Police

Rakyat Malaysia mahu IPCMC menamatkan insiden kematian dalam tahanan memandangkan mereka tidak yakin terhadap sebarang jawatankuasa khas walaupun diketuai oleh KPN sendiri

By Kit

May 29, 2013

Pengumuman oleh pengarah pengurusan Bukit Aman Mortadza Nazarene bahawa pihak polis akan menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu untuk membendung insiden melibatkan kematian di dalam lokap polis amat tidak memuaskan dan tidak boleh diterima, memandangkan apa yang rakyat Malaysia mahukan adalah Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) seperti mana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin lapan tahun lalu pada 2005 bagi menamatkan terus peristiwa kematian dalam tahanan polis yang memalukan dan tidak berkesudahan.

Selepas menunjukkan dirinya sebagai KPN paling “bersifat politik” dalam sejarah pada minggu pertamanya dengan meletakkan keutamaan tertingginya adalah untuk melindungi rejim berbanding keselamatan rakyat Malaysia daripada jenayah dan kebimbangan terhadap jenayah, dengan tidak begitu mengambil kira hak asasi kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman rakyat Malaysia, rakyat Malaysia tidak yakin terhadap KPN atau mana-mana jawatankuasa khas polis sekalipun diketuai KPN untuk menamatkan insiden kematian dalam tahanan polis.

Khalid telah menjadi timbalan KPN sejak April 2011 dan rakyat Malaysia berhak untuk tahu apa yang telah dia lakukan sepanjang dua tahun lalu sebagai orang No.2 di dalam pasukan polis dalam menamatkan insiden kematian dalam tahanan polis, satu perkara keji dan memalukan yang ditonjolkan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin lama dulu pada tahun 2005?

Malah sekarang, meskipun berlaku dua lagi kematian di dalam lokap polis, N. Dharmendran, 32, di ibupejabat polis KL pada 21 Mei dan R. Jamesh Ramesh 40 di ibupejabat polis P. Pinang pada 26 Mei – pengumuman pihak polis sekadar berbentuk amalan perhubungan awam, kerana penubuhan jawatankuasa khas polis belum lagi dilaksanakan dan masih dalam perancangan!

Berapa banyak kematian dalam tahanan polis telah berlaku sepanjang lapan tahun lalu sejak laporan dan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin pada 2005?

Apakah pihak polis bersedia untuk mendedahkan pada umum senarai kematian dalam tahanan polis sepanjang lapan tahun lalu sejak RCI Polis Dzaiddin, menyatakan tindakan yang telah diambil pada setiap kes, termasuklah hukuman ke atas anggota polis yang ingkar?

Mortadza bercakap tentang polis membenarkan lawatan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memantau insiden kematian dalam tahanan polis.

Itu tidak mempunyai apa-apa makna apabila sudah lebih dari sebulan tiada seorang pun Pesuruhjaya Suhakam sejak tamat tempoh perlantikan kumpulan Pesuruhjaya Suhakam yang lalu.

Sebagai KPN dan Pengerusi jawatankuasa khas polis untuk kematian dalam tahanan polis, adakah Khalid bersedia untuk menerajui kempen untuk menubuhkan IPCMC bagi mewujudkan pantauan efektif semua bentuk kesalahan polis? Jika demikian, Khalid akan mendapat kerjasama penuh 89 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.