Malaysian Dream

Aktivis seni budaya sokong Deklarasi Rakyat

By Kit

March 16, 2016

oleh Fatih Hassan Nordin & Hafiz Zainuddin Rocketkini 16 Mac 2016

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Usaha menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara gagal bukan sahaja tugas ahli politik dan aktivis, ia juga melibatkan golongan budayawan dan aktivis seni.

Budayawan, Che Samsudin Othman yang juga lebih mesra dipanggil Dinsman, berkata penglibatan golongan seni dan budaya itu dalam gerakan politik di negara ini semakin mengecil sejak era 1990-an.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya budayawan dan aktivis seni menyatakan sokongan terhadap gerakan rakyat dengan menandatangani Deklarasi Rakyat, yang antaranya menuntut pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari tampuk pemerintahan.

“Saya tidak aktif dalam mana-mana parti politik, tetapi saya aktif dalam seni budaya. Apabila saudara Lim Kit Siang meminta supaya saya ikut serta (tandatangan Deklarasi Rakyat), saya bersetuju,” katanya dalam satu majlis tandatangan Deklarasi Rakyat di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Terdahulu, Dinsman bersama antaranya Sasterawan Negara, A. Samad Said; pakar undang-undang, Tommy Thomas; aktivis undang-undang, K. Arumugam; serta wakil-wakil DAP seperti Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; pakar undang-undang Perlembagaan Persekutuan, Dr. Abdul Aziz Bari; Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran; Adun Nilai, Arul Kumar Jambunathan; dan Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Teo Kok Seong; turut menandatangani deklarasi tersebut.

Dinsman berkata, keputusan untuk menandatangani deklarasi berkenaan diambil selepas mengadakan pertemuan meja bulat bersama para aktivis seni yang merumuskan perlunya penglibatan luas budayawan seni dalam pembangunan dan perubahan negara.

“Sejak reformasi dilancarkan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim pada tahun 1998, penyertaan golongan seniman dan budayawan sampai sekarang ini masih terlalu minimum, masih terlalu sedikit.

“Ini adalah satu fenomena yang pelik di negara ini sebab, kalau kita membaca sejarah, zaman kebangkitan atau zaman negara kita mula mengalami perubahan awal kurun ke-20, yang menggerakkannya adalah penulis, budayawan.

“Tetapi sekarang, rakyat sudah berubah, tetapi golongan ini (budayawan) masih tidak mahu berubah,” katanya. – Roketkini.com