Lim Kit Siang

Malaysia berdepan kemungkinan untuk gagal mencapai sasaran mengisi tangga 30 teratas dalam CPI TI pada tahun 2020 dan malah dipintas oleh Cina dan malahan Indonesia dari segi kedudukan dan skor dalam CPI TI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan CEO Unit Pengurusan Prestasi (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala girang apabila Malaysia mendaki dari tangga ke 54 ke tangga ke 53 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) tahun ini lalu mengisytiharkan bahawa Pemandu mensasarkan untuk memasuki senarai 30 teratas menjelang tahun 2020.

Ya, kedudukan Malaysia dalam CPI TI tahun ini meningkat satu anak tangga menempati kedudukan ke-53 dari 177 negara berbanding tangga ke-54 tahun lalu, manakala skor CPI TI negara ini semakin baik pada 50/100 mata berbanding 49/100 mata untuk tahun lalu.

Bagaimanapun, satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa untuk tahun kelima berturut-turut di bawah kepimpinan Najib (2009-2013), Malaysia mengisi kedudukan lebih bawah dalam CPI TI berbanding di zaman Tun Mahathir dan Tun Abdullah.

Perkara berkenaan boleh dilihat dalam carta berkenaan CPI TI di bawah (1995-2013):

Perdana Menteri Kedudukan terbaik Skor terbaik Kedudukan paling buruk Skor paling rendah
Mahathir 23(1995) 5.32/10 (1996) 37 (2003) 4.8/10 (2000)
Abdullah 39(2004) 5.1/10 (2005/7/8) 47 (2008) 5/10 (2004/6)
Najib 53 (2013) 50/100 (2013) 60 (2011) 4.3/10 (2011)

Dari satu sudut, CPI TI 2013 mengesahkan kenyataan Mahathir dua hari lalu yang menyebut rasuah kini semakin teruk berbanding ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun (walaupun Abdullah juga boleh menyebut perkara yang sama bagi kepimpinan beliau selama lima tahun).

Bagaimanapun, Mahathir telah mengabaikan satu lagi hakikat – Malaysia mula terjerumus ke dalam rasuah sejak kepimpian beliau, memandangkan di bawah tiga Perdana Menteri pertama, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn, rasuah bukan masalah besar dan terkawal.

Malah, sehingga tahun tujuh puluhan, skandal terbesar di Parlimen adalah skandal Bank Rakyat, berjumlah RM65 juta, yang saya bahaskan di Parlimen pada tahun 1979.

Sejak tahun lapan puluhan, rasuah dan skandal kewangan lebih parah, melihatkan jumlah jauh lebih besar, misalnya skandal RM2.5 bilion Bumiputra Malaysia Finance (BMF), RM600 juta skandal pembelian timah Maminco, RM1.5 bilion skandal Co-operative Finance, sehingga kepada skandal pertukaran wang asing Bank Negara yang melibatkan wang sejumlah RM30 bilion serta skandal RM11 bilion Perwaja di tahun 90an. Terkini, kita menyaksikan skandal berbilion ringgit Scorpene dan pemerolehan keperluan pertahanan serta skandal RM12.5 bilion Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

Akar rasuah – politik wang dalam parti-parti kerajaan – tidak dipangkas dan malah semakin merebak seperti dianggarkan oleh orang dalam Umno yang menyebut bahawa untuk memenangi kerusi Naib Presiden Umno, diperlukan lebih RM10 juta, manakala untuk memenangi kerusi majlis tertinggi Umno, diperlukan lebih sejuta ringgit.

Politik wang besar-besaran juga turut berlaku dalam pemilihan parti MCA dan MIC – sehinggakan Presiden MCA menerima perkara ini sebagai satu hakikat dalam pemilihan parti apabila beliau menasihatkan perwakilan MCA dalam pemilihan parti MCA yang bakal menjelang untuk mengambil sikap seperti para pengundi dalam PRU13, iaitu “Ambil wang; jangan beri undi” (seperti yang dipaparkan terang-terangan dalam judul laporan sebuah akhbar Cina).

