Hafidz Baharom The Malaysian Insider 9 September 2015
Saya tidak menyokong perbuatan tersebut, tapi saya berpendapat rakyat Malaysia patut membiarkan ia berlaku tetapi motif saya berlainan.
Biarlah si baju merah semuanya berkumpul di Bukit Bintang, beraksi semula dengan kayu-kayan, berguling sana sini, mengucapkan apa-apa yang mungkin bersifat perkauman dan anti Cina, menunjukkan mereka kononnya perwira bangsa Melayu.
Biarlah setiap kata-kata mereka direkodkan dan dimuat naik ke semua laman sosial. Biarlah setiap kata-kata mereka diterjemahkan ke semua bahasa yang rakyat Malaysia dan warga asing di sini faham.
Biarlah video-video berserta terjemahan dalam setiap bahasa ini disebarkan oleh rakyat Malaysia sendiri melalui laman sosial ke Bangladesh, Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia, United Kingdom, China, Vietnam, Singapura dan Rusia – mana-mana negara yang mempunyai kepentingan perdagangan dengan Malaysia.
Maka dengan aksi sedemikian rupa, kerajaan sendiri perlu menanggung tanggungjawab penyokong politik mereka sendiri.
Apakah menteri perdagangan antarabangsa boleh dikekalkan dalam perundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) jika semua menteri perdagangan antarabangsa berserta ahli politik Kongres AS melihat video tersebut?
Apakah Datuk Seri Noh Omar selaku pengerusi Barisan Nasional Selangor boleh memenangi kembali 20% pengundi Cina di negerinya dengan video penyokongnya malah ketua Umno Sungai Besar, Datu Jamal Yunos sendiri tersebar luas?
Apakah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz boleh terus menarik pelancong dari China dan Taiwan ke Kuala Lumpur jika setiap ayat bersifat perkauman dilontarkan, direkodkan dan dihebohkan bersama terjemahan dalam bahasa Mandarin?
Bagaimana pula dengan menteri dalam negeri kita? Apakah dia masih lagi boleh menarik 1.5 juta warga Bangladesh menjadi pekerja asing jika video tersebut berserta terjemahan bahasa mereka tersebar ke pihak kedutaan mereka?
Bagaimana pula jika disebarkan kepada setiap kedutaan yang ada di Malaysia yang mempunyai laman sosial Facebook dan Twitter? Setiap akaun e-mel?
Bagaimana pula dengan setiap ahli parlimen Barisan Nasional yang bukan Melayu? Apakah mereka boleh bertahan lagi dua tahun jika setiap pengundi mereka mendapat tayangan percuma si baju merah pejuang bangsa Melayu ini?
Mungkin mereka semua tidak menggunakan Internet, tetapi ini boleh diselesaikan dengan sebiji telefon bimbit, projektor mini dan layar putih – anggaran kos di bawah RM3,000 – yang boleh dialihkan dengan mudah ke mana-mana kawasan pedalaman.
Apakah pihak polis sendiri sudah bersedia untuk menerima beratus atau beribu laporan polis serata negara atas percakapan berbaur perkauman yang menyalahi undang-undang?
Adakah Nancy Shukri sudah bersedia menjawab berliku-liku persoalan perundangan mengapa tiada tindakan diambil? Bagaimanakah pula pihak peguam negara?
Sewaktu perhimpunan Bersih, ada yang kata ia membantu kerajaan dalam propaganda mereka meraih kembali sokongan.
Pada jangkaan saya, perhimpunan kononnya hendak “membangkitkan semula maruah Melayu” ini pula akan membenarkan pihak anti Barisan Nasional bukan sahaja mendapat sokongan dari rakyat Malaysia, tapi boleh juga dijadikan bahan propaganda untuk meraih sokongan antarabangsa.
Manalah kita tahu, lepas ini pihak lain pula yang terima “wang derma” berbilion-bilion datang pilihan raya umum tahun 2018 nanti.
Tetapi lebih penting dari itu, apa-apa bahan propaganda yang dicatat, direkod dan disebarkan berpunca dari pihak baju merah ini boleh dijadikan bahan-bahan untuk menekan semua rakyat negara luar untuk mengenakan satu “harta global” ke atas negara kita.
Setiap negara luar dan rakyat mereka akan menyebarkan bagaimana rakyat Malaysia sendiri bersikap aparteid, menyamakan tindakan dan perbuatan si baju merah ini dengan apa yang berlaku dengan sejarah Nazi di Jerman, dengan dasar-dasar Afrika Selatan, malah mungkin juga dengan puak Klu Klux Klan di Amerika Syarikat.
Dengan perbandingan seperti ini disebarkan ke serata dunia, mampukah menteri-menteri Kabinet kita berusaha memulihkan semula imej Malaysia bukan di mata ahli politik antarabangsa, tapi rakyat marhaen luar negara?
Mengikut data laman web statista.com, suku kedua 2015 menunjukkan jumlah pengguna aktif bulanan Facebook sedunia menjangkau 1.31 bilion pengguna. Laman tersebut juga menyatakan pengguna laman Twitter sedunia pula berjumlah 304 juta pengguna aktif bulanan.
Rakyat Malaysia pula sudah majmuk, sudah faham dan boleh menterjemah pelbagai bahasa dari Bahasa Melayu hinggalah ke bahasa Mandarin mahupun Bahasa Perancis. Rakyat Malaysia juga meluangkan purata 5 jam sehari menghadap Internet.
Ini termasuklah mereka yang menyertai perarakan oleh Bersih selama 34 jam itu, berjumlah antara 50,000 hingga 100,000.
Cuba bayangkan bagaimana kelihatan laman sosial masing-masing ketika itu, dengan keadaan kerana terlalu padat dan kawasan Dataran Merdeka yang memang “lubang hitam” tiada signal Internet.
Sekarang bayangkan apa yang mereka boleh lakukan dengan akses Internet di Bukit Bintang dan rumah masing-masing bagi menyebarkan sebarang perbuatan perkauman, anti Cina, anti Yahudi, malah anti apa-apalah yang si baju merah nak berucap nanti.
Jika kerajaan berkata mereka sudah bersiap sedia untuk bertanggungjawab ke atas sebarang tindak balas dari segi imej negara kita di khalayak antarabangsa, perdagangan antarabangsa negara kita, segala wang yang masuk dari industri pelancongan, maka teruskan menyokong himpunan Melayu ini.
Bagi kita yang tidak menyokong tindakan ini, kita juga akan bersiap sedia untuk memastikan mereka ini mendapat perhatian khalayak antarabangsa bagi menunjukkan parti politik kerajaan – tidak mengira UMNO, MCA, MIC, Gerakan, semua parti ahli Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak – menyokong golongan ekstrem bersikap perkauman.
Jadi, teruskanlah. Kita masing-masing bersiap sedia. – 9 September, 2015.