DAP

Kalah Tapi Permulaan Yang Baik Bagi Dyana

By Kit

June 02, 2014

oleh Shahbudin Husin The Malaysian Insider 1st June 2014

Sebagaimana yang sudah diketahui umum, BN berjaya merampas kembali kerusi Teluk Intan yang kali terakhir pernah dimenanginya pada 2004 dahulu. Dalam keputusan yang diumumkan tadi, calon BN, Mah Siew Keong berjaya menewaskan calon DAP, Dyana Sofya dengan majoriti 238 undi.

Dengan peratusan keluar mengundi begitu menurun iaitu hanya sebanyak 66.5 peratus, Mah memperolehi undi sebanyak 20,157 manakala Dyana Sofya meraih sebanyak 19,919 undi. Undi rosak pula sebanyak 550.

Walaupun tewas dan percubaan DAP meneroka aliran politik yang merentasi batas perkauman ditolak oleh pengundi Teluk Intan, tetapi haruslah juga diakui bahawa ini merupakan permulaan yang baik bagi Dyana untuk mengembangkan lagi potensinya sebagai ahli politik masa depan.

Kalah kali pertama tidak bererti akan kalah selamanya.

Beliau secara umumnya diterima sebagai ikon orang muda dan percubaan kali pertama dalam usia 27 tahun ini tentunya memberi banyak pengajaran dan pengalaman kepadanya. Namun sebagai orang luar Teluk Intan yang kali pertama bertanding dan lawannya pula merupakan presiden parti keempat terbesar dalam BN, kejayaan memberi cabaran sengit kepada BN masih boleh dikira membanggakan.

Selain berhadapan dengan Mah selaku Presiden Gerakan, Dyana turut berhadapan dengan kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri Perak di mana pemimpinnya silih berganti turun berkempen dan menawarkan habuan kepada pengundi. Dengan peratusan pengundi Cina 42 peratus, Melayu 38 peratus dan India 19 peratus, latar belakang dan komposisi pengundi sebegini memang diakui memberi cabaran yang hebat kepada mana-mana calon pembangkang.

Sekurang-kurangnya dua sebab utama menjadi punca kekalahan Dyana dan DAP dalam pilihanraya ini. Pertama, kekurangan sokongan pengundi Melayu yang mana kehadiran beliau sebagai calon telah berjaya dimanipulasi dan disensasikan oleh jentera BN melalui pelbagai isu berkaitan diri dan apa yang pernah diperkatakannya seperti mengenai hudud dan UiTM.

Walaupun Dyana merupakan seorang Melayu tetapi jentera BN gigih memainkan isu bahawa di belakangnya adalah Cina dan berbeza dengan Mah yang walaupun Cina tetapi di belakangnya adalah Melayu.

Dan sejak awal lagi BN memang memberi tumpuan yang lebih kepada pengundi Melayu kerana mereka merasakan tiada harapan untuk bergantung kepada pengundi Cina yang majoritinya memang menyokong DAP. Lagi pula pengundi Melayu yang banyak berlatarbelakangkan kampung agak mudah dipengaruhi.

Sebab kedua kekalahan Dyana ialah wujudnya kecenderungan sebahagian pengundi Cina yang tidak mengundinya kerana masalah dalaman DAP. Mereka ini lebih mahukan calon tempatan diketengahkan dan bila kemunculan Dyana yang turut dibimbangi akan menenggelamkan terus calon tempatan dalam pilihanraya akan datang, maka penolakan golongan ini jadi membesar.

Selain tidak mengundi DAP, pengundi Melayu dan Cina yang enggan menyokong Dyana ini juga sebahagiannya mengambil keputusan tidak turun mengundi atau merosakkan kertas undi. Hal ini sudah kedengaran di hari-hari terakhir sebelum pembuangan undi lagi.

Sebab itu, tidak memeranjatkan jika peratusan yang keluar mengundi hanya 66.5 peratus saja manakala undi rosak pula sebanyak 550 dan lebih tinggi daripada majoriti kemenangan sebanyak 238 undi.

Melalui kemenangan ini, sebagaimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri sendiri, Mah akan dilantik menjadi menteri atas kapasitinya sebagai Presiden Gerakan. Melalui beberapa janji yang terkandung dalam manifestonya pula, pembinaan sebuah universiti tentulah antara yang paling ditunggu-tunggu oleh penduduk Teluk Intan.

Melalui beberapa janji menteri yang lain lain pula seperti wifi yang lebih laju, pembangunan yang lebih banyak, pembinaan lebuhraya Banting-Taiping yang dijanji dipercepatkan, uniform untuk anggota RELA dan sebagainya, semuanya itu sedang dinanti oleh penduduk Teluk Intan walaupun Mah berkata, semua itu bukan janjinya dan beliau tidak terikat dengannya.

Namun jika semua janji itu tidak ternampak bayangnya atau sebatang tiang pun gagal dinaikkan menjelang pilihanraya 2018 nanti, tidak mustahil kerusi Teluk Intan ini kembali semula ke pangkuan DAP.

Meskipun ada kemungkinan sesetengah pemimpin UMNO bersikap agak sombong dan poyo dengan kejayaan merampas kerusi Teluk Intan ini daripada DAP, tetapi secara keseluruhannya pola pengundian masih menjanjikan persaingan yang sengit dalam pilihanraya umum akan datang. Najib, UMNO dan BN belum boleh bersenang-lenang lagi.