UMNO

Nasib Umno dan BN kini seperti pernah dialami kerajaan empayar Inca

By Kit

March 05, 2015

Nur Jazlan The Malaysian Insider 4 March 2015

Banyak yang diperkatakan mengenai Umno, satu-satunya parti politik yang ditubuhkan sebelum negara mencapai kemerdekaan dan kini menjejaki usia tujuh dekad serta sudah pasti bagi pucuk pimpinannya pada masa sekarang adalah dengan terus melaungkan kejayaan Umno mendapat 88 kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Kejayaan Umno itu sudah berusia dua tahun dan hanya tinggal tiga tahun lagi sebelum parti orang Melayu ini akan berdepan semula dengan rakyat dalam PRU14 dan ketika ini, suasana di peringkat akar umbi terus resah gelisah dengan apa yang berlaku di peringkat bawahan, situasi berbeza dengan peringkat atasan terutamanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Putrajaya yang berterusan dibuai mimpi indah.

‘Mimpi indah’ orang Melayu akan berterusan menyokong Umno dan keluarlah segala statistik dan perangkaan bagi membuktikan ‘mimpi indah’ itu sedangkan hakikatnya, sokongan orang Melayu di kawasan bandar dan luar bandar terus terhakis.

Terus juga dicanang yang Umno adalah parti akar umbi dan sentiasa mengutamakan suara akar umbi dalam perjuangannya tetapi ia hanyalah sekadar retorik yang disedari ahli akar umbi sendiri. Saya sendiri dalam sebuah laporan sebuah akhbar baru-baru ini, ‘dicap’ sebagai bertindak di luar kebiasaan Umno oleh dua tokoh akademik kerana kerap mengkritik pucuk pimpinan terutama sekali Presiden parti secara terbuka dalam tulisan-tulisan di blog saya atau di portal berita.

Bagi dua tokoh akademik itu, Umno adalah sebuah parti feudal dan segalanya, perlu mengikut protokol dan suara kritikan seakan ‘haram’ dilakukan secara terbuka kerana ia akan mengundang persepsi negatif rakyat kepada pucuk pimpinan.

Terus terang saya amat sedih dengan kenyataan itu bukan disebabkan ia mengkritik saya tetapi sebab orang luar mungkin bukan ahli Umno juga melabelkan parti sudah menjadi institusi feudal di mana dalam sistem ini, yang berkuasa adalah raja, sultan atau pucuk pimpinnnya dan mereka tidak boleh dikritik dengan sesiapa yang mengkritik sistem berkenaan akan dikenakan hukuman.

Ingin saya tegaskan di sini, Umno adalah parti akar umbi dan tanpa ahli biasa bagaimana pucuk pimpinan mendapat kuasa, jika ahli sendiri sudah tidak boleh bersuara secara terbuka bagi mengkritik demi kebaikan, ia seakan sudah melanggar perjanjian penubuhan parti keramat ini sendiri.

Jadi seharusnya, sistem feudal tidak boleh dikaitkan dengan Umno kerana jika itu tanggapan orang luar terhadap parti terutama sekali jika ia datang daripada orang Melayu sendiri, natijahlah kepada perjuangan leluhur Umno yang menubuhkannya dalam memperjuangkan golongan akar umbi Bumiputera.

Persepsi mengenai Umno menjadi sebuah institusi politik feudal menyebabkan saya teringat kepada sejarah empayar Inca apabila berkesempatan ke Ecuador baru-baru ini, ketika menghadiri Forum Ahli Parlimen Asia Pasifik.

Sejarah menjelaskan empayar Inca terletak di sebuah negara yang memerintah daripada Peru hingga Ecuador daripada tahun 1438 hingga 1533 dan ia begitu makmur dengan dapat meluaskan empayarnya bukan melalui peperangan tetapi hanya dengan kemakmuran serta kepesatan ekonomi.

Malah peninggalan kemakmuran empayar Inca masih terdapat sehingga kini dengan pelbagai binaan yang mengagumkan, tetapi siapa menyangka kerajaan yang begitu mewah, begitu kuat ini akhirnya jatuh ke tangan penjelajah Sepanyol yang berjumlah hanya kira-kira 200 orang diketuai Francisco Pizzaro.

Pizzaro dalam ketika menemui pemerintah kerajaan Inca ini yang dipimpin Atahualpa menggunakan agama dalam mengadakan hubungan serta kerjasama dengan kerajaan Inca selain menabur kata-kata manis terhadap pemimpinnya.

Namun, beliau juga mengesan kelemahan kerajaan dan rakyat empayar ini yang terlalu taksub dengan adat istiadat serta upacara keagamaan dan ia adalah peluang untuk mereka menawan empayar yang terbesar di Amerika Selatan ketika itu.

Ini kerana segala apa yang hendak dilakukan kononnya perlu mendapat persetujuan daripada tuhan mereka dan lebih malang lagi rakyat menganggap pemimpin mereka sebagai dewa dan turut menyembahnya.

Di sinilah kelemahan kerajaan Inca yang menyebabkan penjelajah Sepanyol yang berjumlah 200 orang mampu menumbangkan kerajaan dengan hanya membunuh Atahualpa menyebabkan seluruh rakyat Inca berada dalam keadaan kelam kabut dan melarikan diri daripada pusat kerajaan selepas mendapati ‘tuhan’ mereka boleh dibunuh.

Walaupun, kerajaan Inca kemudian cuba menawan semula pusat pemerintahan kerajaan Inca yang berpusat di pergunungan Andes dengan tentera berjumlah ratusan ribu orang tetapi disebabkan lambat bertindak kerana mendahulukan adat istiadat, protokol dan upacara keagamaan yang mengambil masa beberapa hari lamanya, menyebabkan tentera Sepanyol mampu sampai terlebih dahulu dan memberikan bantuan kepada 200 penjelajah Sepanyol dengan menewaskan tentera kerajaan Inca yang berjumlah ratusan ribu orang.

