— Izham Ismail
The Malaysian Insider
Jan 15, 2013
15 JAN — Semalam, kita digemparkan oleh sebuah video yang disebarkan di YouTube, memaparkan perjalanan sebuah forum yang diadakan di Universiti Utara Malaysia. Forum tersebut bertajuk “Seiringkah Mahasiswa dan Politik” dan perkara yang mengejutkan adalah tindakan panel forum terbabit, Saudari Sharifah Zohrah Jabeen yang memberi respon kepada pertanyaan pelajar UUM, Bawani dengan cara yang agak keterlaluan.
Berikutan daripada video ini, pelbagai reaksi telah diberikan oleh semua pihak terutamanya para mahasiswa. Majoriti mahasiswa merasakan bahawa perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku apatah lagi tujuan forum tersebut diadakan adalah untuk menjadi medium interaksi dalam kalangan mahasiswa dan ahli panel berhubung isu-isu politik. Malah, selaku Presiden Suara Wanita 1 Malaysia, sebuah NGO, tindakan tersebut sememangnya tidak boleh diterima dan secara peribadi, saya masih tercari-cari rasional saudari Sharifah bertindak sedemikian.
Saya tidak mahu mengulas dengan lebih terperinci tentang intipati kenyataan Saudari Sharifah kerana saya percaya, semua sahabat mahasiswa sudahpun menonton video ini dan mendengar dengan jelas “hujah” yang diberikan oleh Saudari Sharifah. Perkara yang ingin saya tekankan adalah berkenaan soal integriti Saudari Sharifah yang saya kira tidak menggambarkan profesionalisme yang sepatutnya, sesuai dengan status beliau selaku seorang Presiden.
Saya percaya dan sentiasa akan percaya, semua orang mempunyai hak untuk menyatakan apa yang dirasai. Segala firasat, teori, pandangan mahupun kritikan sewajarnya diberikan ruang yang adil untuk disalur dan dikongsi. Apatah lagi, dengan adanya forum sebegini, soalan-soalan “panas” memang merupakan sesuatu yang pasti dan atas sebab itulah, ahli panel perlu bijak menangani.
Selaku mahasiswa, kami sentiasa mempunyai aspirasi yang tersendiri. Biarpun kami mungkin berbeza ideologi sesama sendiri, bernaung di bawah berlainan panji, waima menjadi ahli fikir neutralisasi, ada perkara yang kami kongsi merentas seluruh universiti. Kami berkongsi bahawa hak mahasiswa itu perlu dibela, suara mahasiswa itu perlu dijaga, malah hati, maruah dan pendirian mahasiswa itu perlu diutama. Atas dasar inilah, pelbagai forum atau debat dilaksanakan di peringkat universiti agar medium ini diangkat sebagai saluran idea mahasiswa sekaligus menjunjung semangat demokrasi.
Namun, sayangnya hal ini seolah-olah tidak difahami oleh Saudari Sharifah.
Tindakan yang dibawakan oleh Saudari Sharifah ini sememangnya bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh mahasiswa. Malah, berani saya katakan juga, ia bertentangan dengan sikap keterbukaan kerajaan yang kini sudah banyak mengangkat martabat mahasiswa sehingga membenarkan mahasiswa untuk menjadi calon dalam PRU13 nanti. Tatkala suara mahasiswa semakin didengari, tiba-tiba Saudari Sharifah berkelakuan sebegini, apa sudah jadi?
Secara jujur, saya berpendapat bahawa Saudari Bawani juga agak beremosi tatkala mengajukan soalan kepada ahli panel. Saya juga berpendapat, cara soalan itu diajukan turut mempunyai sedikit unsur provokasi. Namun, saya lebih berpendapat, selaku seorang yang bepengalaman dan profesional, bukan begitu cara Saudari Sharifah untuk memberikan reaksi kepada persoalan Saudari Bawani.
