Benarkah penentang Najib/Umno itu ‘haram jadah’?


— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 12, 2012

12 MEI — Saya begitu terpanggil untuk memberikan komen tentang “conduct” PM Najib sebagai pemimpin utama negara sehari dua ini yang ramai menganggap sebagai tidak semenggah itu. Najib nampaknya sudah hilang kesabaran untuk menerima cabaran demokrasi yang belum pernah beliau alami selama ini.

Sejak mula berpolitik dan memegang jawatan besar-besar dalam parti dan kerajaan Najib belum lagi berhadapan dengan krisis sebesar ini. Apabila krisis seperti yang berlaku hari ini menghadapi beliau, Najib mula melatah dan menari tanpa megikut rentak yang sangat susah untuk beliau ikuti. Langkah beliau sumbang dan beliau seolah-olah menari di atas tanah yang tidak rata.

“Najib has never gone through the mill,” kata seorang sahabat saya yang selalu menghubungi saya setiap hari. Najib tidak lagi dapat meletakkan diri beliau sebagai seorang pemimpin nombor satu negara. Tingkah dan laku beliau menampakkan yang beliau belum lagi dapat mengendalikan krisis kepimpinan yang beliau sedang hadapi dengan baik dan matang.

Semasa mengumumkan “durian runtuh” di Jengka dua tiga hari yang lepas, beliau bercakap dengan penuh emosi dan bercakap dengan sombong dan bongkak sambil mengatakan yang pihak yang menentang IPO FELDA Global Ventures itu sebagai “Haram Jadah”. Tidak disangka-sangka yang Najib sanggup mengeluarkan kata-kata yang menghina itu kepada pihak yang tidak sekata dengan beliau. Kata-katanya itu hanya melambangkan nilai peribadi beliau yang sebenar yang mudah difahami oleh rakyat yang rata-rata sudah cerdik dan pandai membuat penilaian kepada seseorang itu.

“Haram Jadah” ini bermakna anak haram yang disumpah. Najib telah menghina pihak yang tidak seiring dengan beliau dengan kata-kata yang tidak ada tolok banding hinanya apatah lagi ia datang dari seorang Perdana Menteri. Malahan rakyat amat terkejut dengan kata-kata kesat itu datangnya dari keluarga Tun Abdul Razak, keluarga yang disangka baik oleh rakyat jelata. Saya tidak dapat memahami apakah perasaan beliau semasa berucap itu dan berani beliau memutuskan yang penentang beliau itu semua anak haram yang dilaknat.

Beberapa orang yang saya temui tidak berhenti-henti beristighfar apabila mendengar Najib menggunakan perkataan “haram jadah” itu dalam ucapan beliau. Kenapa Najib bersifat angkuh dan sombong yang keterlaluan? Kalaulah beliau tidak sanggup menerima demokrasi, beliau ada dua pilihan; satu bersara sahaja dari politik dan yang keduanya kalau beliau mempunyai kudrat yang mencukupi bunuh sahaja demokrasi negara ini. Lagipun demokrasi pun bukannya ada sangat di negara ini.

Najib sebenarnya begitu panik dengan penolakan rakyat yang kian hari kian jelas terhadap BN dan kerajaan pimpinannya. Di mana-mana Umno dan BN sudah diletakkan oleh rakyat di tempat yang sepatutnya. Umno ibarat “telor di hujung tanduk”. Najib mesti belajar untuk menerima keputusan rakyat. Itu sebabnya kita ada parti yang memerintah dan parti yang menjadi alternatif kepada pemerintah itu tadi.

Kejatuhan BN atau Umno sepatutnya menjadi perkara biasa dalam demokrasi. Hampir setahun dahulu parti Buruh England telah tewas dan kerajaan diambil alih oleh parti Conservative dan Liberal Demokrat yang telah mewujudkan kerajaan campuran di England. Apabila keputusan pilihanraya diumumkan, Gordon Brown telah meninggalkan 10 Downing Street dalam tempoh 6 jam sahaja dan 10 Downing Street diambil alih oleh David Cammeron dalam tempoh masa yang sama. Gordon Brown tahu yang partinya akan jatuh tetapi dalam kempen beliau, Gordon Brown tidak pernah memanggil pemimpin dan parti yang menentang beliau sebagai “the cursed bastards” atau haram jadah.

Kalau pihak yang membangkang hendak berdendam bukan tidak ada alasan untuk memanggil beliau dengan nama dan “superlatives” yang buruk dan hina. Hanya pembangkang tidak mahu menggunakan istilah dan perkataan buruk itu kerana ia tidak beretika dan akan hanya melambangkan kebodohan dan kebobrokan peribadi mereka.

Budaya menggunakan bahasa kesat ini nampaknya bukan sahaja menjadi pakaian kepada penyokong yang membuta tuli Umno dan BN, tetapi ianya juga sudah menjadi pakaian harian kepada pemimpin-pemimpin mereka (Umno). Kita ingatkan kata-kata kotor ini hanya menjadi pakaian kepada manusia yang berdarjat rendah dan yang “poorly bred”, rupa-rupanya penyakit itu sudah merebak kepada pemimpin-pemimpin utama kerajaan hari ini.

Tidak pernah kita sangka yang ia akan keluar dari mulut seorang Perdana Menteri yang mengaku sebagai pembawa transformasi dalam segala-galanya termasuk dalam bidang politik. Kata-kata Najib itu membawa maksud bahawa 50 peratus rakyat yang tidak menyokong BN pada tahun 2008 dahulu semuanya adalah anak-anak haram yang disumpah dan dilaknat. Itulah anggapan Najib kepada rakyat yang tidak bersama beliau.

Bagi mereka yang berpihak kepada pembangkang saya hanya meminta mereka bersabar dengan kata-kata penghinaan PM itu. Kita hanya perlu beristighfar banyak-banyak dan memohon petunjuk dari Tuhan yang Maha Esa. Kita jangan sekali-kali mengikut contoh buruk yang ditunjukkan oleh PM Najib itu kerana ia akan merendahkan peribadi dan nilai kemanusiaan kita.

Kita hanya lihat kelakuan serta rentak tari seorang PM yang dalam keadaan panik itu. Seboleh-bolehnya kita doakan beliau akan kembali menjadi seorang yang sabar dan menerima dengan hati yang terbuka jika rakyat mengambil keputusan untuk memberikan mandat kepada “haram jadah-haram jadah” yang Najib maksudkan itu semasa pilihanraya nanti.

Walaupun kita dihina dan dimaki hamun sedemikian rupa kewajipan kita ialah untuk bersabar dan memohon yang terbaik dari Tuhan Maha Esa. Kita tahu inilah kata-kata yang telah membayangkan kegelapan politik negara. Tetapi kita hanya perlu ingat kepada satu perbilangan Inggeris, “the darkest part of the night is just before dawn”.

Maksud perbilangan ini ialah saat yang paling gelap itu ialah waktu sinaran cahaya akan menjelma. Itu sebabnya kita mengalami keadaan gelap yang amat sangat beberapa ketika sebelum subuh. — aspanaliasnet.blogspot.com

  1. #1 by negarawan on Sunday, 13 May 2012 - 2:14 pm

    He killed Altantuya because the baby she was carrying was “haram jadah” to his political career. Now who is the real haram jadah?

You must be logged in to post a comment.