— Aspan Alias The Malaysian Insider Jun 02, 2012
2 JUN — Himpunan Hijau ke Putrajaya di Alor Star malam tadi adalah perhimpunan raksasa dan yang hampir sebesar perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 April yang lalu. Himpunan Hijau itu telah menunjukkan kepada rakyat seluruh negara bahawa kedatangan lebih daripada seratus ribu pengunjung perhimpunan itu membayangkan manifestasi keseluruhan rakyat benar-benar serius untuk ke Putrajaya selepas PRU yang akan datang ini.
Himpunan anjuran PAS ini sangat berjaya kerana orang ramai sudah memenuhi stadium dari pukul 4 ptg semalam. Orang ramai bukan sahaja telah memenuhi semua tempat duduk Stadium Alor Star itu tetapi juga meliputi padang stadium tersebut dan juga di luar stadium. Ramainya peserta himpunan ini menunjukkan bahawa rakyat serius dalam perjuangan untuk menuju ke Putrajaya dan sambutan itu sudah cukup untuk memberikan gambaran sebenar akan kemahuan rakyat keseluruhannya.
Kejayaan ini amat membanggakan kerana mereka datang dengan sukarela dari seluruh negara tanpa dibayar tambang atau tempat penginapan dan tidak pula diberikan kemudahan perkhidmatan ribuan bas percuma seperti yang dilakukan oleh Umno. Bayangkan jika Umno menganjurkan perhimpunan tanpa wang, topi dan T-shirt serta tempat penginapan tidak akan ada siapa pun yang akan hadir kerana pergerakan Umno dan ahlinya memerlukan tolakan dengan wang ringgit.
Jika Umno hendak mengadakan perhimpunan sebesar ini secara “conservative”nya ia akan memakan belanja sekurang-kurangnya RM15 juta. Itulah sebabnya saya dan ramai yang lain selalu berkata Umno (baru) tinggal sejarah sahaja setelah wujud sejak 24 tahun yang lepas.
Kalaulah begini keadaannya saya tidak nampak bagaimana Umno boleh bertahan di seluruh negara dan apatah lagi untuk kembali mengambil alih kerajaan Kedah itu. Umno tidak berani untuk menunjukkan kepada media keadaan himpunan sejuta belia yang baru berlalu itu. Kementerian Belia dan Sukan telah berbelanja puluhan juta ringgit untuk membawa artis-artis dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan kehadiran yang sejemput itu.
Sebaliknya ratusan ribu yang datang ke Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya di Alor Star malam tadi tidak perlu membawa artis Korea dan Jepun dengan pakaian-pakaian seksi dan mengiurkan tetapi perhimpunan itu hanya didatangi oleh Uztaz Azhar Idrus sahaja. Uztaz Azhar Idrus tidak datang dari Korea atau pun Jepun dan tidak pula berpakaian seksi atau pandai menari dan berjoget. Uztaz Azhar Idrus hanya datang dari Terengganu sahaja.
Enam puluh peratus daripada ratusan ribu yang hadir itu adalah dari golongan muda mudi, kelompok terbesar di antara rakyat negara ini. Himpunan ini merupakan pemaparan manifestasi sebenar rakyat di negara ini. Mereka mahukan perubahan. Untuk kemajuan masa depan kita perlukan perubahan. Mereka mahu menolak kerajaan rasuah melalui peti undi dalam pilihanraya yang akan datang. Itu sahaja.
Jika dinilai daripada keadaan tekanan terhadap kerajaan hari ini tidak salah jika kita cadangkan supaya Umno mengangkat bendera putih sahaja dan menyerahkan sahaja pentadbiran kerajaan kita kepada pihak alternatif kali ini.
Kita tengok sahajalah, apa yang Umno perlu buat selain dari mengaku kalah sahaja. Umno sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi sebenarnya. Hanya yang tinggal pada Umno ialah ego dan keras kepala mereka sahaja.
Bagaimana pula reaksi Rais Yatim kali ini berhubung dengan jumlah peserta perhimpunan ini. Agak-agak Datuk Seri, jumlah kehadiran perhimpunan hijau ini sampai tak 2,000 orang? Kita hendak bertanya kepada Datuk Seri, kerana dalam ramai-ramai rakyat di negara ini hanya Datuk Seri sahaja yang pandai mengira. Kita semua ini semuanya buta, tuli dan bodoh-bodoh belaka.
Tetapi gambar-gambar ini dengan sendirinya memberitahu Rais Yatim jumlah sebenarnya kehadiran peserta Himpunan Hijau ke Putrajaya itu. Datuk Rais, kigho boto-boto. — aspanaliasnet.blogspot.com