DAP membantah Berita Harian, akhbar kawalan UMNO-BN, yang menghasut orang Melayu supaya membenci DAP dan kaum-kaum lain di Malaysia. Fitnah yang mereka lemparkan semakin tidak masuk akal, malah menghina daya pemikiran orang Melayu.
Fitnah terbaru datang daripada Berita Harian edisi Ahad hari ini 28 April 2013 dalam satu komentar yang ditulis oleh seorang yang bernama Mahfar Ali. Tajuk rencana itu sahaja sudah menunjukkan sikap hipokrit dan pembohongan media kawalan UMNO-BN tersebut. Tajuk “Pertahan prinsip kesederhanaan, tolak ekstremisme” cuba berselindung di sebalik kebencian penulis kepada perpaduan antara kaum yang dianjurkan oleh DAP dan Pakatan Rakyat.
Dia menulis: “Apakah nanti demonstrasi jalanan dan gerakan LBGT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) yang menjadi budaya Barat, akan turut diterima di negara ini? Inilah kemelut dua parti diketuai pemimpin Melayu yang diperkudakan DAP – parti cauvinis Cina yang dasar pentadbirannya di Pulau Pinang dilihat lebih banyak menekan orang Melayu. Barangkali juga DAP menyertai pakatan pembangkang sebagai mainan politiknya untuk memecahbelahkan orang Melayu dan Islam.”
Berita Harian sebagai lidah UMNO cuba menggambarkan bahawa PKR dan PAS sebagai parti orang Melayu – kerana UMNO hanya faham politik yang berasaskan kaum semata-mata, ia tidak faham demokrasi, hak asasi, keadilan sosial. Dan kedua-dua parti itu dianggap oleh UMNO sebagai mudah diperalatkan oleh DAP.
Jelas Berita Harian buta sejarah dan enggan menerima hakikat kebenaran. DAP adalah parti politik yang sah yang menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan 1957. Ini bererti DAP menerima Perlembagaan yang mendaulatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama melindungi hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas. Hakikat ini termaktub dalam perlembagaan parti DAP yang meluhurkan Perlembagaan Persekutuan 1957 sebagai undang-undang teragung di negara kita. Malah, DAP sudah banyak kali dalam beberapa deklarasi mengulangi pendirian ini. Hanya manusia yang rasis sahaja yang buta kepada fakta ini.
Kedudukan istimewa Melayu yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dipersoalkan oleh DAP. Malah, DAP dengan tegas mempertahankan apa-apa hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.
Jelas di sini DAP dan Pakatan Rakyat lah yang sebenarnya mempertahankan prinsip sederhana dan menolak ekstremisme, dan bukannya UMNO-BN yang rasis dan semakin kasar dan biadap dalam kempen mereka. Dengan itu, DAP dan Pakatan Rakyat menyeru rakyat supaya menolak politik kotor UMNO-BN.
Saya yakin rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, yang benci dan marah dengan politik kotor UMNO-BN yang menabur fitnah dan bersifat perkauman sudah bersedia untuk membuat perubahan yang akan menamatkan era politik kotor keji dan benci.
Ubah! Ini kalilah!