Pak Samad

“SAYA ORANG TUA DARI SASTERA, ORANG MUDA DARI SIASAH”

By Kit

November 07, 2015

By ~ A. SAMAD SAID UCAPAN MALAM SOLIDARITI BAGI LIM KIT SIANG @5.11.15

SETIAP kali kerajaan dikritik atau ditegur biasanya sangat cepat ia ditafsir atau didakwa sebagai hajat atau upaya menggoyah kerajaan. Tidak ditanya apakah selaran atau kritik itu sahih atau palsu, berdasar atau tidak, seolah- olah ia tidak perlu.

Tampaknya, teguran atau saranan itu sentiasa bermula sebagai salah atau sememangnya nakal. Kerajaan kita kini seolah-olah menganggap yang menegur tetap seteru, tidak kiralah apa yang ditegur, sementara kita orang biasa atau kelompok oposisi, alhamdulillah, masih berupaya coba tetap berarah. Malah, jika berkhayal pun, masih tetap berniat sihat.

Lihat, kini yang mengkritik atau menegur kerajaan bukan lagi melulu pihak oposisi. Sebaliknya, semakin ramai dan bergema yang resah membantah mula datang dari kalangan parti pemerintah sendiri. Khusus tentang kesamaran 1MDB, yang menegur, malah ketika-ketika tidak tersangka, datang dari tokoh-tokoh UMNO yang terpenting.

TS Muhyiddin Yassin menggusari sumber modal bagi 1MDB, dan turut menggusari mengapa modal sedemikian perlu masuk ke simpanan pemimpin yang tertentu; sementara Shafie Afdal, tokoh Barisan dari wilayah timur, turut resah dengan kesamaran sumber modal yang sama.

Dan lebih menggelorakan lagi upaya bekas tokoh UMNO Batu Kawan membawa keresahan itu sehingga ke Singapura, Switzerland, Perancis dan Hong Kong setelah upayanya melaporkan keresahan niaga 1MDB itu tidak berkesan di negaranya sendiri.

Ternyata kekecohan itu terus menyala dan semakin berang membakar. Saking kerasnya kritikan, lalu Khairuddin Hassan ~ malah peguamnya ~ kini tersangkut dalam jaring Sosma.

Pendeknya, berniat untuk memperjelas krisis siasah tanah air menjadi semakin beranjau dan menyala.

Kini ternyata menjadi lebih berserabut lagi dengan upaya mendebatkannya secara terbuka tersangkak oleh “peraturan” khusus yang menjadi dilema besar, sehingga debat besar sudah pun tergendala, memakan beberapa orang mangsa yang sebenarnya berniat baik untuk memperjernih kekalutan seputar 1MDB.

Dalam keserabutan itulah tampaknya kini lidah YB Lim Kit Siang telah sempat dikacip selama enam bulan. Betapa sesianya peranan seorang Wakil Rakyat yang terhalang suaranya. Ternyata perkembangan baru di Dewan Rakyat itu sendiri mula merunsingkan awam. Di mana lagi tempat sebaiknya untuk rakyat mencari jawapan jika tidak boleh diharapkannya lagi dari khidmat Wakil Rakyat yang terkacip lidahnya.

Ternyata kebisuan baru di pentas bersuara yang bermaruah itu mula membimbangi umum, apalagi Wakil Rakyat yang merasa terputus dari tugas dan tanggungjawabnya.

Ternyata kepada Wakil-Wakil Rakyat yang tulen perkembangan kacip lidah yang baru ini adalah satu permulaan lain bagi menyelesaikan keserabutan 1MDB. Mula terbayang tembok yang tebal dan tinggi, sesuatu yang sangat menggerunkan. Apalagi apabila disedari bahawa tindakan kacip lidah itu bakal menular menjadi penyakit yang payah disembuh secara santun dan berakal.

Saya kira itulah antara sebabnya YB Gobind Deo merasakan perlu untuk menilai masalah dan mencari jawapan warasnya demi menyelamatkan suara demokrasi yang murni dan tulus itu.

Tindakan mengacip lidah di Dewan Rakyat dirasakan perlu diwarasi melalui satu saluran badan penimbang yang adil dan berhemah. Tampaknya, inilah sebenarnya yang sedang digerakkan agar suara waras para Wakil Rakyat dapat terus bermanfaat bagi rakyat awam.

Lidah YB Lim Kit Siang perlu dimuliakan semula.