Soalan saya, adakah wajar seorang mahasiswa diperlakukan sebegitu di khalayak ramai? Jika jawapannya adalah “YA”, soalan saya, adakah begitu cara untuk seorang Presiden yang menggunakan nama 1 Malaysia dalam persatuannya menegur dan memperbetulkan sikap seorang mahasiswa? Jika jawapannya masih “YA”, soalan saya, kalau begitu, apa beza Saudari Sharifah dan Saudari Bawani selain O Level yang dimiliki?
Inilah yang akhirnya berbalik semula kepada nilai hormat yang perlu diterapkan kepada semua. Ironinya, Saudari Sharifah juga berbicara perihal “menghormati” ini namun beliau mungkin terlupa perihal “menghina”. Saya percaya, seandainya Saudari Sharifah mahu membuka mata mahasiswa, saudari perlu juga belajar untuk membuka mata saudari menghormati kami. Saya juga percaya, seandainya haiwan seperti kucing, jerung, lembu dan lain-lain pun boleh bercakap, nescaya mereka akan menyuruh Saudari Sharifah berhenti bertindak sebegitu rupa.
Namun begitu, tanpa menidakkan intelektual mahasiswa semasa, saya juga ingin berpesan kepada sahabat-sahabat mahasiswa, bahawa kita juga perlu bijak dalam menilai sesuatu isu. Jangan kerana kita dimomokkan oleh cetusan-cetusan yang beremosi, kita juga turut sama berkongsi bahang kemarahan tersebut baik di Facebook, Twitter mahupun blog dengan kata-kata yang tidak sopan. Disinilah ujian sebenar untuk kita buktikan kepada semua, bahawa mahasiswa Malaysia sudah matang dan bukannya melulu tanpa merancang. Janganlah kita melampiaskan kemarahan kita secara membuta tuli kerana kelak, maruah kita juga yang diperjudi. Usah kita berikan ruang untuk mereka di luar sana melakukan “serangan balas” atas sikap kita.
Akhirnya, kita semua perlu belajar dari insiden ini. Usah menuding jari ke arah Sharifah semata-mata, mungkin kita juga ada kekurangan yang menuntut kita bermuhasabah diri. Musuh sebenar kita bukanlah Sharifah Zohra, tetapi adalah rasa hormat dan rasional yang kian hilang dalam diri kita. Gelaran MAHASISWA itu begitu besar ertinya, sama besar amanahnya, jangan sesekali kita nodai tanggungjawab ini. Selaku YDP MPPUM, saya mewakili kepimpinan MPPUM 2012/2013 ingin menyatakan pendirian kami bahawa kami menentang segala bentuk tindakan yang merendahkan martabat mahasiswa dan saya menjemput Saudari Sharifah Zohra untuk mengadakan sesi dialog di Universiti Malaya untuk kita bersama-sama membincangkan soal hala tuju negara. Moga kedua-dua pihak mendapat manfaat daripadanya.
Kepada Saudari Bawani — You’ll Never Walk Alone.
* Izham Ismail adalah Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya 2012/2013.
#1 by machiavelli on Wednesday, 16 January 2013 - 12:12 pm
This is the result of 55 years of the exploitation of the Rakyat.
You listen when I speak. If you are not happy you can always leave.
Now here is a Galaxy Note for you; all of you who will listen, listen, listen when I speak.
Bangunan Rakyat Malaysia!
#2 by Bigjoe on Wednesday, 16 January 2013 - 3:31 pm
Apa boleh buat dengan graduan BTN Terunggul? Sharifah pasti dapat A++ di BTN dulu kan?
#3 by chengho on Wednesday, 16 January 2013 - 9:46 pm
Organise public debate between Izham vs Zohra
#4 by tak tahan on Thursday, 17 January 2013 - 10:08 am
After Najis vs Anwar,ok?
#5 by chengho on Friday, 18 January 2013 - 5:50 am
why not Najib vs Leg and tag team with Mat Sapu