Lim Kit Siang

Perutusan Tahun Baru 2014

Kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada 2013 dengan dada yang lapang; dengan kesedaran bahawa pada setiap penghujung tahun adalah permulaan bagi hari-hari baru yang bakal menjelang. Kita harus sentiasa optimis bahawa segala yang terjadi sepanjang tahun lalu adalah batu-batu asas yang akan merintis jalan ke arah perubahan.

Perubahan itu sifatnya abadi. Setiap waktu, setiap hari; perubahan tidak berhenti. Tidak ada siapa yang mampu menahan perubahan daripada berlaku ketika ia datang tepat pada waktu.

2008 yang lalu Malaysia telah melihat tsunami politik yang begitu besar, dengan beberapa buah negeri berjaya ditadbir oleh koalisi politik parti-parti oposisi yang kini dikenali umum sebagai Pakatan Rakyat.

Lima tahun kemudian pada 2013, ombak perubahan politik yang lebih kuat terus membadai lantas berkesudahan dengan pertambahan kerusi Pakatan Rakyat di Parlimen, selain menafikan majoriti undi popular parti pemerintah.

Pasca 505, negara menyaksikan harapan dan impian baru yang selama ini jarang-jarang diyakini boleh tercapai. Meski pun harapan rakyat untuk melihat perubahan rejim tidak kesampaian, kita masih boleh merasakan kehendak rakyat yang semakin berkobar-kobar mahukan sebuah perubahan, dan tanggungjawab membawa perubahan ini haruslah digalas bersama.

Pilihanraya Umum ke 13 menyaksikan gerak gempur yang begitu berjaya; terutamanya di Selatan tanah air, di mana kubu-kubu UMNO dan BN selama ini luluh hasil daripada keazaman rakyat menuntut perubahan. Kita telah menafikan angan-angan politik perkauman BN apabila DAP bersama-sama Pakatan Rakyat menang di Gelang Patah sungguhpun ada cubaan oleh pemimpin UMNO untuk menjadikan pertandingan tersebut sebuah isu perkauman.

Begitu juga halnya dengan kerusi-kerusi seperti Raub dan Bukit Bendera di mana DAP telah meletakkan calon-calon Melayu yang menang di kawasan majoriti pengundi Cina. Ilusi politik perkauman yang dibikin UMNO hancur lebur, dan oleh kerana kegagalan itu mereka lantas mudah menyalahkan pengundi Cina.

Mereka barangkali lupa dengan kerusi Temerloh yang dimenangi mantan Ketua Pemuda PAS, Saudara Nasruddin Tantawi yang mengalahkah Dato Saifuddin Abdullah yang bukan calang-calang orangnya. Bukan sahaja di kerusi bandar, malah di kawasan luar bandar seperti Temerloh juga rakyat sudah kian berani menolak UMNO dan kuncu-kuncunya.

Semua ini adalah indikator bahawa segala propaganda kerajaan hampir sahaja tidak berjaya apabila berdepan dengan keazaman rakyat yang begitu kuat.

Keazaman ini lah yang bakal merintis jalan ke arah impian rakyat Malaysia yang mahu melihat sebuah negara yang demokratik, adil dan memberikan peluang saksama untuk semua; serta menolak kelakuan pelampau kaum dan agama serta mencela politik perkauman sempit yang memecahbelah perpaduan bangsa Malaysia.

Keazaman ini harus sentiasa diperbaharui dengan memperkukuhkan pendirian kita bersama ke arah sebuah masyarakat berbilang kaum yang tidak lagi fobia dan tidak mampu saling mempercayai akibat daripada operasi politik pembodohan dan perkelahian yang disemai UMNO dan BN selama puluhan tahun.

Saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk mengingat kembali segala pahit manis yang telah kita lalui sepanjang tahun lalu dan terus berusaha ke arah Malaysia yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Generasi akan datang harus dipersiapkan dengan ilmu dan maklumat yang benar, selain dipastikan tidak menjadi mangsa pembodohan terancang pihak pemerintah yang tidak lain hanya mahu supaya rakyatnya tidak terlalu cerdik sehingga mampu melawan kezaliman dan salahguna kuasanya. Zaman sudah berubah dan hari ini rakyat dari segenap lapisan usia kian celik dan sedar melalui jaringan maklumat di internet dan laman media sosial.

Politik pembodohan dengan menggunakan aparat-aparat perkauman dan agama tidak lagi relevan dan hanya membawa negara ke arah kemunduran. Adalah amat dayus bagi pihak pemerintah untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat kegagalannya mengurus ekonomi sehingga mengakibatkan inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang begitu teruk, dengan menyajikan penipuan, fitnah serta politik permainan sentimen agama dan perkauman sempit.

Di ambang tahun 2014 ini, saya menyeru semua warga Malaysia yang berakal waras untuk meneruskan usaha menolak politik lapuk dan merintis jalan politik baru demi sebuah negara yang lebih baik, Malaysia impian kita bersama.

Exit mobile version