Meneliti kedudukan dan skor untuk 177 buah negara dalam CPI TI 2013 serta rekod selama 19 tahun CPI TI (1995-2013), tiada sebab dan tiada asas untuk sesiapa percaya bahawa sasaran Malaysia untuk memasuki senarai 30 teratas dalam CPI TI pada tahun 2020 adalah sasaran yang realistik atau mampu dicapai.

Malah, menjelang tahun 2020, Malaysia mungkin dipintas oleh Cina dan Indonesia dari segi kedudukan dan skor CPI TI. Dalam CPI TI pertama pada tahun 1995, Malaysia ditempatkan di tangga ke 23 dari 41 buah negara, dengan skor 5.28 dari 10, manakala Cina dan Indonesia ditempatkan di tangga dua terakhir, dengan skor CPI masing-masing 2.16 dan 1.94 dari 10 (pada peratusan 90 terbawah bagi skor CPI).

Jika Malaysia hendak menduduki tangga 30 teratas dalam CPI tahun 2020, kita perlu mencapai peratusan 35 teratas skor CPI dan bukan hanya 50/100, memandangkan skor lima buah negara yang berada di tangga ke 26 hingga 30 teratas dalam CPI TI 2013 adalah 69/100 bagi Austria UAE, 68/100 Estonia Qatar dan 64/100 Botswana.

Bagaimanapun, sejak 19 tahun lalu, Malaysia tergolong dalam salah sebuah negara yang kedudukan dan skornya dalam CPI TI merosot, malah telah dipintas oleh negara-negara yang mendapat kedudukan dan skor CPI lebih rendah pada tahun 1995, dan kini berdepan kemungkinan dipintas oleh negara-negara yang berada di kedudukan terbawah dalam CPI pada tahun 1995, iaitu Cina dan Indonesia.

Sebagai contoh, Malaysia berada pada kedudukan ke 23, dengan skor CPI 5.28/10 pada tahun 1995, di depan Taiwan (kedudukan ke 25, skor 5.08), Sepanyol (kedudukan ke 26, skor 4.35), Korea Selatan (kedudukan 27, skor 4.29), Hungary (kedudukan 28, skor 4.12), dan Turki (kedudukan 29, skor 4.10). Tetapi untukCPI TI 2013, Malaysia berada di bawah Taiwan (kedudukan 36, skor 61), Spain (kedudukan 40, skor 59), South Korea (kedudukan 46, skor 55), Hungary (kedudukan 47, skor 54) dan diekori rapat oleh Turki (kedudukan 53, skor 50).

Tidak seperi Malaysia yang mencapai peratusan skor lebih rendah sejak 19 tahun yang lalu, iaitu 5.28/10 pada tahun 1995 kepada 50/100 pada tahun 2013, semua negara Asia yang lain memperbaiki peratusan skor sejak 19 tahun yang lalu, misalnya Thailand dari 2.79/100 kepada 35/100; India dari 2.78/10 kepada 36/100; Philippines dari 2.77/10 kepada 36/100; Pakistan dari 2.25/10 kepada 28/100; China dari 2.16/10 kepada 40/100 dan Indonesia dari 1.94/10 kepada 32/100.

Rakyat Malaysia perlu bimbang kerana berdasarkan trend ini, Malaysia mungkin dipintas oleh Indonesia dan Cina sebelum tahun 2020 dari segi kedudukan dan skor CPI TI, melainkan Malaysia segera bertindak dan menunjukkan keseriusannya membasmi rasuah.

Bagaimana Malaysia hendak menjaga air mukanya jika dunia melihat Malaysia lebih rasuah daripada Indonesia dan Cina sebelum berakhir dekad ini?

Apakah ini nasib yang menanti Malaysia dari segi kedudukan dan skor CPI TI sebelum tahun 2020?

Exit mobile version