Elections

Gelang perkauman patah di Gelang Patah

By Kit

May 02, 2013

Oleh Rahmat Haron | 12:56PM Apr 18 2013 Malaysiakini

Laporan maharaja lawak ‘April Fool’ yang lalu memberitakan khabar mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat Johor menjadikan pertandingan PRU13 kerusi Parlimen Gelang Patah sebagai kubur kerjaya politik tokoh veteran DAP Lim Kit Siang.

Malah ke tahap melampau, Dr Mahathir membakar api perkauman dengan menyatakan kemenangan Lim Kit Siang akan mengakibatkan perseteruan antara kaum.

Menteri besar kerajaan sementara Johor Abdul Ghani Othman pula menambah rencah menjadi wira Melayu kununnya dengan berkata kemenangan Lim Kit Siang bakal menggugah keharmonian kaum di Johor.

Gelang Patah menjadi ‘kubur’ Lim Kit Siang merupakan suatu saranan yang teramat munasabah untuk politik tahun 1983. Di zaman kebenaran paling muktamad hanya didapatkan daripada tiga saluran tivi warna, dengan imej wajah ‘dewanya’ tidak lain dan tidak bukan ialah Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi pada tahun 2013 ini, di zaman pencerahan Internet, ia menampakkan sikap yang menggelabah. Kerana maklumat dan pengetahuan telah pun mematahkan gari ideologi, gelang perkauman yang merantai kita selama ini. Orang sudah tahu. Cukup bedebah sekalian kita, manusia Melayu terutamanya, kerana puncanya telah pun tertulis pada tembok grafiti dalam babak filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani, terbit tahun 1986. Contengan di dinding kota bertulis, “Ke mana lesapnya RM 2.5 bilion duit Bank Bumiputera?”

Kita juga telah mendengar lagu dendangan penyanyi Ito, di tahun 1998 dengan judul Raggae Jalil Ibrahim, tentang “kezaliman di bumi tersayang, haruskah berdiam, kita biarkan.”

Kita perlu memahami bagaimana politik-ekonomi Mahathirisme bekerja. Di sini, Mahathirisme bukanlah semata-mata seorang manusia tetapi idea dan fahaman seorang manusia yang telah menjadi sistem dalam jaringan kerja dan struktur organisasi kuasa serta budaya yang rumit. Malah kini, struktur dan sistem organisasi kuasa itu sedang menemui jalan buntu dengan perebutan yang bertambah sengit, malah di kalangan sesama mereka sendiri.

Politik-ekonomi Mahathirisme bekerja dengan perkakas-perkakas institusi awam yang tidak demokratik, mengamalkan ekonomi kapitalisme semu – kroni monopoli, penuh rasuah dan pecah amanah, menipu pilihan raya, dengan rekod demokrasi dan pelanggaran hak asasi manusia yang buruk.

‘The Banker Who Knew Too Much’

Kerana jika kita memahami Mahathirisme kita akan faham bahawa segala cakap-cakap tentang semangat Melayu/ Islam, hak istimewa orang Melayu/ Islam, kepentingan Melayu/ Islam, bumiputera, dasar ekonomi baru dan sebagainya itu hanyalah belit, ‘gormal’, penipuan, gebang kosong yang hanya berjaya dilakukan pada era penguasaan media tivi.

April tahun lalu, saluran tivi AETN – Crime & Investigation, Asia menayangkan sebuah dokumentari berjudul “The Banker Who Knew Too Much.”

Penerbitan dokumentari ini akan membawa kita memahami kepura-puraan Dr Mahathir dan mereka yang berpegang pada ideologi perkauman sempit yang kununnya berteraskan kebudayaan dan tata negara Melayu itu. Kununnya, didongengkan kekayaan negara perlu dimiliki hanya oleh orang-orang Melayu.

Filem dokumentari itu merungkai kes pembunuhan misteri akauntan muda, juruaudit Bank Bumiputera pada tahun 1983.

