Lim Kit Siang

Raja Bahrin tebus baiah taklik beri makan orang miskin, lapor akhbar

The Malaysian Insider
10 September 2015

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah memilih untuk memberi makan kepada 10 orang miskin sebagai menebus sumpah baiah yang dilafazkan sebelum ini berhubung ketaatannya terhadap perjuangan PAS, lapor Sinar Harian hari ini.

Tindakan itu diambil selepas beliau melanggar lafaz baiah yang diikrarkannya secara sukarela di hadapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua tahun lalu dan kini mengambil keputusan menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Beliau berkata, tindakannya itu dirujuk berdasarkan kepada ayat al-Quran berhubung ruang untuk menebus sumpah baiah jika berlaku pelanggaran sumpah.

“Hukumnya adalah memerdekakan seorang hamba, beri makan 10 orang miskin daripada apa yang kita makan dan berpuasa 3 hari.
“Saya memilih yang kedua, akan beri makan 10 orang miskin,” katanya kepada akhbar itu.

Sebelum ini, melalui baiah tersebut, beliau bersumpah perkahwinannya akan terbubar dengan talak 3 sekiranya beliau meninggalkan PAS.

Raja Kamarul Bahrin menganggap PAS sudah lari daripada perjuangan asal, terutama berhubung tahalluf siyasi, sementara sebahagian besar pemimpin parti itu masih menganggap sumpah baiah itu sah hingga kini.

Beliau mendakwa, antara perkara yang diabaikan dalam PAS ialah konsep “PAS untuk semua” yang kini ditinggalkan terutamanya apabila ia memutuskan hubungan dengan DAP secara rasmi pada Jun lalu.

Katanya, ia satu perubahan besar kepada konsep asal parti itu sebelum pilihan raya umum 13.

Berikutan daripada perjuangan PAS yang dirasakannya sudah berubah, beliau mengambil keputusan untuk “berhijrah” kepada Amanah.

Sementara itu, mengulas desakan PAS Terengganu supaya beliau meletak jawatan sebagai ahli Parlimen, Raja Kamarul Bahrin menuntut Pesuruhjaya PAS Negeri Saiful Bahri Mamat membentangkan prestasi dan kehadiran setiap seorang wakil rakyat Terengganu terlebih dahulu.

“Setelah itu, barulah beliau dan rakyat, pengundi, boleh buat penilaian siapakah sebenarnya yang patut letak jawatan sebagai ahli Parlimen,” katanya. – 10 September, 2015.

Exit mobile version