Lim Kit Siang

Berapa nilai Melayu dalam DAP?

– Izmil Amri Ismail
The Malaysian Insider/Roketkini.com
September 20, 2013

Ya, berapa nilai Melayu dalam DAP? Lebih spesifik, berapa nilai politisi Melayu dalam DAP? Sekupang, dua kupang, atau lima kupang? Atau adakah lebih daripada itu? Siapa yang menentukan nilai; dan kalau pun nilai itu boleh ditentukan, bagaimana caranya?

Untung sebenarnya DAP ditakdirkan untuk mengadakan pemilihan semula. Dengan kemenangan besar DAP sebagai sebahagian daripada koalisi Pakatan Rakyat pada PRU-13, 5 Mei lalu, pasti ramai personaliti yang ingin menyendeng dan bermesra dengan parti ini. Parti yang sebelum PRU-13 dilihat sebagai sebuah parti Cina dan tidak begitu mesra Melayu.

Dengan kemenangan tiga wakil rakyat Melayu pada PRU agak susah untuk musuh politik DAP menggunakan hujah ‘parti Cina’. Arakian maka semakin galaklah sekalian Melayu untuk kian mampir dan mengikut serta dalam perjuangan DAP.

Ini adalah perkembangan yang amat sihat dan membanggakan. Jenuh sungguh parti itu berusaha bagi menarik minat Melayu menyertai parti serta menjenamakan DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum. Penyertaan kian ramai orang Melayu ke dalam DAP kini sudah bukan lagi bahan berita. Sudah jadi perkara biasa.

Namun asas pergelutan politik adalah perlumbaan untuk mendapatkan kuasa. Ini benda yang mesti kita faham dan mengerti. Maka realpolitik dalam nyata politik struktur adalah keadaan wujudnya pertembungan yang mendesak perlawanan dan penilaian; siapa yang lebih layak serta siapa korbannya lebih.

Sekali lagi, ini asas mudah. Seperti mana anda juga tahu bahawa kalau mahu jadi calon pilihan raya; syaratnya mesti punya kelayakan dan punya kemampuan material sedikit sebanyak. Kalau tidak ada, harus cari. Kalau tidak mahu cari, jangan bertanding.

Pemimpin politik, tidak kira apa pun pembawakannya secara sekali pandang; harus punya kemampuan menjadi pemimpin. Kemampuan inilah yang memberi nilai kepada individu.

Untuk mendaki tangga politik struktur, harus ada nilai tambah. Ini juga asas. Kerana politik struktur ertinya bergelut mendaki tingkatan kuasa dan pengaruh. Kalau anda tidak ada nilai tambah, apa yang membezakan anda dengan orang lain yang juga seperti anda – mempunyai cita-cita politik.

Asas ini adalah terlalu fundamental untuk disyarahkan panjang lebar. Murid sekolah rendah juga tahu bahawa kalau dia tidak punya sifat kepemimpinan mahupun kemampuan intelek yang tinggi; dia tidak mungkin jadi ketua darjah misalnya. Mahu jadi pengawas sekolah atau ketua pelajar apatah lagi. Maka perlu ada muhasabah diri dan tentukan apa yang hebatnya kita ini sebelum mahu terjun sama bergulat dalam gelanggang perebutan kuasa dalam parti politik.

Berapa nilai pemimpin Melayu dalam DAP?

Soalan ini saya ulang kerana sebenarnya soalan ini bodoh.

Parti Tindakan Demokratik secara nyatanya adalah parti yang buta warna. Itu maksudnya ia tidak peduli anda kaum apa. Borang keahlian parti juga tidak bertanya anda kaum apa.

Untuk mempersoalkan nilai individu dalam sebuah parti buta warna dengan berasaskan penilaian kaum adalah kerja yang bukan sahaja bodoh, malah jahat. Persoalan sedemikian adalah strategi politik nakal untuk menimbulkan anasir politik perkauman dalam sebuah parti yang tidak peduli kaum.

Biarlah apa pun yang dipropagandakan kepada anda melalui media tradisional; kita semua tahu bahawa DAP bukan parti satu kaum, dan ia tidak memandang soal kaum. DAP menilai pemimpin dan anggotanya berdasarkan apa kerja yang dilakukan untuk parti. Seperti juga parti politik lain.

United Malays National Organisation sebagai contoh, tidak peduli pun latar belakang kaum anda asalkan anda buat kerja untuk partinya. Mamak, Melayu, Cina-Muslim; semua Melayu belaka bila berpayung di bawah Umno.

Kalau pun anda Melayu berdarah bangsawan yang masuk Umno tapi tidak ada nilai tambahan atau kemampuan menyumbang serta tidak buat kerja; Umno si parti Melayu itu pun tidak akan memandang anda dengan nilai tinggi.

Kalau anda punya cita-cita politik tetapi strategi dan operasi politik anda gagal serta nampak sangat macam anda tidak buat kerja, masuklah parti mana pun anda tetap bernilai ‘lima kupang’. Malah barangkali lebih rendah daripada itu.

Biar apa pun keturunan anda, apabila masuk sahaja DAP, anda seorang yang berbangsa Malaysia. Kalau sekadar dengan menjadi Melayu maka rasa nilai anda tinggi dan punya hak berbeza dalam parti (hanya kerana ke’Melayu’an itu) maka lebih baiklah balik rumah, tarik selimut dan tidur.

Exit mobile version