Jalil sebenarnya ditugaskan untuk mengaudit akaun anak syarikat Bank Bumiputera di Hong Kong, iaitu Bank Bumiputera Finance (BMF). Sewaktu di Hong Kong, Almarhum Jalil mendapati banyak keraguan terhadap cara BMF memberi pinjaman.

Beliau mendapati hampir kesemua pinjaman BMF disalurkan kepada syarikat-syarikat milik Carrian Group. Carrian Group pula dimiliki oleh George Tan, ahli perniagaan Hong Kong, etnik Cina, warga negara Singapura, kelahiran Malaysia.

Dalam dokumentari The Banker Who Knew Too Much itu kita didedahkan bahawa Carrian Group sebenarnya hanyalah rumah untuk merompak duit Bank Bumiputera. Kerana tanpa pinjaman Bank Bumiputera tidak mungkin ada Carrian Group dan George Tan.

(Untuk butiran lanjut kejadian kes pembunuhan itu, silakan menonton sendiri di YouTube)

Bank Bumiputera ditubuhkan pada tahun 1966 bermatlamatkan kununnya membantu orang-orang Melayu dan Bumiputera Malaysia.

Tetapi akhirnya Bank Bumiputera dibankrapkan kerana memberi pinjaman terhadap George Tan, dan nyawa seorang tokoh Melayu muda, Almarhum Jalil Ibrahim telah pun diragut oleh seorang ahli perniagaan Klang – yang tiada kaitan dengan Bank Bumiputera dan BMF – bernama Mark Foon Tan.

Bukan gila, tapi terkutuk

Malah seperti kes pembunuhan mendiang Altantuya, pembunuh yang disabitkan kesalahan juga tiada motif.

Lihatlah asas perkauman Mahathirisme. Ia hanya pada lidah menghasut dan lidah itu semakin kelu kerana perbuatan, perlakuan dan rekod sejarah menunjukkan sebaliknya.

Kerana hari ini, orang akan bertanya, jika benar Melayunya kenapa Almarhum Jalil, seorang Melayu dibunuh, kenapa diberi pinjaman yang banyak kepada syarikat Carrian Group, milik George Tan, seorang etnik Cina sehingga membankrapkan Bank Bumiputera, kunun milik Melayu itu?

Kebankrapan syarikat Carrian Group merupakan rekod bankrap paling besar, di Hong Kong sehingga ke hari ini, di Timur dan di Dunia pada waktu itu. Ia melibatkan kerugian bernilai lebih AS$1 bilion pada 1983. Ya, pada waktu itu tahun 1983, tahun sebahagian besar umat Melayu masih percaya pada penipuan propaganda tivi dan menerimanya sebagai kebenaran. Sehinggakan imej propaganda terhadap Lim Kit Siang pada waktu itu jatuh ke tahap sentimen kebencian kaum.

Dimainkan momokan Cina kafir, pengikut komunis Chin Peng, si pemakan babi bermata sepet yang niatnya mahu merampas hak-hak orang Melayu dan akhirnya memerintah Malaysia menjadi negara komunis sama seperti di China.

Kini, di tahun 2013, apakah kita masih lagi percaya, bahawa golongan perompak Bank Bumiputera itulah yang akan menyelamatkan umat Melayu Malaysia, setelah terang jelas juga rekod-rekod pengkhianatan dan kemusnahan yang disebabkan golongan ini?

Sehingga saat ini, kerajaan Malaysia masih belum memulakan apa-apa siasatan dan pendakwaan terhadap pembunuhan Almarhum Jalil dan skandal BMF ini, setelah 30 tahun kes berlalu.

Umat Melayu, bertanyalah diri dengan jujur, adakah kita tetap akan berkata, Lim Kit Siang itu rasis perkauman walau beliau pernah memperjuangkan isu skandal kebangkrapan BMFdan pembunuhan Almarhum Jalil Ibrahim di Parlimen Malaysia?

Jika jawapannya masih lagi ya, makna kata kita bukan sahaja gila, malah terkutuk!

RAHMAT HARON seorang seniman ‘outsider’. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi rasmi Malaysiakini.