— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Sep 26, 2012
26 SEPT — Kenyataan Dr Mahathir terhadap apa yang beliau katakan sebagai ‘Melayu tidak berterima kasih’ dan ‘tidak bersyukur’ memberikan reaksi yang sangat besar terhadap kewibawaan BN dalam menghadapi PRU yang akan datang. Bagi Mahathir Melayu yang tidak menyokong Umno itu adalah Melayu yang tidak bersyukur dan Melayu yang tidak berterima kasih.
Kenyataan Dr Mahathir itu telah memisahkan ramai Melayu diantara dua pihak yang bertentangan dengan lebih dalam lagi dan kata-kata Dr Mahathir itu sangat menyentuh ramai Melayu yang sedang dalam pencarian sekarang ini. Mengatakan Melayu tidak bersyukur dan tidak berterima kasih itu adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab kerana adalah tidak wajar untuk menuduh Melayu yang betul-betul Melayu itu tidak bersyukur. Hanya orang Melayu yang benar-benar Melayu sahaja yang tahu isi hati orang Melayu sendiri.
Jika benar Umno telah berjuang dan berusaha untuk menyatukan orang Melayu tidak akan berlaku perpecahan seperti yang kita alami sekarang ini. Enam puluh enam tahun mengaku sebagai parti yang menyatukan orang Melayu tetapi apa yang kita sekarang ini hanya menunjukkan kegagalan Umno untuk melakukannya. Bagi Mahathir dan pemimpin Umno yang lain bersatunya Melayu itu ada beberapa cara:
Pertamanya Melayu mesti menyokong Umno bulat-bulat dan jangan mengambil kira samada Umno itu jujur atau tidak. Mereka menganggap Melayu mesti dipenjara dan diberi makan sikit-sikit untuk mengelak orang Melayu dari berfikir dan bertindak mengikut kehendak zaman dan waktunya. Kalau pemimpin rasuah di tabur benih-benih nilai yang membunuh orang Melayu sendiri seperti ada setengah Melayu yang berkata, “kalau Melayu rasuah itu Melayu, orang Melayu juga yang kaya. Apa yang hendak di cemburukan?”
Apa sahaja yang pemimpin mereka buat jangan dipersoalkan. Yang Melayu mesti lakukan ialah menyokong sahaja dan jangan berbuat apa-apa. Terima sahaja bantuan rakyat 1 Malaysia (BRIM) dan bersyukurlah sampai mati. Terima sahaja bantuan dua batang gigi palsu dan terus mengundi Umno sampai mati. Itu adalah sifat berterima kasih. Kalau tidak menyokong Umno pulangkan balik gigi palsu itu kepada kerajaan.
Pemandu teksi diberikan empat tayar percuma dan dengan empat tayar percuma itu Umno mesti disokong tanpa berbelah bagi. Apa yang pemimpin buat di atas jangan dipersoalkan kerana mereka dah dapat empat biji tayar. Banyak lagi pemberian kerajaan yang kecil-kecil ini diperguna untuk menambat jiwa dan hati orang Melayu dan di harap terus menyokong parti itu. Kalau tidak menyokong kononnya orang Melayu akan hilang di dunia ini, tetapi mereka tidak sedar perlakuan pimpinan kita akan membuatkan orang Melayu hilang dunianya.
Cara keduanya ialah dengan membina perasaan benci terhadap bangsa bukan Melayu untuk dijadikan sebagai fakta yang boleh menyatukan orang Melayu. Pakatan Rakyat jika memerintah akan menghilangkan kuasa Melayu dalam politik dan merendahkan martabat agama Islam. Isu ini dimainkan dengan begitu hebat di kampung-kampung dan desa-desa bagi menakutkan orang Melayu untuk memberikan sokongan kepada parti-parti selain dari Umno.
Umno itu adalah segala-galanya kepada orang Melayu. Tidak ada Umno tidak akan selamat orang Melayu itu dunia akhirat. Itulah yang Umno cuba tanamkan dipemikiran orang Melayu. Itulah yang telah diyakini oleh orang Melayu sebegitu lama. Tetapi kepercayaan itu tidak lagi kekal dalam pemikiran orang Melayu kerana Umno sendiri telah menunjukkan yang itu hanyalah satu mitos yang usang.
Janji Umno untuk membina masyarakat bersatu padu sebagai matlamat yang ‘ultimate’ telah gagal samasekali malahan Umno pula yang menyuntik perasaan curiga- mencurigai diantara kaum dan agama. Memperbaiki kedudukkan ekonomi orang Melayu juga merupakan satu yang dijanjikan oleh Umno kepada rakyat tetapi orang Melayu tetap berada ditahap yang lama setelah Umno melalaikan dasar-dasar yang telah terbentuk sebelum Mahathir mengambilalih kepimpinan. Hanya segelintir orang Melayu yang mendapat segala-galanya dan tidak payah kita ulangi acapkali.
