Adakah UMNO/BN akan memperoleh majoriti dua pertiga semula atau adakah Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya dengan majoriti lebih 20 di dalam PRU13?


Terdapat seorang lagi yang berkerja lebih keras daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memastikan UMNO/Barisan Nasional bukan sahaja memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi juga mendapat majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.

Orang itu adalah Tun Dr. Mahathir yang sepatutnya sudah bersara daripada politik apabila meletakkan jawatan pada penghujung 2003 selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Semalam, Mahathir berada di Sik untuk mengingatkan ahli UMNO bagi menghilangkan rasa tidak puas hati terhadap calon yang dipilih oleh kepimpinan tertinggi UMNO/BN sekiranya mereka mahu lihat UMNO/BN kekal berkuasa selepas PRU13.

Beliau meminta ahli UMNO untuk mengenepikan perbezaan mereka dan memberikan sokongan penuh kepada calon UMNO/BN yang terpilih kerana keutamaan sepatutnya untuk memastikan kemjayaan supaya BN dapat menang besar dan membentuk kerajaan yang kuat.

Perkara itu amat luar biasa tetapi kebiasaan Mahathirism yang mana Mahathir perlu memberi amaran tentang penyakit “Melayu mudah lupa” sebagai punca tidak puas hati di dalam UMNO sehingga tidak menyokong calon yang terpilih, sedangkan Mahathir sendiri adalah gambaran terbaik penyakit “Melayu mudah lupa” apabila beliau dengan giat berkempen menentang Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri pada pilihan raya umum 2008.

Jelas pada Mahathir, yang berada di hujung tanduk dalam PRU13 bukanlah soal jawatan Perdana Menteri Najib tetapi legasi Mahathir, dan tiada keraguan lagi yang mana satu akan mendapat keutamaan sekiranya berlaku pertembungan antara jawatan Perdana Menteri Najib dan legasi Mahathir!

Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia mendapati kenyataan Najib di dalam wawancaranya bersama Malay Maol Jumaat lalu bahawa beliau memerlukan mandat daripada pengundi untuk mereformasikan UMNO adalah mengejutkan.

Pertama, hal itu terkena pada diri sendiri pada Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 sepuluh hari lalu, ketika beliau mengakui bahawa kegagalan UMNO/BN di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 adalah “isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat”.

Apabila Najib mengatakan beliau memerlukan mandat daripada pengundi di dalam PRU13 untuk mereformasikan UMNO, beliau sebenarnya mengakui bahawa beliau telah gagal untuk mereformasikan UMNO meskipun “isyarat jelas” daripada rakyat pada PRU12 bahawa UMNO mestilah berubah – sebab yang mencukupi mengapa UMNO/BN mesti digantikan dengan Pakatan Rakyat di Putrajaya dalam PRU13.

Kedua, kenyataan Najib juga terkena pada diri sendiri apabila tiga hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO ke-66 Mahathir mengatakan, dan dipaparkan pada tajuk berita laporan Malaysiakini: “Dr. M: We’ve reformed, what more do you want?”

Sekalipun perkara itu benar, sama ada ia kerana jawatan Perdana Menteri Najib atau legasi Mahathir, Najib telah menunjukkan keyakinan tinggi selepas Perhimpunan Agung UMNO untuk mencapai dua pertiga majoriti dalam pilihan raya umum akan datang.

Adakah UMNO/BN akan memperoleh majoriti dua pertiga semula atau adakah Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya dengan majoriti 20 lebih di dalam PRU13?

Sekiranya UMNO/BN mendapat dua pertiga majoriti dalam PRU13, jumlah kerusi parlimen Pakatan Rakyat akan dikurangkan sekurang-kurangnya lapan kerusi, 74 kerusi daripada 82 kerusi yang dimenangi dalam PRU12 pada 2008, memberikan BN majoriti sekurang-kurangnya 74 kerusi.

Walau bagaimanapun, sekiranya Pakatan Rakyat boleh memenangi majoriti yang banyak melalui empat juta pengundi atas pagar di dalam daftar pemilih yang terdapat lebih 13 juta pengundi – terdiri daripada tiga juta pengundi baru dan satu juta pengundi atas pagar daripada PRU12 – Pakatan Rakyat mampu mengalahkan UMNO/Barisan Nasional dan mendapat majoriti melebihi 20 kerusi parlimen.

Dalam senario terbaik itu, kemungkinan pembahagian kerusi Pakatan Rakyat di dalam Parlimen adalah 45 kerusi untuk PKR manakala DAP dan PAS masing-masing akan mendapat 40 kerusi – memberikan Pakatan Rakyat majoriti kecil 28 kerusi.

Bagaimanapun, parti-parti Pakatan Rakyat mestilah berkerja keras untuk memenangi pengundi atas pagar, memandangkan perkembangan beberapa bulan ini memberikan sebab untuk pengundi atas pagar mula berasa ragu-ragu sama ada parti-parti Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP betul-betul komited terhadap Kerangka Dasar Bersama PR dan Buku Jingga.

Keraguan yang diekploitasi habis-habisan oleh media perdana Barisan Nasional dan cybertrooper, perlu diatasi segera atau Pakatan Rakyat akan kehilangan peluang keemasan untuk memenangi Putrajaya pada PRU13 dengan mudah.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.