Elections

4-day Countdown to 13GE Polling Day – Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Parlimen untuk menyiasat apa, mengapa dan siapa punca sebenar tragedi 13 Mei 1969

By Kit

May 01, 2013

Saya akan mencadangkan kepada Parlimen dan Kerajaan Persekutuan yang baru di bawah pimpinan Pakatan Rakyat supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas Parlimen untuk menyiasat apa, mengapa dan siapa punca sebenar berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

Ini adalah penting kerana sampai sekarang tiada siapa yang tahu mengapa, apa dan siapa yang menjadi punca peristiwa 13 Mei itu. Lagi pun, kerajaan UMNO-BN selama ini tidak mempedulikan cadangan itu. Malah, pimpinan UMNO-BN membenarkan penyokong mereka menabur fitnah menuduh saya menjadi dalang peristiwa itu.

Walaupun tuduhan itu palsu dan bohong serta berniat menghasut dan membangkitkan api perkauman, pimpinan UMNO-BN, termasuk Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Najib Razak, masih tidak serius untuk mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah yang membahayakan hubungan antara kaum itu.

Cadangan saya untuk Parlimen menubuhkan Suruhanjaya Bebas Parlimen bukanlah satu cadangan yang baru. Malah kali pertama saya menyuarakan cadangan ini adalah 42 tahun yang lalu!

Dalam ucapan pertama saya di Parlimen pada 23 Februari 1971 setelah saya dibebaskan daripada tahana ISA pertama saya (yang TIDAK ada kena-mengena dengan peristiwa 13 Mei 1969), serta selepas Parlimen dipulihkan, semasa membahas Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan 1971, saya telah menyeru supaya satu Suruhanjaya Bebas Parlimen ditubuhkan.

Saya meminta suruhanjaya ini yang keahliannya termasuk wakil-wakil bukan Ahli Parlimen yang dihormati dalam bidang mereka masing-masing, untuk antara lain, “mengenal pasti punca rusuhan Mei 13” dan “membuat cadangan bagaimana untuk mencegah berulangnya rusuhan kaum Mei 13 di masa depan, dan menghentikan masalah polarisasi kaum di Malaysia.”

Oleh kerana kerajaan UMNO-BN sejak 42 tahun lalu tidak pedulikan cadangan ini, saya yakin Kerajaan Persekutuan Baru di bawah pimpinan Pakatan Rakyat akan lebih berani untuk mencari penyelesaian terhadap fitnah dan pembohongan peristiwa 13 Mei yang amat membahayakan perpaduan kaum di Malaysia ini.

Saya meminta semua pengundi Malaysia supaya memilih Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP – untuk membuktikan kepada dunia bahawa kita semua adalah patriot Malaysia yang jujur, berani dan sanggup menerima kebenaran walaupun pahit.

Dengan mandat daripada pengundi-pengundi Malaysia, saya yakin Pakatan Rakyat akan lebih ikhlas dan berani untuk menubuhkan sebuah suruhajaya bersama yang bebas untuk menyiasat peristiwa 13 Mei tanpa berpihak, tanpa takut dan sentiasa jujur kepada fakta dan kebenaran.

Ubah! Ini kalilah!