Corruption

Umat Islam atau menteri keliru?

By Kit

February 22, 2016

Amin Iskandar The Malaysian Insider 21 February 2016 Apabila menteri atau timbalan menggunakan hujah “mengelirukan umat Islam”, persoalan sering kali timbul dalam sanubari penulis, apakah benar umat Islam begitu lemah sehingga mudah dikelirukan atau pemimpin itu sendiri yang sering keliru?

Di sebuah negara di mana majoriti penduduknya beragama Islam, pemimpinnya Islam, media arus perdana dikuasai orang Islam jika mereka masih lagi mudah dikelirukan, ertinya, umat Islam di Malaysia merupakan yang paling lemah di dunia.

Ketika mengharamkan penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam satu ketika dulu, hujah “mengelirukan umat Islam” turut digunakan.

Terbaru dalam isu restoran menggunakan tanda “tiada babi”, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan akan diambil kepada pengusaha kerana mengelirukan umat Islam.

“Umat Islam harus sentiasa peka kepada kehendak undang-undang syariah apabila membabitkan soal makanan.

“Meletakkan tanda tiada babi tidak bermakna ia adalah halal,” katanya.

Mengikut pengalaman hidup penulis yang tidaklah begitu panjang, umat Islam di Malaysia sebenarnya di antara paling “strict” di dunia dalam bab makanan.

Jika ke luar negara, baik yang kaya mahupun miskin, mereka akan membawa banyak makanan kerana takut tidak berjumpa dengan restoran halal.

Sehinggakan jika ke negara majoriti Islam seperti Indonesia sekalipun, mereka akan tetap memenuhkan bagasi dengan makanan seperti “mi maggi”!

Sebab itu penulis mempersoalkan siapakah umat Islam mudah terkeliru dengan premis perniagaan menggunakan tanda “tiada babi” atau sebenarnya Asyraf sendiri yang keliru?

Percubaan mengalihkan isu?

Seperti yang dikatakan penulis Turki Mustafa Akyol ketika datang ke Malaysia awal tahun ini, mengapa sentiasa “orang lain mengelirukan orang Islam” tetapi tidak pernah terjadi “orang Islam mengelirukan orang lain”.

“Saya tertanya-tanya mengapa kita umat Islam tidak mengelirukan orang lain, tetapi sentiasa orang lain mengelirukan kita.

“Dan saya tertanya-tanya bagaimana kita rasa jika konsep tertentu daripada tradisi kita diharamkan di negara majoriti Kristian, sebagai contoh, apa kata jika terdapat larangan ke atas umat Islam daripada mengucapkan perkataan Jesus atas dasar ia boleh mengelirukan orang Kristian?

“Kita pasti tidak akan gembira dengan keadaan itu,” kata penulis itu.

Atau sebenarnya terdapat percubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada isu sebenar yang lebih besar?

Terbaru, Pengarang Kewangan The Wall Street Journal (WSJ) Ken Brown dalam wawancara bersama ABC News Australia mengatakan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukanlah dari Arab Saudi seperti dikatakan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Brown sebaliknya berkata, wang itu datangnya daripada pelbagai syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menafikan dakwaan peguam negara.

“Laporan kami selama berbulan-bulan menunjukkan wang itu bukan dari Arab Saudi tetapi dari syarikat dan akaun bank yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.

“Dan seperti anda sedia maklum, laporan kami belum pernah dipertikaikan lagi dan kami ada banyak bukti sokongan,” katanya dalam wawancara pada 12 Februari lalu.

Kerajaan Malaysia perlu menyaman WSJ sekiranya dakwaan ini tidak benar. Tidak perlu lagi berdolak-dalik. Nama perdana menteri perlu dibersihkan segera kerana ia membabitkan maruah negara.

Yang lebih baik, Apandi sendiri selaku peguam negara perlu mewakili Najib dan mengemukakan saman kepada WSJ agar maruah Malaysia dapat dikembalikan.

Isu ini lebih mendesak daripada tanda “tiada babi” di premis restoran, jadi lakukanlah segera! – 21 Februari, 2016.