Umno berslogan, Pakatan Rakyat melaksanakannya


— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 18, 2012

18 MEI — Slogan-slogan politik bercambah-cambah dan slogan-slogan itu bertukar apabila bertukar kepimpinan sehinggakan kita sudah kenyang dengan slogan-slogan itu. Slogan selalunya diperkenalkan oleh seseorang pemimpin itu untuk membezakan “brand” kepimpinan masing-masing. Selalunya ia akan diwar-warkan yang dibawah pimpinannya keadaan itu berbeza dari keadaan yang lazim dialami rakyat dizaman kepimpinan sebelumnya.

Berslogan mula bercambah sejak kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sahaja. Apabila Mahathir mengambil alih rakyat telah cuba di dakyahkan sebagai zaman yang amat berbeza dengan pimpinan sebelum beliau. Gandingan beliau dengan Musa Hitam digambarkan sebagai pimpinan yang sangat berbeza dengan kepimpinan sebelumnya kerana bermula dari beliau zaman itu bermulalah zaman kepimpinan negara diterajui oleh orang biasa. Maka pimpinan itu telah dipanggil sebagai kepimpinan 2M (Mahathir-Musa)

Pimpinan 2M terbengkalai dengan perletakkan jawatan Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Februari 1986. Perletakkan jawatan Musa telah akhirnya membawa kepada pertandingan besar dalam Umno pada tahun berikutnya 1987 diantara TR/Musa dan Mahathir /Ghaffar.

Apabila Mahathir mula-mula mengambil alih, maka terciptalah slogan “Bersih, cekap dan amanah”. Tetapi slogan ini hanya tinggal slogan kerana semasa itu tidak ada yang bersihnya, tidak ada kecekapan dan jauh sekali untuk melihat amanahnya. Zaman ini lah bermulanya rasuah yang begitu hebat dan budaya itu terus diwarisi oleh kepimpinan Pak Lah dan pimpinan DS Najib sekarang ini.

Dalam masa yang sama tercipta juga slogan “Kepimpinan melalui tauladan” dan inilah satu-satunya slogan yang amat berjaya yang dicipta Mahathir. Ini adalah kerana segala budaya rasuah itu telah diteladani oleh semua pemimpin setiap peringkat dalam kerajaan dan parti serta pimpinan-pimpinan yang mewarisi kepimpinan Mahathir sehingga zaman sekarang ini.

Semua pimpinan Umno dan BN benar-benar berjaya melaksanakan slogan ini sehinggakan susah untuk mendapatkan kepimpinan yang tidak rasuah. Semuanya ini adalah hasil dari kempen “Kepimpinan melalui tauladan” unjuran Mahathir itu. Di adakan pula slogan “penerapan nilai-nilai Islam” dalam pentadbiran dalam masa yang sama tetapi tidak ada addin keislaman di dalamnya kerana kejayaan slogan kepimpinan melalui teladan tadi.

Kita terus pula kepada slogan dalam pentadbiran Najib ia itu “1 Malaysia” yang masih belum difahami oleh rakyat satu Malaysia ini. Yang kita lihat hanyalah pin-pin 1 Malaysia yang terlekat di dada dan kolor baju-baju pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan sahaja. Yang sedapnya Mahathir sendiri mengaku yang beliau tidak faham tentang slogan ini.

Bagaimana slogan 1 Malaysia hendak berjaya sedangkan kepimpinan termasuk Najib yang mencipta slogan itu sendiri bercakap isu rasis apabila bertemu dengan ahli-ahli Umno. Muhyiddin Yassin pula tidak menyokong slogan ini kerana beliau secara terbuka telah mengakui yang beliau mengambil sikap Melayu dahulu barulah rakyat yang lain.

Walau bagaimana pun rakyat tidak perlu gusar tentang slogan yang tidak terlaksana oleh penciptanya sendiri. Ada pihak lain yang mampu melaksanakan slogan ciptaan pemimpin-pemimpin Umno itu. Kita tidak payah pergi jauh. Kita tinjau sahaja apa yang dilakukan oleh negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Selangor telah berjaya mempunyai bajet yang seimbang dengan “reserve” hampir RM2 billion. Pulau Pinang telah berjaya untuk menghilangkan budaya rasuah dan telah menunjukkan nilai kesamarataan. Peruntukkan Hal Agama Islam sekarang telah meningkat sehingga RM63 juta sedangkan semasa BN memerintah negeri itu peruntukkan untuk hal ehwal Islam hanyalah RM12 juta sahaja.

