MH 370

Karpal Singh, pemimpin lagenda Malaysian Malaysia!

By Kit

April 23, 2014

– Loke Siew Fook Roketkini.com April 23, 2014

Pemergian mantan Pengerusi Kebangsaan DAP Sdr Karpal Singh pada pagi 17 April 2014 dalam satu kemalangan ngeri di KM301.6 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Gua Tempurung menggemparkan seluruh negara. Saya dimaklumkan tentang berita sedih tersebut semasa berada dalam lawatan ke Guangzhou, China, atas jemputan sebuah institut penyelidikan rantau Asia Tenggara di sana. Saya memendekkan lawatan saya untuk kembali ke Malaysia pada 18 April untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Sdr Karpal.

Saya bersama seluruh kepimpinan DAP dan puluhan ribu rakyat Malaysia mengiringi jenazah Sdr Karpal untuk menyelesaikan perjalanan terakhirnya di Georgetown, Pulau Pinang, pada tengahari 20 April 2014. Sepanjang perarakan tersebut, perasaan saya sedih dan terharu untuk menghantar seorang pemimpin politik dan peguam yang amat sinonim dengan rakyat Malaysia. Nama Karpal Singh telah tertanam di minda saya sejak di bangku sekolah lagi. Gandingan beliau dengan Sdr Lim Kit Siang merupakan beregu yang paling mantap dalam kepimpinan tertinggi DAP dan barisan pembangkang di Parlimen sepanjang beberapa dekad yang lalu.

Saya merenung wajah dan emosi orang ramai yang berduyun-duyun memberikan penghormatan terakhir kepada Sdr Karpal di Dewan Sri Pinang dan juga puluhan ribu yang berbaris di sepanjang jalan. Ramai yang menitiskan air mata dan tidak dapat mengawal kepiluan hati naluri mereka. Ramai juga yang berteriak “Karpal Singh, Karpal Singh” dengan penuh bersemangat sebagai tanda menghargai semangat perjuangan beliau.

Mereka ini terdiri daripada pelbagai latarbelakang kaum dan agama, darjat dan lapisan masyarakat. Daripada golongan peguam hinggalah para penjaja, Sdr Karpal menyayat hati semua. Ini terbukti dengan reaksi spontan ribuan penunggang motosikal yang mengiringi kereta jenazah beliau untuk sampai ke krematorium.

Dalam hati kecil, saya berasa amat bangga sebagai seorang ahli DAP dan berkhidmat sebagai seorang anggota CEC di bawah kepimpinan Sdr Karpal Singh. Sdr Karpal adalah dari kaum minoriti yang paling kecil di Malaysia iaitu komuniti Sikh. Namun, beliau bukan disanjungi sebagai seorang pemimpin komuniti Sikh mahupun pemimpin DAP semata-mata, tetapi sebagai seorang pemimpin rakyat Malaysia yang telah banyak berkhidmat dan berkorban untuk negara!

Bagi saya, beliaulah manifestasi terbaik dalam perjuangan DAP merealisasikan impian “Malaysian Malaysia”. Seorang pemimpin yang melihat dirinya, dan dilihat oleh masyarakat, bukan dari segi latarbelakang kaum dan agamanya tetapi sebagai seorang anak bangsa Malaysia. Sdr Karpal telah berjaya mencapai status tersebut dalam riwayat hidupnya.

Perjuangan Sdr Karpal dalam bidang guaman dan politik tidak pernah bersandarkan faktor perkauman tetapi berpaksikan nilai-nilai keadilan sejagat dan kebebasan, kesamarataan dari segi undang-undang dan demokrasi untuk semua. Nilai-nilai dan prinsip-prinsip tersebut merupakan pegangan prinsip hidupnya sepanjang hayat. Beliau sering mengingatkan kami, “tidak ada kawan dan musuh yang kekal dalam dunia politik, hanya prinsip yang kekal.”

Pegangan prinsipnya amat kuat dan konsisten. Semua orang mengetahui pendirian beliau yang tidak pernah berganjak dalam isu pelaksanaan undang-undang Hukum Hudud. Namun, perlu ditegaskan bahawa penentangan beliau terhadap pelaksanaan Hukum Hudud di Malaysia BUKAN kerana beliau memusuhi agama Islam. Pendiriannya jelas bahawa pelaksanaan tersebut tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dengan keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Mana-mana pencacai yang menimbulkan buruk sangka terhadap Sdr Karpal perlu diingatkan bahawa Sdr Karpal pernah mempertahankan hak kaum Muslimat untuk menutup aurat mereka dengan pemakaian purdah dan tudung baik di Malaysia mahupun di Singapura. Prinsipnya konsisten, iaitu hak beragama masing-masing yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan selama-lamanya, tetapi undang-undang jenayah yang merupakan undang-undang sekular perlu diaplikasikan secara sama rata terhadap semua rakyat untuk memartabatkan prinsip keadilan untuk semua.

Pemergian Sdr Karpal pada ketika negara melalui proses perubahan politik yang belum lagi selesai sudah tentu meninggalkan satu vakum dalam kepimpinan DAP dan Pakatan Rakyat. Namun, prinsip dan kebijaksanaan beliau akan terus menjadi pedoman kepada kepimpinan pelapis DAP dalam memacu perjuangan DAP dalam merealisasikan impian Malaysia untuk rakyat Malaysia!

Terima kasih atas perjuanganmu… Sdr Karpal Singh, pemimpin lagenda Malaysian Malaysia!

*Loke Siew Fook adalah Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seremban