Hanif Omar tidak membantu reputasinya sebagai mantan ketua polis negara yang paling lama berkhidmat, dengan menjaja kisah-kisah mengarut tentang kerjayanya sebagai seorang anggota polis


Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar tidak membantu reputasinya sebagai mantan ketua polis negara yang paling lama berkhidmat, dengan menjaja kisah-kisah mengarut tentang kerjayanya sebagai seorang anggota polis.

Ini kali pertama saya mendengar kenyataan bahawa untuk memelihara keharmonian negara ini, beliau mesti berkeras sebagai sebagai seorang pegawai polis atasan dan memenjarakan saya pada 1969.

Beliau dilaporkan oleh Sinar Harian sebagai berkata Parti Perikatan membentuk Barisan Nasional susulan rusuhan pada 1969.

Hanif berkata:

“Masa itu Parti Perikatan bentuk Barisan Nasional sebab pada masa itu negara kita hampir hancur. DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.

“Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.

“Dua tahun dia dalam tu. Itu cara ‘cara Hanif’ mengambil tindakan semasa menjadi Ketua Polis Negara,” ujarnya.

Saya kelu apabila mendengar kenyataan itu, membuatkan saya tertanya-tanya sama ada Hanif sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk memburuk-burukkan saya dan DAP.

Apa yang diperkatakan Hanif itu penuh dengan pelbagai kesalahan.

Ini kali pertama saya dengar bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penahanan saya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Pertama sekali, beliau masih belum menjadi Ketua Polis Negara semasa saya pertama kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 18 Mei 1969.

Khidmat Hanif sebagai Ketua Polis Negara bermula pada 1974 hingga 1994, selepas saya dibebaskan daripada tahanan ISA pada 1 Oktober 1970.

Hanif mendakwa beliau adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap penahan tersebut. Adakah beliau juga orang yang bertanggungjawab membebaskan saya sebagai tahanan ISA pada 1 Oktober 1970? amat menarik jika dapat mendengar satu lagi kisah temberang daripada Hanif.

Kedua, Barisan Nasional tidak ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969.

Ia ditubuhkan pada 1973, iaitu sebelum Hanif menjadi Ketua Polis Negara. Beliau menjadi KPN pada 8 Jun 1974 selepas kematian pendahulunya Tan Sri Abdul Rahman akibat dibunuh di Kuala Lumpur.

Perbincangan berhubung pembentukan Barisan Nasional mungkin berlaku sebelum 1973, tetapi adalah jelas bahawa Barisan Nasional tidak ditubuhkan ketika saya ditahan di bawah ISA pada 18 Mei 1969.

Namun cerita temberang Hanif ini mendakwa kononnya saya mencadangkan agar Semenanjung Malaysia dibahagikan kepada dua, Pantai Timur kepada orang Melayu dan Pantai Barat kepada orang Cina, sambil mendabik dada kononnya beliau memenjarakan saya ekoran kenyataan rekaan itu walaupun beliau masih belum menjadi KPN pada masa itu.

Ini juga adalah kali pertama saya mendengar mengenai cadangan untuk memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian.

Jika saya pernah membuat cadangan sebegitu, ia tidak akan terperap lama sehingga separuh hampir abad, kerana sudah pasti akan digunakan oleh musuh saya untuk memburuk-burukkan saya.

Malah, sepanjang hayat saya, saya tidak pernah mendengar cadangan sebegitu daripada mulut sesiapa.

Sumber mana agaknya yang dipetik Hanif untuk mereka-reka cerita temberang tersebut.

Saya menjadi pemimpin politik yang paling banyak dimomokkan sepanjang separuh abad lalu. Saya dituduh menjadi komunis; bertanggungjawab terhadap rusuhan 13 Mei 1969, mengetuai demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur dengan melaungkan slogan anti-Islam dan anti-Melayu walaupun saya tidak berada di Kuala Lumpur selepas Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969; saya digambarkan sebagai iblis, puaka dan jembalang, Saya dituduh anti-Melayu, anti-Islam; boneka kuasa asing; saya dituduh mendominasi Pakatan Harapan dan menjadikan pemimpin lain seperti Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali and Mohamad Sabu sebagai boneka saya dan kononnya saya mahu menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU14.

Namun semua pembohongan, kepalsuan dan tindakan memburuk-burukkan ini tidak terbanding dengan cerita temberang Hanif yang mendakwa kononnya saya mahu Malaysia terbahagi kepada dua bahagian selepas PRU Mei 1969.

Saya pasti, Cawangan Khas, salah sebuah pasukan yang paling cekap di dunia, mempunyai rekod penuh keberadaan saya selama lapan hari dari 10 Mei (Hari Pengundian PRU 1969) sehingga 18 Mei 1969, semasa saya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, ketika saya menaiki pesawat dari Singapura walaupun pemimpin parti dan keluarga saya menasihati saya supaya tidak pulang ke tanah air kerana saya disenarai hitam sebagai tahanan mengikut ISA.

Semasa tempoh lapan hari itu, saya tidak berada di Kuala Lumpur, sebaliknya di Melaka, Petaling Jaya, Sabah dan Singapura.

Saya minta supaya Hanif memetik bab dan rangkap, tarikh dan masa, di mana saya membuat cadangan mengarut seumpama itu. Jika maklumat itu diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi, maka ia harus dinyahkan daripada status itu.

Saya memberi Hanif tempoh selama dua hari untuk memberi respons terhadap cabaran ini atau rakyat Malaysia akan membuat kesimpulan bahawa beliau sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk memburuk-burukkan saya dan DAP dengan penipuan sebegitu.

Saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas tamat tempoh dua hari tersebut.

(Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang pada Jumaat 7 September 2018 di Kuala Lumpur)

(Teks Inggeris)

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.