PAS

‘Ustaz Haraki’, terimalah cabaran debat

By Kit

March 04, 2015

A Shukur Harun The Malaysian Insider 3 March 2015

Belum pernah seingat saya, terjadi krisis setajam ini di dalam PAS sepanjang 63 tahun penubuhannya, sehingga telah muncul pelbagai tuduhan seperti sesat, barua, songsang, liberal dan pelbagai kata-kata kesat yang sangat tidak elok disebutkan.

Ini menggambarkan bahawa tahap krisis di dalam PAS ini sudah sampai ke peringkat parah di mana Umno/BN – musuh politik PAS selama ini – mendapat “keuntungan politik” daripada krisis dalaman PAS ini.

Krisis ini telah bertambah marak dalam program Multaqa Ulama baru-baru ini, iaitu apabila tercetus serangan bertubi-tubi dari yang menggelar dirinya “Ustaz Haraki” terhadap golongan yang bukan ustaz, khususnya golongan profesional.

Mereka melancarkan pelbagai tuduhan, persepsi yang salah, melemparkan kata-kata kesat yang tidak disebut mereka yang bergelar ustaz, tetapi telah keluar dengan bebasnya dari mulut “Ustaz Haraki”.

Mereka menuduh kononnya beberapa pimpinan PAS di peringkat pusat bersekongkol menjatuhkan presiden PAS.

Ada pula yang berdemonstrasi di depan pejabat agung mempertahankan presiden. Hampir setiap hari isu ini dipaparkan di pelbagai media di mana “Ustaz Haraki” silih berganti membuat kenyataan, walaupun kenyataan mereka itu sangat merosakkan imej PAS sendiri.

Apakah sebenarnya yang telah terjadi di dalam PAS? Ramai yang bertanya.

Krisis ini sukar reda, malah terus membara. Kita masih ingat apa yang berlaku dalam Muktamar Pemuda dan muktamar penuh PAS yang lalu di Johor, iaitu pemuda berjeket hitam bertulis “Kami menyokong Presiden” keluar beramai-ramai ketika timbalan presiden, Mohamad Sabu berucap di Muktamar Pemuda.

Bukan itu sahaja, bahkan ada doa panjang mencaci pemimpin tertentu PAS yang dibencinya, di samping sorakan “boo” kepada pemimpin yang tidak disukainya.

Tiada jaminan kekecohan seperti ini tidak akan berlaku lagi dalam muktamar PAS Jun ini.

Semua ini sangat memalukan, sesuatu yang tidak pernah berlaku di zaman kepimpinan Yusuf Rawa dan Ustaz Fadhil Mohd Noor.

Ada pula yang menuduh kononnya usaha menjatuhkan presiden PAS bermula sejak 1998 lagi, pada hal waktu itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum lagi menjadi presiden. Ustaz Fadhil menjadi presiden dan sepanjang yang diketahui, tidak ada usaha menjatuhkan presiden PAS.

Betapa pun fakta yang salah, namun serangan demi serangan dengan pelbagai label dan kata-kata kesat oleh kumpulan “Ulama Haraki” ini masih berterusan dan tidak ada tanda akan berhenti, seolah-oleh mereka ada lesen besar berbuat demikian.

Sehubungan itu, seorang tokoh AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, salah seorang yang dituduh dengan pelbagai tuduhan oleh “Ulama Haraki”, telah menawar diri berdebat dengan mereka dalam isu-isu yang berbangkit di dalam PAS, sekaligus menjawab pelbagai tuduhan “Ustaz Haraki” ini.

Dalam Facebooknya, yang khabarnya sudah dimajukan kepada beberapa “Ulama Haraki” itu sendiri, antara lain Dzulkefly menyebut:

“Ada ustaz-ustaz Haraki yang menyerang kami dan hendak menjatuhakn kami. Telah kami katakan, “Cukuplah”, tetapi semakin menjadi-jadi. Kerja ini hanya memberi peluru kepada musuh politik PAS.

