DAP

Mencari butang ‘reset’ buat menyembuh penyakit kakistokrasi Malaysia

By Kit

April 01, 2017

oleh Izmil Amri Roketkini 17 Mac 2017

Pagi tadi saya hidupkan semula telefon lama yang sudah separuh nyawa. Telefon pintar yang dibeli pada tahun 2014 itu telah saya ganti dengan yang baru. Pastinya lebih canggih dan laju. Namun kerana sedikit rasa sentimental, saya hidupkan kembali setelah hampir tiga bulan ia ‘mati’.

Meski sudah hampir ajal dengan bateri yang hanya bertahan tiga jam, saya kira ia masih boleh diguna untuk tugas-tugas ringan menjadi penggera bangun tidur dan buat memainkan radio. Maka telefon itu akhirnya saya ‘reset’ ke tetapan kilang, dan ia pun kembali ke fitrah asalnya.

Demikian nasib barang-barang elektronik zaman kini. Asal berpenyakit, tekan butang ‘reset’ maka sihatlah ia semula.

Tetapi kalau yang menanggung sakit itu sebuah negara, di celah mana harus ditekan butang ‘reset’nya.

Genap satu minggu yang lalu, Mahkamah Konstitusi Korea Selatan memutuskan untuk menyokong usul melengser presidennya, Park Geun-hye; wanita pertama yang dilantik menjadi presiden dalam sejarah negara republik itu.

Panel lapan orang hakim membuat keputusan terbabit, ekoran skandal rasuah melibatkan ‘penasihat’ kepada sang bekas presiden, yang menggunakan pengaruh dan kedudukannya sebagai sang penasihat untuk memaksa chaebol Korea Selatan (konglomerat kawalan keluarga) termasuk Samsung dan Hyundai supaya memberi ‘derma’ kepada dua institusi kawalannya.

Sang penasihat ini, Choi Soon-sil, meski tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan, mempunyai fungsi besar terhadap hampir semua keputusan presiden, termasuk soal memilih beg tangan sehinggalah ke hal-ehwal urusan negara.

Korea Selatan, melalui mahkamah dan peruntukan undang-undang memberi jalan mudah untuk menyelamatkan negaranya sebelum penyakit bawaan sang penasihat menjadi barah yang tidak boleh dirawat. Dengan pemecatan presiden yang bermasalah ini (meski angkara penasihat), mandat baru untuk mentadbir negara dikembalikan kepada rakyat dengan jalan pilihanraya pada bulan Mei akan datang.

Perihal skandal mantan presiden Korea ini dipetik Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika sesi bertemu anak muda di beberapa lokasi.

Katanya enam puluh tahun lalu, ketika negara kita merdeka, Korea Selatan masih jauh ketinggalan berbanding Malaysia. Dengan kadar KDNK yang hanya satu pertiga berbanding Malaysia, Korea Selatan bukan sahaja mundur dari segi ekonomi, ia malah tidak mempunyai demokrasi.

Namun hari ini Korea Selatan muncul sebagai sebuah kuasa besar dalam ekonomi dunia, dengan KDNK per kapita AS$25,976 (2013) berbanding kita yang jauh ketinggalan setakat AS$10,538.06. Ia juga jauh ke hadapan dalam segala aspek ekonomi politik dan sosial, bahkan berjaya mempengaruhi sebahagian besar anak muda kaki k-pop dan peminat drama Korea, meski sepatah haram bahasanya tidak kita fahami.

Korea Selatan malah mampu memecat presidennya, yang terpalit skandal angkara penasihatnya.

Kakistokrasi

Malaysia sebaliknya sedang berada pada satu tahap tepu yang sudah tidak upaya dibantu, dan kita semuanya terkapar keletihan menangani asakan demi asakan hasil dasar sebuah kerajaan kleptokratik yang ditadbir secara kakistokrat.

Ya, saya pun baru belajar perkataan itu. Kakistrokrasi ertinya sebuah pentadbiran yang diuruskan oleh para bahlol yang tidak berkelayakan; atau secara mudahnya sebuah pentadbiran yang diurus dengan kaki, dengan otaknya di kepala lutut.

Perkataan ini asalnya Greek, gabungan kata ‘kakistos’ yang ertinya ‘paling buruk’; dan kata ‘kratos’ yang ertinya ‘pemerintahan’. Secara literal, pemerintahan oleh orang yang paling buruk.

Pentadbiran secara kleptokratik (satu lagi kalimat asalan Greek) oleh kaki-kaki United Malays National Organisation, adalah suatu penyakit berat yang mendambakan proses ‘reset’ yang amat rumit.

Di ambang ulangtahun ke-60 kita menyambut Hari Kebangsaan, barangkali masanya sudah benar-benar sesuai untuk anak semua bangsa saling berganding bahu untuk sama-sama mencari celah mana letaknya butang ‘reset’ Malaysia dan menekannya dengan penuh semangat.

Ini juga seruan Saudara Kit Siang, supaya segala penyakit yang memberati jasad tua negara ini boleh disembuhkan sedikit demi sedikit, bermula dengan usaha mendaftarkan jutaan anak muda yang sudah layak mengundi.

Ketika ditanya dalam satu acara, kenapa pada usia 76 tahun beliau masih gigih berjuang dan tidak putus asa, Kit Siang menyebut bahawa kerja yang dibuatnya bukanlah untuk manfaat diri dan anak-anak, bahkan perlu memikirkan masa depan cucu-cicit yang bakal mewarisi negara (beserta segala hutang piutangnya yang kian membelon pada angka RM655.7 bilion, 53.2 peratus daripada KDNK negara).

Ya kita semua letih dan lelah. Parti-parti politik kelihatan seperti Pepsi dan Coca Cola. Manis bergula dan membawa penyakit, baiklah minum air suam sahaja. Dua-dua pun sama, buat apa menaruh percaya? Kan?

Namun kekeliruan dan rasa hilang punca tidak boleh dibiarkan. Fokus massa rakyat harus kembali kepada agenda besar perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke lembah kehancuran.

Asas utama dalam pertembungan pilihan raya tidak lama lagi ialah usaha menyelamatkan Malaysia dan menghentikan sebuah pemerintahan berterusan oleh sebuah parti kleptokrat selama 60 tahun lampau. Rungkai segala kusut masai, nyalakan pelita dalam gelap malam. Sampaikan khabar pengharapan, bahawa negara mesti diselamatkan. Dalam hal itu, kita langsung tidak ada pilihan.

Tekan butang ‘reset’ beramai-ramai. – Roketkini.com