Adakah Najib akan memohon maaf kerana rekod buruk Malaysia dalam membanteras rasuah ketika di bawah pengawasan beliau sebagai PM, kegagalan sehinggakan kedudukan terendah CPI TI untuk empat tahun berturut-turut sejak 2009-2012?


Hari ini, 9 Disember, merupakan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk meningkatkan kesedaran tentang rasuah dan juga Konvensyen PBB Menentang Rasuah dalam melawan dan mencegah rasuah.

Walau bagaimanapun, sekalipun ini merupakan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa ke-9 sejak pertama kali didakan pada 2004, Kerajaan Malaysia terus tidak mempedulikannya – mencerminkan kurangnya komitmen dan kesungguhan politik untuk membanteras rasuah, terutamanya “rasuah besar” pemimpin politik dan kerajaan.

Kegagalan kerajaan “reformasi” Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meraikan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa tahun ini amat mengecewakan, memandangkan baru sepuluh hari lepas Najib telah meminta maaf atas “segala kekhilafan” kerajaan UMNO/Barisan Nasional pada masa lalu, diungkapkan dengan kata-kata penuh berbunga, iaitu:

“Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.”

Saya mahu bertanya Najib adakah beliau akan memohon maaf kerana rekod buruk Malaysia dalam membanteras rasuah ketika di bawah pengawasan beliau sebagai PM, kegagalan sehinggakan kedudukan terendah Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparancy International (TI) untuk empat tahun berturut-turut sejak 2009-2012 – satu rekod yang lebih buruk daripada Perdana Menteri sebelumnya?

Ini melibatkan “kekhilafannya” sebagai Perdana Menteri sepanjang empat tahun lalu dan bukan “kekhilafan” Perdana Menteri UMNO/BN sepanjang lima dekad lalu!

Sewaktu CPI TI pertama kali diperkenalkan pada 1995, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara. Saya masih ingat lagi kecaman oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad yang menuduhnya sebagai sebahagian daripada konspirasi “orang putih” Barat untuk memburuk-burukan negara Asia kerana NGO anti-rasuah antarabangsa itu berpusat di Berlin.

Yang ironinya adalah beberapa bulan selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003, Mahathir menyatakan perkara berbeza, mengatakan Malaysia perlu membandingkan sikap rakyatnya dengan Finland, yang merupakan negara paling kurang rasuah dan paling beretika di dalam CPI TI untuk tiga tahun berturut-turut ketika itu.

Memberikan pengiktirafan beliau kepada CPI TI, Mahathir menyeru negara untuk mensasarkan “menjadi antara negara yang mendapat kedudukan tertinggi” – yang bermaksud antara negara paling kurang rasuah!

Apabila Mahathir meletakkan jawayan sebagai Perdana Menteri, kedudukan Malaysia pada 2003 telah merosot daripada tempat ke-23 pada 1995 kepada tempat ke-37!

Dalam tempoh lima tahun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, CPI TI Malaysia menjunam sepuluh tempat lagi daripada tempat ke-37 kepada tempat ke-47 pada 2008 walaupun Pelan Integriti Nasional lima tahun Abdullah adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya tempat ke-30 pada 2008.

Tetapi, pada waktu Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Malaysia jatuh ke kedudukan paling teruk CPI TI selama empat tahun berturut-turut, jatuh ke tempat ke-56 pada 2009 dan 2010, tempat ke-60 pada 2011 dan tempat ke-54 pada 2012 – mengesahkan bahawa di bawah Najib Malaysia lebih korup berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya iaitu Mahathir dan Abdullah.

Sekiranya Najib tidak bersedia untuk memohon maaf atas “kekhilafan” dan “kegagalan” di bawah pemerintahannya, siapa akan percaya yang Najib ikhlas “memohon maaf dengan menyusun jari nan sepuluh” atas “kekhilafan” kerajaan UMNO/BN sebelum ini?

Dengan rekod anti-rasuah yang sedemikian, sekalipun memberikan keutamaan tertinggi terhadapnya di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan NKRA, Hari Anti-Rasuah Antarabangsa sepatutnya diraikan oleh Najib dengan pengumuman inisiatif baru yang bermakna daripada kerajaan UMNO/BN.

Akan tetapi itu semua tidak berlaku, dan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa terus tidak dipedulikan Perdana Menteri dan Kabinetnya – satu kenyataan jelas bahawa mereka tidak serius dalam membanteras rasuah yang semakin buruk di Malaysia melainkan sekadar melaungkan slogan dan retorik.

Perhimpunan Agung UMNO ke-66 bukanlah kali pertama Najib memohon maaf atas kesalahan lalu UMNO/BN, namun beliau tetap gagal menyebut satu persatu apakah kesalahan lalu UMNO/BN yang beliau pohon kemaafan itu.

Biar Najib kenal pasti dan perincikan “kekhilafan” apa yang beliau pohon kemaafan itu, sama ada memohon maaf kerana penyalahgunaan kuasa, rasuah, kronisme dan kurang akauntabiliti; hancurnya kebebasan, kesaksamakan, intergriti dan profesionalisme institusi utama negara baik perkhidmatan awam, badan kehakiman, polis, suruhanjaya pilihan raya atau agensi pencegahan rasuah; perpecahan kaum dan agama yang semakin meruncing di dalam negara atau memohon maaf untuk rampasan kuasa yang tidak sah dan tidak demokratik negeri Perak daripada Pakatan Rakyat pada Febuari 2009?

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.