Education

Tiga keadaan mendukacitakan untuk Malaysia dalam penilaian pelajar antarabangsa PISA 2012 bagi subjek matematik, sains dan bacaan

By Kit

December 09, 2013

Sekiranya pencapaian Malaysia dalam tiga subjek matematik, sains, dan bacaan dalam PISA (Programme for International Student Assessment) 2012 adalah sedikit lebih baik daripada ujian PISA 2010, sudah tentu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyebut perkara tersebut dalam ucapannya sewaktu pembukaan mesyuarat agung tahunan Pemuda, Wanita, dan Puteri Umno pada malam Selasa lalu (keputusan PISA keluar awal hari yang sama) sebagai bukti bahawa Malaysia sedang bangkit untuk menghasilkan sebuah sistem pendidikan bertaraf dunia di bawah kepimpinannya.

Tetapi keputusan PISA 2012 lebih sesuai dijadikan sebab untuk bermuram daripada bersuka ria. Kerana itulah Muhyiddin membisu tentang keputusan PISA – tidak seperti rakan sejawatannya dari Singapura, Menteri Pendidikan Heng Swee Keat yang menyebut pada hari keputusan PISA diumumkan bahawa beliau amat gembira remaja berusia 15 tahun di Singapura telah mencatatkan pencapaian yang “amat, amat baik” dalam PISA 2012, memandangkan pelajar Singapura ditempatkan pada tangga kedua dalam matematik, ketiga dalam sains dan bacaan dalam ujian penilaian global yang melibatkan 510,100 pelajar berusia 15 tahun dari 65 buah negara dan wilayah.

Menteri Pendidikan Thai, Chaturon Chaisang ceria apabila pelajar Thai mencatatkan skor 441 dalam bacaan, 427 dalam matematik dan 444 dalam sains (mengatasi Malaysian dalam ketiga-tiga subjek itu). Menurut beliau, pencapaian pelajar-pelajar Thai membayangkan potensi negara itu dan mampu menarik masuk pelaburan. Ada cukup banyak sebab untuk Malaysia berduka dengan PISA 2012, apatahlagi kerana negara ini telah mengumumkan hasrat untuk menduduki tangga tiga teratas dalam penilaian antarabangsa seperti yang diukur menerusi pencapaian dalam PISA atau Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menjelang tahun 2021.

Malah Muhyiddin pernah menyebut sebelum penerbitan Laporan Awal Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 Oktober lalu bahawa anak-anak Malaysia mendapat pendidikan lebih baik daripada anak-anak Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Dakwaan Muhyiddin itu bukan saja tidak didukung oleh laporan terkini TIMSS dan PISA, malah PISA 2012 menunjukkan bahawa pelajar berusia 15 tahn dan sistem pendidikan Malaysia berdepan dengan tiga keadaan mendukacitakan:

Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia menyebut:

“Sepanjang dua dekad yang lalu, pentaksiran antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan merentas pelbagai sistem. Kaedah ini mentaksir pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan…

“Keputusan PISA 2009+ (penyertaan kali pertama Malaysia) juga tidak memberangsangkan kerana kedudukan Malaysia terletak dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Pencapaian ini juga meletakkan Malaysia di bawah pencapaian purata antarabangsa dan OECD.

“Hampir 60% murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009+ gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44% dalam Bacaan dan 43% dalam Sains tidak mencapai tahap kemahiran minimum.

“Perbezaan skor sebanyak 38 mata dalam skala PISA adalah bersamaan dengan satu tahun persekolahan.

“Perbandingan skor ini menunjukkan murid berumur 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai mempunyai prestasi tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding murid berumur 15 tahun di Malaysia.”

Jurang skor antara pelajar Malaysia berusia 15 tahun dengan pelajar Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Shanghai pada usia yang sama semakin jauh sejak PISA sebelum ini.

Berasaskan perbezaan 38 mata pada skala PISA yang bersamaan dengan setahun persekolahan, jurang telah melebar ke tahap di mana pelajar berusia 15 tahun di Shanghai, Singapura, dan Korea Selatan menunjukkan prestasi seolah-olah mereka mendapat waktu persekolahan empat atau lima tahun belih lama daripada pelajar berusia 15 tahun di Malaysia.

Perkara ini boleh dilihat menerusi carta di bawah:

Skor 2012 PISA (kurungan : perbezaan tahun persekolahan)

Bacaan Matematik Sains
Shanghai 570 (4.5) 613 (5) 580 (4.2)
Singapore 542 (3.8) 573 (4) 551 (3.5)
S. Korea 536 (3.6) 554 (3.5) 538 (3.1)
Hong Kong 545 (3.9) 561 (3.7) 555 (3.6)
Malaysia 398 421 420

Sebagai Menteri Pendidikan, Muhyiddin tidak boleh terus membisu dan sebaliknya menjelaskan bagaimana beliau hendak mengatasi tiga perkara yang mendukacitakan bagi pendidikan Malaysia seperti yang dapat dilihat menerusi keputusan PISA 2012.