“Kami bukan jahil sangat mengenai Islam dan disiplin ilmunya. Ini kerana PAS sejak zaman berzaman, khusunya era Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Noor, telah ‘menguztazkan’ kami. Malah ada di antara kami yang telah mendapat tarbiyah haraki sejak zaman student lagi.

“Saya telah mendapat izin presiden PAS sendiri dan mesyuarat AJK PAS Pusat untuk mengadakan wacana-bahas-debat. Pilih saja setting yang lebih selesa untuk kami menjawab semua tuduhan – sesat, liberal, pengamal pluralisme dan pelbagai lagi.”

Demikian kenyataan Dzulkefly dalam Facebook. Maka sangat wajar disambut oleh mereka yang menggelar diri “Ustaz Haraki” yang sering saja melemparkan pelbagai tuduhan, malah fitnah terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan mereka, khususnya Dzulkefly dan kawan-kawannya.

Wajar diketahui, tokoh seperti Dzulkefly, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dr Hatta Ramli dan teman-temannya yang lain dari kalangan professional dalam AJK PAS Pusat, adalah luas pembacaan mereka, termasuk buku-buku dari ulama Ikhwanul Muslimin. Mereka berusrah sejak remaja – dalam dan luar negeri – berinteraksi dengan para tokoh Islam di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Ada yang menguasai bahasa Arab selain Inggeris.

Hanipa sendiri adalah peguam lulusan UIA yang dalam ilmu agamanya, mampu membahaskan isu undang-undang, khususnya udang-undang Islam. Demikian juga Khalid yang berusrah sejak belajar di London.

Juga tokoh seperti Dr Hatta dan lain-lain. Mereka menguasai ilmu agama dengan baik sekali, malah boleh menyampaikan tazkirah.

Demikian juga Mohamad Sabu yang mempunyai pengalaman luas dan pengorbanan begitu besar kepada PAS. Beliu juga melalui tarbiyah sejak remaja lagi.

Sebagai AJK PAS Pusat, mereka ini telah berkorban dan telah melaksanakan kerja-kerja jamaah dengan baik sekali seperti diamanahkan.

Seingat saya, sepanjang saya mengikuti usrah, tamrin dan mukhayyam dengan Ustaz Fadhil, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Hasan Shukri, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, di mana mereka melarang anak usrahnya mewujudkan gelaran atau tuduhan seperti sesat, Islam sekular dan sebagainya.

Ini kerana, kata mereka, pendakwah tugasnya hanya mendakwah, bukan menghukum dan menuduh seseorang kerana perbuatan ini merosakkan ukhuwah berjamaah. Ini diingatkan berulang kali oleh para tokoh murabbi tersebut. Malangnya, kini kata-kata kesat, tuduhan, melabel seseorang, malah menghukum, didapati begitu berleluasa sekali di tengah krisis yang melanda PAS sekarang ini.

Oleh itu, cabaran debat oleh Dzulkefly sangat wajar disambut oleh mereka yang menggelar diri “Ustaz Haraki” bagi menilai hujah kedua-kedua pihak.

Jangan ada pula pihak yang mengatakan debat atau wacana seperti ini tidak ada dalam Islam maka tidak perlu dilayan. Jika ini hujahnya, maka ini hanya alasan untuk tidak bersedia berdebat.

Padahal yang nyata-nyata dilarang keras oleh Islam ialah menuduh, label-melabel, berkata dusta, malah memfitnah seseorang.

Malangnya, perbuatan inilah yang telah dilakukan oleh apa yang dipanggil “Ustaz Haraki”. Masyarakat umum, khususnya umat Islam, sedang menunggu perkembangan ini. Untuk itu saya teringat kata-kata klasik Inggeris: “Respect is what you earned and deserved, not what you demand”. – 3 Mac, 2015.