimumkan risiko berkaitan obligasi luar negeri yang besar dan kemampuan khidmat bayaran hutang. Bagi sektor swasta, pinjaman luar negeri hanya dibuat jika perlu untuk membiayai aktiviti ekonomi yang produktif yang mampu menjana terimaan tukaran asing untuk membayar balik pinjaman. Langkah-langkah khusus yang diambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan hutang luar negara adalah seperti berikut:

    1. dasar semasa Kerajaan ialah mengutamakan pinjaman dalam negeri yang tidak menyebabkan inflasi. Ini adalah kerana mudah tunai yang tinggi di pasaran domestik dan kos pinjaman yang lebih murah.

    2. bagi menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan di samping memelihara kedudukan imbangan pembayaran, pengurusan hutang luar negari disokong oleh sistem pengawasan dan pemantauan hutang yang menyeluruh. Ini bagi membolehkan pengesanan awal risiko dan kelemahan yang berpunca daripada pendedahan hutang luar negari keseluruhan;

    3. selaras dengan matlamat konsolidasi kedudukan fiskal secara berperingkat, Bajet 2010 memberi penekanan kepada langkah-langkah untuk menambah balik keberkesanan dan kecekapan pendapatan dan perbelanjaan Kerajaan. Kerajaan sedang mengkaji penstrukturan sistem subsidi bahan api yang merupakan sebahagian besar dalam perbelanjaan tahunan Kerajaan;

    4. bagi mempertahankan kedudukan fiskal yang berterusan tanpa menjejaskan matlamat pertumbuhan dan pembangunan yang menyeluruh, Kerajaan juga akan memperhebat program perkongsian sektor awam-swasta (public-private partnership program) untuk beberapa projek berimpak tinggi termasuk projek jalur lebar berkelajuan tinggi, koridor pembangunan wilayah dan infrastruktur pengangkutan awam; dan

    5. untuk memperkukuhkan aliran pendapatan, Kerajaan sedang berusaha memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (goods and seivices tax, GST). Melalul GST, asas pendapatan Kerajaan akan diperluas dan sekaligus lebih terlindung daripada ayunan kitaran harga minyak.

  4. Kejayaan Malaysia mengekalkan hutang negara di paras yang terkawal dan langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan kadar hutang, Malaysia tidak akan mengalami masalah seperti yang berlaku di Greece dan Iceland. Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan akan terus dirancang, dipantau dan dikawal dengan baik dan bertanggungjawab. Paras defisit dijangka akan menurun dan paras hutang akan terus terkawal pada jangka masa sederhana dan panjang. Usaha-usaha ini akan membantu memastikan paras hutang dan defisit Kerajaan Persekutuan tidak akan meningkat sehingga menjejaskan kemampuan negara membayar balik hutang.

Exit mobile version