Ketiadaan pelan penggantian dalam kerajaan Inca yang hanya bergantung kepada sistem feudal iaitu turun temurun daripada ayah ke anak menyebabkan masyarakatnya terlalu selesa tetapi apabila keturunan berkenaan dihapuskan, mereka tidak mempunyai pemimpin yang mampu lagi memimpin mereka.

Sejarah yang sama juga yang berlaku kepada kerajaan Melayu Melaka apabila tentera Portugis dengan jumlah sedikit daripada tentera Kesultanan Melayu Melaka mampu menumbangkan kerajaan Melaka dalam tempoh sedikit.

Hanya berbekalkan kelebihan sedikit teknologi dan peranan si Kitul yang bertindak sebagai ‘punahsihat’ kepada Sultan Melaka, maka jatuhlah Kesultanan Melayu Melaka yang pernah menjadi antara empayar Melayu terbesar di rantau ini.

Terus terang saya katakan betapa ada sedikit persamaan dengan apa yang berlaku dalam pemerintahan kerajaan Inca dan kerajaan Melayu Melaka dengan apa yang berlaku dalam Umno pada ketika ini apabila ada tanggapan masyarakat luar bahawa parti ini adalah sebuah institusi feudal.

Kini pemimpin Umno dianggap sebagai pemimpin institusi feudal yang tidak boleh dikritik dan jika ada ahli akar umbi yang mengkritik secara terbuka walaupun untuk kebaikan, mereka akan dicap sebagai tidak taat atau derhaka.

Sebaliknya, pemimpin feudal Umno ini kini mahu segala kritikan dilakukan menggunakan saluran tertutup tetapi adakah mereka mendengarnya atau mengambil tindakan terhadap segala kritikan dan masalah akar umbi yang dinyatakan atau mereka terus bersenang lenang dengan bermimpi bulan dan bintang.

Sudah acap kali saya nyatakan betapa Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu segera berubah kerana pakatan pembangkang semakin berkembang dan mempunyai ramai pengikut dan sudah sampai masanya Umno berfikir seperti tentera Sepanyol.

Pemimpin Umno dan BN perlu berani mengikis sistem feudal dalam parti dengan segera dan membuang segala pelan penggantian yang diatur kerana sudah banyak rekod membuktikan pelan yang diatur tidak akan berjaya kerana ia hanya memuaskan hati sesetengah pihak sahaja… lihat apa yang berlaku dalam parti komponen BN sendiri, baru-baru ini.

Apa yang berlaku kepada Umno dan BN kini, adalah lebih kepada menyalahkan orang lain, menyalahkan pembangkang, menyalahkan kaum lain hingga pemimpin parti dilihat tidak mempunyai strategi ‘perang’ politik.

Dan keadaan ini melarat hingga ke peringkat akar umbi hingga menyebabkan rakyat semakin meluat sedangkan sebagai sebuah parti yang sudah menjadi kerajaan hampir enam dekad, kekuatan Umno dan BN adalah lebih daripada itu.

Kegagalan mengeksploitasikan kekuatan sebenar Umno dan BN sebaliknya terus leka dengan adat istiadat, protokol dan yang terbaru menggunakan imej agama bagi menarik sokongan rakyat sedikit sebanyak menyerupai apa yang diamalkan dalam kerajaan Inca.

Memang benar kita tidak boleh melupakan perjuangan terhadap agama bangsa dan negara termasuk mempertahankan apa yang sudah diamalkan tetapi janganlah menggunakannya sebagai sumber kekuatan hingga dilihat parti tidak lagi mempunyai idea dan strategi.

Lebih sedih apabila ada pemimpin Umno secara terang-terangan menyalahkan kaum lain kerana kononnya ‘merompak’ hak keistimewaan orang Melayu sedangkan hakikatnya, masyarakat Bumiputera terus memerlukan ‘tongkat’ untuk berjaya dan ia diakui sendiri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kejayaan empayar Inca yang dikecapi pada zaman Tanah Melayu ketika itu masih primitif berteraskan dalam bidang pertanian moden waktu itu yang menjamin bekalan makanan cukup selain kejuruteraan, malah mereka juga menjadi manusia pertama yang berjaya menjelajah dan memanjat Gunung Andes, gunung paling tinggi di Amerika Selatan, jauh lebih hebat daripada apa yang pernah dikecapi Malaysia sepanjang Umno dan BN memimpin Malaysia selama hampir enam dekad.

Namun dengan kejayaan yang sebegitu hebat sekalipun kerajaan empayar Inca tumbang disebabkan 200 penjelajah Sepanyol serta wabak penyakit seperti Tibi yang dibawa kaum pendatang berkenaan membunuh sebahagian rakyatnya.

Jika pemimpin Umno dan BN berterusan mempunyai sindrom penafian terhadap penolakan rakyat terhadap parti pada ketika ini dan menguruskan parti seperti sebuah institusi feudal seperti tanggapan dua ahli akademik terhadap saya, tidak mustahil parti ini akan menjadi seperti empayar Inca yang hanya mampu berkuasa selama 95 tahun sahaja di sebalik segala kejayaan besar yang dikecapi.

Walaupun mempunyai segala kemewahan dan kemakmuran, sejarah empayar Inca membuktikan hanya dengan 200 orang penjelajah Sepanyol mampu menumbangkan sebuah empayar apabila rakyat tidak lagi bersama-sama dengan pimpinan kerajaan dan parti yang terlalu sibuk dengan adat istiadat, protokol dan bermewah-mewahan. – 4 Mac, 2015.