Malaysia Hanya Berjaya Menjadi Ekonomi Berpendapatan Tinggi Dengan Mendemokrasikan Ekonomi, Reformasikan Perkhidmatan Awam Dan Membebaskan Daya Kreativiti Dan Innovasi Sumber Manusia (Bahagian 1)


Ucapan Belanjawan Setiausaha-Agung DAP Dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng Di Dewan Rakyat Pada 26.10.2009 (Bahagian 1)

Malaysia hanya boleh berjaya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dengan mendemokrasikan ekonomi, reformasikan perkhidmatan awam dan membebaskan daya kreativiti dan innovasi sumber manusia. Syor-syor mendemokrasikan ekonomi telahpun dibukukan awal bulan ini oleh DAP dalam Belanjawan Alternatif DAP yang menggariskan strategi untuk menjana transformasi kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Refomasi perkhidmatan awam adalah perlu dengan ratio 4.68% anggota perkhidmatan awam dengan penduduk paling tinggi berbanding dengan Jepun 3.23%, Thailand 2%, Korea Selatan 1.85%, Filipina 1.8% dan Indonesia 1.8%. Emolumen sebanyak RM38 bilion pada tahun ini telah meningkat kepada RM42 bilion tahun depan ataupun meningkat 23.7% kepada 30.5% perbelanjaan mengurus. Sekiranya pencen ditambah adalah RM46 bilion pada tahun ini telahpun meningkat kepada RM53 bilion ataupun meningkat daripda 28.8% kepada 38.3% keseluruhan perbelanjaan mengurus.

Emolumen dan pencen merupakan komponen paling besar dalam perbelanjaan mengurus. Itu tidak menjadi masalah sekiranya kita dapat hasil atau imbuhan balik daripada perbelanjaan RM 53 bilion. Yang diharapkan ialah menjadi penggerak dan pemangkin ekonomi dan bukan sebaliknya. Di antara masalah ialah sikap acuh tak acuh, silo mentaliti yang menggagalkan etika kerja berpasukan, amalan kerja yang tidak sihat dan tidak berintegriti, fikiran jumud yang tidak mahu berubah serta juga menghalang penjawat kerajaan muda yang bermentaliti antarabangsa.

Bila proses pengswastaan diperkenalkan pada tahun 80an telahpun dijanjikan bahawa ia akan membantu mengurangkan perbelanjaan emolument dan bilangan anggota perkhidmatan awam pada masa itu 600,000 orang. Dua puluh lima tahun kemudian bilangan anggota perkhidmatan tidak kurang sebaliknya telah bertambah kepada 1.22 juta orang tahun ini.

Apakah langkah yang diambil oleh Pemudah dan Pemandu untuk mengatasi masalah ini? Apakah guna Pemudah sekiranya syor mereka tidak diambilkira. Contohnya Pemudah pernah dua tahun lepas nyatakan bahawa rasuah menyebabkan kerugian kepada Malaysia sebanyak RM10 billion setahun atau 1% GDP. Keadaan bertambah buruk lagi bila hari ini di suratkhabar The Star adalah dianggarkan bayaran lebih untuk perbekalan dan kontrak untuk semua keperluan kerajaan seperti terowong air, IT dan komputer menyebabkan kerajan pusat kehilangan RM28 bilion setahun. Tidak menghairankan keadaan tidak bertambah baik bila kedudukan Malaysia di bawah Corruption Perception Index terus jatuh ke tangga 47.

Kegagalan pihak Ketua Peguam Negara mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dalam skendal pita video V.K. Lingam sungguhpun Suruhanjaya di Raja telah menimbulkan beberapa seksyen dan akta yang terbabit amat mendukacitakan. Macam mana hendak jawab soalan rakyat biasa apakah perlunya bukti yang mencukupi bila sudah ada pita video yang merakamkan kesalahan terbabit?

Malaysia tidak boleh bergantung lagi kepada sumber semulajadi dengan sumbangan 42% kepada hasil Negara untuk tahun 2009 dan 40% untuk 2010. Kita harus membebaskan potensi, daya kreativiti dan innovasi khususnya dalam sektor komputer, ICT dan berteknologi tinggi. Tembusan jalur lebar sebanyak 25% berbanding dengan Korea Selatan (95%) amat membimbangkan tetapi Malaysia boleh kejar dengan free wifi. Tidak perlu belanjakan RM11.3 bilion untuk projek High Speed Broad Band, RM6 bilion pun sudah cukup untuk buat free wifi dengan kerjasama sektor swasta.

Sudah sampai masanya kita memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, Iban dan Kadazan untuk berdaya saing diperingkat antarabangsa. Saya yakin mereka boleh menjadi ahli profesyenal dan syarikat perniagaan yang sama baik ataupun lebih baik tanpa dikongkong oleh mentality subsidi sekiranya kita pilih yang cemerlang tanpa kira kabel politik, bangsa agama dan latar belakang. Lihatlah YB Ketua Pembangkang anak Melayu jati, di mana kebolehan dan bakatnya diakui umum di peringkat antarabangsa bukan sahaja jaguh kampong menjadi jemputan rebutan persidangan antarabangsa sampai menjadi associate professor di university unggul Amerika Syarikat John Hopkins University. Kalau dasar berdasarkan warna kulit dan kabel politik ini diteruskan maka, yang mahu dibantu untuk diberikan menfaat akan terus terpinggir.

Kita boleh lihat pengalaman negeri Cina yang pada satu masa mengamalkan masyarakat sama-rata tanpa melihat kemampuan yang membunuh daya inisiatif. Ini merupakan punca utama Cina terus jadi mundur dan miskin sehingga dipersendakan sebagai Pesakit Ekonomi Asia pada tahun 60an dan 70an. Tetapi selepas dasar liberalisasi dan mementingkan sumber manusia diperkenalkan maka dalam satu generasi negeri Cina telah menjanakan transformasi yang membolehkan Cina menjadi ekonomi kedua besar di dunia pada 2010, melebihi Jepun. Perkembangan serupa pun wujud di India yang mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi daripada Malaysia.

