Lim Kit Siang

Orang Melayu perlu merdekakan jiwa dan minda

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Jan 18, 2013

18 JAN — Kita sudah sampai ke penghujung penggal pilihanraya dan pemilihan itu akan diadakan dalam beberapa minggu sahaja lagi. Kali ini merupakan pilihanraya yang berkeadaan yang paling rumit dan mencabar bagi BN dan masa yang paling baik bagi Pakatan Rakyat untuk menunjukkan mereka (PR) sebagai “coalition” alternatif yang akan menjadi pengganti kepada pemerintahan BN. Umno sudah dianggap terlalu usang oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

Tanda yang paling jelas Umno itu usang ialah ketidak-mampuan untuk mengubah keadaan dan persepsi buruk rakyat terhadap parti itu dengan keseluruhan kepimpinannya. Banyak pihak telah mengkritik dan memberikan pandangan yang berbagai-bagai untuk memperbaiki parti itu tetapi Umno tetap dengan sikap dan perangai yang sama tanpa ada tanda-tanda untuk berubah kepada kebaikan.

Segala kesalahan moral dan jenayah yang dilakukan oleh Umno dan BN selama ini tetap terus berlaku dan rakyat sudah tiada pilihan selain dari melakukan yang drastik terhadap parti pemerintah itu. Betul lah kata setengah pendapat orang, keadaan ini adalah kehendak yang “natural” dan ianya berlaku kepada semua parti-parti dan pertubuhan siasah yang sudah lama dan usang dimana-mana.

Ahli-ahli serta penyokong-penyokong tegar Umno masih dalam sindrom penafian dan masih bertegas mengatakan Umno akan menang dan ada yang mengatakan yang parti itu akan mendapat sokongan 2/3 dalam Dewan Parlimen kali ini. Tetapi hakikatnya tindakan mereka hanyalah untuk menyedapkan hati mereka sahaja kerana keadaan sebenarnya adalah di sebaliknya.

Umno masih terkial-kial dengan masalah dalaman mereka sendiri dan masalah seperti ini tidak memungkinkan mampu untuk memperbaiki peluang Umno untuk mendapatkan mandat yang lebih baik. Malahan parti itu akan bertambah merudum dan akan terbukti dalam pilihanraya yang akan datang ini. Kalau Umno hendak berubah pun ia terpaksa berlaku sebelum pilihanraya ini dan masa untuk membetulkannya sudah terlalu suntuk untuk melakukannya.

Persoalannya apakah yang patut dilakukan oleh Umno dalam masa yang amat suntuk ini jika ia masih mahu melihat sedikit saki baki kehadirannya dalam politik negara ini? Pertamanya mampukah Umno melakukan perubahan dengan melakukan tindakan yang drastik dengan menggantikan keseluruhan barisan kepimpinannya dalam kerajaan dan parti dengan pemimpin parti itu yang tiada dalam barisan kerajaan dan MKT parti itu. Umno tidak sedar yang masalah terbesar parti itu ialah di sebabkan persepsi buruk yang tidak terkira buruknya.

Menggantikan barisan kepimpinan dengan orang lain secara keseluruhan adalah satu-satunya jalan bagi parti itu untuk dipandang oleh rakyat. Umno sudah tidak dipandang lagi oleh rakyat, malahan ia tidak dihormati oleh ahli-ahlinya sendiri. Itulah sebabnya Najib boleh berikan bantuan BRIM1, BRIM2 dan apa-apa “RIM” yang lain tetapi rakyat tetap tidak melihat Umno itu sebagai parti yang relevan sekarang ini. Maksud saya rakyat sudah tidak senang dengan kehadiran Umno itu sendiri. Itu masalahnya.

Justeru, Umno perlu membuang semua yang ada di dalam barisan MKT serta barisan kabinet sekarang ini. Tindakan setengah pimpinan dalam Umno untuk menggantikan Najib dengan Muhyiddin tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada Umno itu. Mereka semuanya adalah hasil dari acuan yang sama seperti yang di bentuik oleh Dr Mahathir dahulu. Orang yang patut menggantikan pimpinan Umno ini seharusnya dari mereka yang tidak bersetuju dengan acuan ciptaan Mahathir ini kerana itu sahaja caranya Umno untk menempilkan kepada rakyat yang Umno sekarang adalah berimej baru dan ia akan membawa dan membina keyakinan yang baru.

Saya telah lama menyebut ini semasa saya masih berada di dalam parti itu tetapi saya tidak digemari oleh pimpinan terutamanya di peringkat negeri. Kesabaran saya sudah habis dan saya telah begitu yakin yang Umno tidak akan boleh baik lagi maka itu sebabnya saya meninggalkan parti itu dan mengambil keputusan “to grow old with DAP” dan tidak akan berpatah balik. Tindakan saya itu telah mengundng banyak sokongan dan hanya saya sahaja yang merasakannya.

Ramai orang Melayu di dalam Umno telah menyuarakan sokongan terhadap tindakan saya itu dan saya membacanya melalui e-mail saya setiap hari sehingga hari ini. Saya merasakan degup nadi orang Melayu yang sudah tidak melihat Umno sebagi parti yang relevan lagi. Tindakan saya bersama beberapa rakan yang lain telah membuka minda setengah orang Melayu dan mereka sekarang merasakan yang jika Umno tiada orang Melayu tetap wujud bersama agamanya yang tidak terguris dan tercalar.

Rupa-rupanya momokan Umno yang mengaku parti itu sahaja yang menentukan masa depan orang Melayu itu tidak memberi makna apa-apa kepada kita semua. Ia hanyalah momokan Umno semata-mata tidak lebih dari itu. Di negara ini ada seramai 18 juta orang Melayu dan Bumiputera dan yang menjadi ahli Umno hanyalah 3 juta sahaja. Selebihnya tidak menjadi ahli Umno pun tetapi mereka tetap dengan Melayu dan Islamnya.

Malahan kumpulan ini tetap hidup dalam keadaan yang lebih baik kerana pemikiran mereka tidak ditentukan oleh Umno. Mereka berfikir dengan pemikiran bebas mereka. Mereka bersikap lebih positif dan tidak bersandar kepada Umno untuk meneruskan kehidupan mereka membina keluarga dan keturunan mereka denagn baik. Pemikiran mereka tidak dikongkong oleh retorik lapuk Umno yang mengatakan “Melayu akan hilang di dunia” ini jika Umno ditolak oleh rakyat. Mereka pula mempunyai pendapat berlainan dan terbukti benar. Mereka berfikir jika Umno masih di benarkan memomokan mereka, “Melayu itu akan hilang dunianya”.

Pilihanraya ini merupakan peluang untuk orang Melayu untuk memerdekakan pemikiran mereka dan menjauhi momokan Umno yang membunuh kemajuan pemikiran kita semua.

Merdeka! — aspanaliasnet.blogspot.com

Exit mobile version