Tidak ada kedengaran skandal kewangan sehingga RM12 billion seperti isu PKFZ di Selangor sekarang ini atau pun kedapatan pemimpin negeri itu yang telah membina rumah peribadi sehingga RM20 juta di Shah Alam. Tidak ada lagi kedengaran skandal kehilang RM500 juta wang Yayasan Selangor.

Kedah dan Kelantan juga mempunyai rekod baik dan tidak kedengaran rasuah yang berbillion ringgit berlaku dinegeri-negeri tersebut. Kedah merupakan salah satu negeri yang mendapat kemasukkan pelaburan dalam bidang pembuatan yang besar dan negeri itu adalah salah sebuah dari lima negeri teratas berbanding dengan negeri-negeri tadbiran BN.

Pulai Pinang merupakan negeri yang kedudukan nombor satu dan diikuti oleh Selangor. Sarawak menduduki tempat ketiga dan yang keempat ialah Johor, satu-satunya negeri yang ditadbir BN yang masuk kedalam kategori lima teratas itu.

Dalam kata-kata lain secara ringkasnya jika slogan “Bersih, cekap dan amanah” adalah laungan BN semasa Dr Mahathir menjadi PM dalam senya-senyap negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyatlah yang menjayakan slogan itu. Begitu jugalah slogan “1 Malaysia” ciptaan Najib, BN tidak mampu melaksanakannya tetapi yang berjaya melaksanakan konsep 1 Malaysia itu ialah parti-parti dalam PR kerana setiap bangsa bersatu dan tidak ada parti untuk satu-satu kaum sahaja.

Oleh itu kita nampak dengan jelas yang BN hanya pandai berslogan tetapi PR lah yang mampu melaksanakannya. Kita akui slogan-slogan ciptaan BN itu adalah baik kesemuanya. Hanya mereka tidak mampu melaksanakannya dan ia hanya tinggal retorik kosong BN sahaja.

Maka kita simpulkan sahaja isu ini: BN berslogan PR melaksanakannya. Maka tidak ada lagi masalah perlaksanaan slogan-slogan tersebut apabila Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat semasa pilihanraya yang akan datang ini.

Umno dan BN boleh membantu mewujudkan slogan-slogan yang baik semasa jadi pembangkang nanti dan berikan tugas kepada Pakatan Rakyat untuk melaksanakannya dengan baik sebagai kerajaan baru yang begitu lama ternanti-nanti saat untuk membetulkan kebobrokan yang dilakukan oleh bekas parti pemerintah, iaitu BN yang semasa itu sudah duduk dikerusi pembangkang di semua Dewan-Dewan Lagislatif dinegara ini.

Apabila perubahan berlaku maka bermula jugalah sistem dua parti yang sangat penting untuk mendapatkan pimpinan yang mengakui yang kuasa dalam negara demokrasi ini terletak ditangan rakyat. Rakyat tidak payah lagi bersusah payah kerana jika Pakatan Rakyat tidak melaksanakan tugas seperti yang dijanjikan maka rakyat boleh memberikan kembali mandat itu kembali kepada BN.

Tetapi yang penting sekali kita mesti bermula untuk menujukan kepada kepimpinan yang bongkak dengan kuasa itu bahawa rakyat jika diizin tuhan merupakan penentu kepada nasib mereka yang berkuasa. Rakyat boleh mengali dan menganjak pimpinan negara, kerana negara ini sebenarnya adalah kepunyaan rakyat.

Hanya sebelum ini rakyat belum lagi sedar yang kuasa itu adalah kuasa mereka. Baru sekarang mereka (rakyat) sedar yang mereka lah yang mesti bertindak untuk melakukan usaha memperbetulkan keadaan negara kita ini.

Lagi pun BN sudah terlalu lama memerintah, iaitu selama 55 tahun. Kita mesti ingat jika pokok kelapa itu sudah berumur 55 tahun ia terlalu tinggi dan beruk pun takut untuk memanjatnya. Jika ditebang pokok kelapa yang berumur 55 tahun, umbutnya pun sudah keras dan tidak sedap lagi untuk digulai. — aspanaliasnet.blogspot.com

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.