Apabila ekonomi dunia berada dalam prestasi mendatar, kerajaan perlu menjana permintaan dalaman serta meningkatkan daya saing. Namun begitu, di sebalik keperluan mendesak untuk kerajaan meningkatkan perbelanjaan, kerajaan BN terpaksa menerima hakikat kekurangan dana untuk berbelanja dan terpaksa berhempas-pulas membiayai kos pentadbiran kerajaan.

Apa yang lebih memburukkan keadaan ialah harga minyak menjunam ke paras bawah harga yang dianggarkan iaitu US$125 setong pada tahun 2009, bermakna kerajaan tiada tambahan pendapatan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan pada tahun 2010.

Sumbangan pendapatan minyak dan gas kepada Kerajaan telah meningkat daripada RM19 bilion pada 2004 kepada RM70 bilion tahun 2009 namun begitu, semua pendapatan itu telah dibelanjakan. Bukan sahaja kita tidak menyimpan untuk hari-hari gelap di masa hadapan, kerajaan meminjam secara meluas dalam tempoh itu sehingga menyebabkan negara menanggung defisit bajet 12 tahun berturut-turut, dan hutang persekutuan terus menimbun sehingga RM 363 bilion meningkat 18.3% tahun ini atau 52.4% KDNK berbanding dengan 41,5% tahun lepas tanpa mengira sama ada ekonomi tumbuh atau mengalami kegawatan.

Keadaan mungkin berlainan jika perolehan umpama durian runtuh ini dilabur atau dibelanjakan untuk projek pembangunan. Walau bagaimanapun, sebahagian besar lebihan pendapatan ini dibelanjakan untuk operasi kerajaan untuk menambah bilangan pegawai kerajaan, bayaran pembekalan dan penyelenggaraan perkhidmatan selain urusan luar biasa untuk pampasan kepada syarikat pemegang konsesi tol yang kaya-raya. Ini belum termasuk bayaran dalam pelaburan penuh skandal seperti RM12.5 bilion Port Klang Free Zone, jutaan ringgit yang lesap dalam anak syarikat Kementerian Pelancongan, Pempena dan harga tinggi dalam bayaran belian alat tulis dan barangan harian lain seperti pen, kamera digital dan kertas.

Antara tahun 2003 hingga 2009, perbelanjaan operasi kerajaan meningkat secara mendadak daripada RM53.4 bilion tahun 2000 kepada RM80.5 bilion apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri tahun 2004, kepada RM154.2 bilion tahun ini. Walau bagaimanapun, perbelanjaan pembangunan yang mempunyai kesan gandaan ekonomi paling berkesan hanya meningkat daripada RM29 bilion pada tahun 2004 kepada RM50.5 bilion tahun ini.

Pengurusan yang cuai Barisan Nasional dalam kekayaan negara dan lebih pendapatan sejak beberapa tahun lalu mengakibatkan ekonomi negara menjadi lemah berbanding negara serantau dan kelalaian ini mesti diperiksa bagi mengelakkannya berlaku lagi. Jika kerajaan terus mengumpulkan hutang untuk tujuan yang tidak berasas untuk jangka masa beberapa lama lagi, anak cucu kita akan terpaksa membayar kegagalan itu di masa depan.

Sebagai tambahan, pengalaman kita di peringkat kerajaan negeri selama lebih 18 bulan yang lalu memberi pemahaman yang lebih baik dalam isu praktikal melibatkan pembangunan ekonomi di Malaysia yang memerlukan peralihan besar dari segi dasar awam dan sistem pengurusan ekonomi negara. Perancangan dan pengurusan ekonomi telah menjadi berpusat sejak dua dekad yang lalu dan terlalu biroktatik sehingga menyebabkan ia menjadi tidak berkesan untuk melaksanakan inisiatif ekonomi.

Sebagai contoh, di Pulau Pinang dan Selangor, kami mendapati segala usaha disia-siakan ekoran kegagalan mengawal dana projek dan pembangunan yang disalurkan mengikut kepentingan dan pilih kasih kerajaan Persekutuan. Walaupun Selangor dan Pulau Pinang masing-masing menyumbang RM16 bilion dan RM3 bilion sebagai cukai pendapatan kepada kerajaan Persekutuan, dua negeri ini hanya menerima geran Persekutuan masing-masing sebanyak RM247 juta dan RM127 juta sahaja.

Oleh itu, dalam cadangan Bajet Alternatif, kami senaraikan dasar dan program bagi menimbal balik kelalaian dan salah pengurusan duit rakyat oleh kerajaan BN dengan pada masa yang sama, mengurangkan perancangan berpusat birokrasi dan seterusnya membenarkan kerajaan negeri membuat keputusan dan mengurus kewangan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pentadbiran kerajaan.

  1. #1 by Bigjoe on Tuesday, 27 October 2009 - 10:04 am

    Not much to say except a list of good criticism that we now come to expect from LGE these days.

    The only gutsy thing I see is standing up for WiFi over HSBB. True, the price is probably higher than it should and it will peform below some expectations including over pricing in the end, but end to end fiber is needed. Wifi is still limited technologically although there are promising things in the futre.. Its a risky bet to say WiFi will come out looking like a real smart idea in the end..

  2. #2 by khairi ali on Tuesday, 27 October 2009 - 7:58 pm

    Tak boleh ke, belanjawan negara ini dilakukan seperti satu akaun perniagaan?

You must be logged in to post a comment.