General

Alumni UiTM mudah lupa

By Kit

May 21, 2014

By Ahmad Tempe MAY 21, 2014 | TMI

Henry A Kissinger pernah menyebut “university politics are vicious precisely because the stakes are too small”. Ini membawa erti yang politik di universiti itu ganas kerana pertaruhannya kecil.

Tidak perlu cari mat kaki demo atau “pemberontak” seperti Khalid Ismath jika mahu mentafsirkan “keganasan” politik di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Cukup sekadar kita temuramah mat-mat kaki “dating” atau mat “dota” dan mereka akan menjawab: “Ala, UiTM ni kita kena sokong kerajaan (baca:Umno/BN), kalau tidak susah kita nanti.”

Hari ini, Persatuan Alumni UiTM Malaysia secara tiba-tiba lantang mengingatkan calon DAP Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud supaya berhenti menggunakan nama UiTM dalam tujuan kempen kerana UiTM sepatutnya “bebas”. Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk membela atau mengangkat si Dyana.

Saya juga bukanlah hendak menjadi batu api atau bertelagah dengan geng-geng alumni ini. Tetapi, hendak bebas itu bebas yang bagaimana?

Semua orang tahu UiTM mempunyai “pusat latihan tidak rasmi Umno”. Siapa tidak tahu proses untuk menjadi calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM pun ketat? Mesti mesra kerajaan? Hendak berahsia bagaimana lagi?

Sebelum ini pun UiTM pernah menjadi medan kempen bagi Umno/BN apabila Datuk Seri Najib Razak hadir untuk berucap serta menabur janji kepada mahasiswa UiTM di samping menjamu makanan enak-enak (baca: KFC).

Selain itu, alumni juga jangan lupa UiTM pernah menjadi pentas bagi Pertandingan Pidato Politik Pemuda Barisan Nasional. Hendak sorok mana lagi?

Itu belum lagi kempen politik yang dihadiri Dr Sidek Baba pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. Persidangan Khas Tahunan Perkasa ke-2 di Dewan Agung Tunku Canselor, UiTM Shah Alam pula siapa hendak jawab? Bagaimana dengan mahasiswa UiTM Cawangan Sabah yang didakwa kerana berfahaman lain daripada yang ‘betul’? Tetapi mahasiswa yang terlibat dengan politik Umno/BN dibiarkan bebas?

Bukan tugas saya hendak sebut satu-satu kempen politik yang dijalankan di UiTM. Tidak perlu disebut semua. Tetapi, cukup sekadar memberi peringatan supaya kita ‘cakap serupa bikin’.

Orang Melayu selalu cakap kita ‘janganlah meludah ke langit’. Jika Alumni benar mahu membebaskan UiTM daripada cengkaman politik dan ikhlas mahu memberi kebebasan terhadap setiap individu berpartisipasi dalam sistem demokrasi, bersihkan dahulu rumah sendiri.

Bebaskan anak-anak Melayu supaya pada masa akan datang mereka bebas. Bebas memilih dan bebas untuk berterbangan. Janganlah kita lupa tentang ucapan penggulungan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Rang Undang-Undang Institut Teknologi Mara dan Rang Undang-Undang institut-institut pelajaran (tatatertib) bertarikh 17 April 1976 yang menyebut:

“….saya berharap janganlah institusi pelajaran kita jadikan sebagai assembly line dan kita keluarkan orang yang fikiran yang sama, pendapat yang sama dan kebolehan yang sama seperti motokar dan jentera yang dibuat melalui assembly line. Kita berharap mereka ini akan berbagai corak supaya negara ini tidak merupakan satu negara yang penuh dengan orang yang serupa fikiran, serupa muka, serupa semuanya sehingga membosankan kita melihat orang yang sama rupanya dengan kita.”

Justeru, bebaskan mahasiswa UiTM!