Nik Aziz percaya Pakatan wadah terbaik mencapai objektif politik PAS


– Zairil Khir Johari
The Malaysian Insider
2 June 2015

Pada Sabtu, 30 Mei 2015, Penang Institute menganjurkan forum peringatan bagi mengenang jasa dan legasi seorang tokoh besar dalam politik Malaysia, Allahyarham Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Guru.

Forum yang bertempat di The Light Hotel, Seberang Jaya ini menghadirkan tiga orang ahli panel, iaitu ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa dan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, pengetua Maahad Darul Anuar dan juga anakanda kepada Tok Guru. Forum dikendalikan saya selaku moderator.

Topik yang diwacanakan dalam forum adalah “Islam dan Kepelbagaian,” dan perbincangan malam itu mengupas dengan lebih mendalam keperibadian Tok Guru, khususnya berkenaan persoalan hubungan kaum dan agama serta hubungan parti-parti politik dalam dan luar Pakatan Rakyat.

Wasiat

Tok Guru di akhir hayatnya tidak meninggalkan apa-apa wasiat khusus, baik kepada ahli keluarga atau parti politik yang pernah dipimpinnya, mahupun rakyat secara keseluruhan. Sebagaimana yang ditegaskan Nik Omar, wasiat yang ditinggalkan Tok Guru adalah keseluruhan kehidupan dan perjuangannya, dan hal ini perlu diteladani semua pihak.

Sifat istiqamah yang ada pada diri Tok Guru merupakan iktibar yang penting untuk dicontohi dalam sesebuah perjuangan. Tok Guru dalam pendiriannya terhadap beberapa isu penting seperti isu pelaksanaan hukum hudud, royalti minyak Kelantan dan kebebasan media, sangat jelas dan beliau tidak pernah mengambil langkah “u-turn” dalam setiap pandangan yang diambilnya.

Pakatan Rakyat

Selain dakwah agama, Tok Guru juga penuh beristiqamah dalam perjuangan politik, khususnya melalui Pakatan Rakyat yang dianggap sangat penting kepadanya. Malah, Nik Omar menceritakan ketika Tok Guru terlantar di hospital pada akhir hayatnya, sayangnya terhadap PR masih kukuh.

Menurut Nik Omar, Tok Guru amat menitikberatkan PR sebagai wadah yang paling sesuai untuk mencapai objektif politik PAS serta membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara. Walaupun setiap parti mempunyai pendirian yang berbeza dalam sesetengah isu, namun matlamat bersama lebih banyak dan harus menjadi dasar kerjasama. Begitulah besarnya kecintaan Tok Guru terhadap hubungan parti-parti politik dalam PR yang terjalin lama.

Kesederhanaan

Kesederhanaan pemikiran Tok Guru dapat dilihat dengan jelas dalam isu perlaksanaan hukum hudud di negeri Kelantan. Sebagai seorang pemimpin politik dan agama, Tok Guru memiliki pandangan, undang-undang syariah adalah sebahagian daripada Islam dan perlu dilaksanakan sebagai salah satu kaedah dalam menangani masalah jenayah yang makin berleluasa.

Rang Undang-Undang Hudud yang dibentang dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan sejak 1993 walau bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan berikutan terdapatnya halangan-halangan teknikal. Namun demikian, Tok Guru jelas sekali tidak mengambil sikap berkeras dalam hal ini. Sebaliknya jelas Nik Omar, Tok Guru lebih gemar mengambil sikap “menerangkan” daripada mengambil sikap “menyerang.”

Untuk menyelesaikan permasalahan seputar persoalan hudud ini, maka perlunya kepada perbincangan dan dialog yang berterusan, baik dalam kalangan orang Islam mahupun dialog antara penganut agama yang berbeza. Bagi Nik Omar, PR adalah wadah yang paling sesuai untuk perbincangan dan dialog disuburkan. Isu hudud tidak boleh dijadikan isu yang mampu untuk memecah-belahkan hubungan baik yang terjalin di dalam PR. Tok Guru dalam hal ini sentiasa memberi komitmen yang tinggi untuk memastikan PR terus kukuh.

Tok Guru juga adalah tokoh yang meraikan kepelbagaian dan tidak pernah berpegang kepada idea perkauman. Hal ini dimanifestasikan di dalam kepimpinannya yang sentiasa menjaga hubungan baik dengan masyarakat yang pelbagai. Lantaran itu, Tok Guru sangat disenangi masyarakat Kelantan secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya, baik Muslim dan bukan Muslim. – 2 Jun, 2015.

Print Friendly

  1. #1 by Bigjoe on Tuesday, 2 June 2015 - 4:44 pm

    The headline of this article IS TRUE but the problem is Nik Aziz we know is backer of Hudud and did not leave a definitive answer of how the conflict would be resolved within PR. He was a man of faith and not exactly a visionary planner and manager..In the absence of a definitive answer of the practical, the plugging of the truth which conflicts with the vision will not move a bunch of religo-political narcotic addicts. Anyone ever tried to just persuade an addict to change with words of the truth?

    Yes they will feel some conflict with this glaring truth but they are persuaded by their conviction of their hallucination,. Those who will find it convincing are already the converted i.e., PASMA and even if they plug the line, their other side still will hold steadfast to their delusion. I mean there are actually even so many already said its not their responsibility even to actually make Hudud work – its a matter of faith..Commit capital punishment and leave everything else to god..

    Its too difficult to fight delusion with truth – that is why the US uses bombs and drones..Like it or not, what will change it, like it does for any addicts that can be saved is just realities and encouragement to live in realities.

You must be logged in to post a comment.