Umno tidak lagi mempunyai ‘attribute’ sebagai parti yang memerintah dengan sikapnya yang sama seperti parti-parti yang memulakan kejatuhan seperti yang kita lihat dimerata-rata negara didunia ini. Umno menampakkan sangat rasa ‘desperado’nya untuk kekal berkuasa dan itu tidak lagi ada sifat seperti parti pemerintah yang ‘magnanimous’ yang berlaku adil kepada semua rakyat jelata.
Umno gagal untuk memperbaiki diri mereka. Mereka tidak tahu ‘priority’ dalam penyelesaian kemelut politik hari ini. Mereka gagal untuk mengakui bahawa yang paling utama untuk di selesaikan ialah imej dan stigma rasuah yang telah melekat begitu ketara kepada Umno. Rakyat yang berfikir tahu jika rasuah tidak dapat dihapuskan tidak ada penyelesaian terhadap masalah mereka. Kita tahu jika kerajaan itu kerajaan rasuah tidak akan ada dan terjumpa lagi mereka (kerajaan) membuat keputusan dengan betul. Rasuah itu adalah pembunuh kepada tamaddun manusia dan jika rasuah berluas-luasa, percayalah negara tidak akan menjadi betul lagi sampai bila-bila.
Dengan keadaan ini ‘mindset’ rakyat sudah berubah dan ianya telah memadamkan segala kerja baik yang terdahulu kerana politik ini berkisar kepada keadan terkini dan masa depan negara.
Jika ‘mindset’ Melayu sudah berubah maka perubahan sebanyak 5 peratus sudah mencukupi untuk mengalih dan menganjakkan siapa yang akan memerintah negara selepas ini. Orang Melayu bukannya sesuka hati untuk menganjak dan mengalih atau mematahkan BN ini. Mereka bukan mematahkan semata-mata untuk mematahkan. Ianya bersebab dan penyebab ini telah wujud sejak hampir tiga puluh tahun dahulu.
Pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya yang amat kritikal dan ia akan menentukan samada negara akan masih ditadbir oleh mereka yang tidak boleh dipercayai atau oleh mereka yang akan melakukan perubahan dalam segala-galanya semata-mata untuk menentukan Malaysia kekal sebagai negara yang mempunyai ‘consequence’ di mata masyarakat antarabangsa. Kaum bukan Melayu sudah menentukan sikap mereka. Jika ada perubahan sebanyak 5 peratus dikalangan orang Melayu maka Umno wajar menerima kenyataan yang sekarang adalah giliran mereka untuk duduk di kerusi pembangkang.
Inilah yang membuatkan Dr Mahathir bercakap tidak berhenti-henti untuk menyelamatkan kuasa yang berada di tangan BN pada masa ini. Segala kritikan beliau terhadap orang Melayu sekarang ini adalah kritikan kepada dirinya sendiri. Kekuatan yang bertambah yang dibentuk oleh pihak pembangkang sekarang telah diperkuatkan lagi oleh Mahathir sendiri.
Kata-kata Dr Mahathir kini merupakan kata-kata yang ‘counter productive’ bagi Umno dan BN. Lagi banyak Dr Mahathir bercakap lebih mudah lagilah Pakatan Rakyat untuk meneruskan perjalanan ke Putrajaya itu. Orang Melayu mempunyai ‘alternative’ yang banyak, di antaranya PAS akan menjadi pilihan kepada perjuangan orang Melayu bersama dengan Islamnya dan DAP pula telah mengakui yang mereka (DAP) bahawa orang Melayu merupakan tonggak kepada politik dan siasah orang Melayu.
Tiada parti yang selamat tanpa sokongan orang Melayu dan itulah juga sebabnya Umno merasa tidak selamat kerana kehilangan sokongan Melayu yang agak mendadak sekarang ini.
Sesungguhnya Umno sedang menghadapi masalah yang tidak dapat digambarkan besarnya dengan kata-kata. Umno bermasalah dan akan terus bermasalah… Jika sesebuah parti menghadapi masalah yang besar ia akan meruntuhkan lagi keyakinan rakyat yang akan mengundi. — aspanaliasnet.blogspot.com
#1 by dagen wanna "ABU" on Thursday, 27 September 2012 - 9:01 am
Melayu tak sokong umno, apa salahnya? Bukan tu satu satu pilihan yg boleh dilakukan oleh semua orang melayu? Orang cina boleh buat pilihan, tapi mengapa orang melayu tak boleh? Orang India sama juga tapi orang melayu, kalau ikut cakap crazyO’mamak, cuma boleh pilih umno. Pagi ni Ali makan nasi pak hasan. Dah dua puluh tahun dia makan. Boleh tak kalau Ali tukar beli nasi pak hussein? Atau nasi pak hailam? Atau nasi oldtown kopitiam?