Bunyi guruhnya kuat, hujannya renyai-renyai


— Aspan Alias
The Malaysian Insider
May 09, 2012

9 MEI — Saya telah mendengar secara resminya pengumuman Perdana Menteri Najib Razak tentang “durian runtuh” seperti yang heboh diperkatakan sejak hampir setahun yang lalu.

Saya yang bukan peneroka ini pun tertunggu-tunggu “durian runtuh” ini kerana ia telah mendapat liputan media yang meluas kerana ia berkait rapat dengan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada bulan Jun yang akan datang ini.

Dengan skala publisiti yang meluas ini saya beranggapan yang “durian runtuh” yang diperkatakan oleh pucuk pimpinan kita itu akan melebihi RM100,000 ribu seorang untuk diseimbangkan dengan publisiti yang teramat meluas sejak berbulan-bulan dahulu.

Cara PM Najib bercerita tentang “durian runtuh” itu, seolah-olah jumlah yang akan diterima oleh peneroka itu tidak boleh kurang dari RM100,000 dan dibayar serentak kepada setiap orang peneroka yang telah meneroka hutan belantara untuk dijadikan perladangan yang terbesar di dunia.

Rupa-rupanya jumlahnya hanyalah RM15,000 sahaja dan akan diberikan dalam tiga peringkat selama tiga bulan. Kalau mengadu, nanti dikatanya peneroka tidak bersyukur. Kalau tak adu pula, ia sangat tidak berbaloi dengan publisiti yang meluas berterusan sejak beberapa bulan yang lalu.

Saya hanya berharap pemimpin kita tidak lagi membuat kenyataan menghina rakyat dengan menasihatkan mereka untuk berbelanja secara betul dan berhemah seperti meereka lakukan semasa memberi bantuan seratus ringgit untuk pelajar sekolah beberapa bulan yang lalu.

Kita masih ingat bantuan RM100 untuk kanak-kanak sekolah yang lalu, pemimpin setinggi pangkat seperti Muhyiddin Yassin telah beberapa kali membuat kenyataan meleter supaya wang seratus ringgit itu dibelanjakan secara berhemah seolah-olah wang yang diberikan itu berjumlah setengah juta ringgit jumlahnya.

Ada di antara yang saya kenal tidak mahu menerima bantuan itu kerana terasa hati dengan leteran Muhyiddin Yassin itu.

Bantuan RM100 itu telah disiarkan berulang ulang kali oleh media masa eletronik arus perdana berminggu-minggu lamanya dan menampakkan sangat pemimpin kita meminta penerima untuk berterima kasih kepada Umno hingga ke liang lahad.

Itu baru bantuan RM100. Tidak tahulah bagaimana pemimpin-pemimpin tertinggi kita akan mengungkit isu “durian runtuh” untuk peneroka Felda ini pula.

Mungkin mereka (pemimpin) mahukan peneroka untuk memberikan pesanan dan wasiat kepada anak-anak mereka sebelum mati untuk memberi undi kepada Umno jika mereka (peneroka) sudah tiada lagi di dunia ini.

Sejumlah apa sekali pun yang kita dapati, kita wajib bersyukur, tetapi apa yang saya persoalkan ialah pemimpin utama kita terminta-minta dan mengungkit-ngungkit dan memaksa peneroka untuk menzahirkan perasaan terima kasih mereka (peneroka) kerana kepentingan politik kepartian dan peribadi.

Peneroka tahu yang wang tersebut adalah wang yang datangnya dari titik peluh mereka sejak puluhan tahun dahulu, bukannya wang saku pucuk pimpinan kita itu. Hanya pihak kerajaan cuba menunjukan yang pemberian ini seolah-olah datangnya dari kantung kerajaan untuk digunakan sebagai bahan ungkitan dalam masa menunggu PRU yang akan datang ini.

Lain-lain perkataan peneroka dituntut untuk berterima kasih walaupun apa yang mereka terima itu adalah wang mereka sendiri. Hanya mungkin peneroka belum lagi mengetahui yang kantung Felda telah kekeringan kerana disalahgunakan oleh pimpinan negara hari ini.

Selepas setahun penyenaraian itu nanti, peneroka dan rakyat akan melihat hasil kerja yang tidak jujur ini. Kata perbilangan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. — aspanaliasnet.blogspot.com

  1. #1 by negarawan on Friday, 11 May 2012 - 12:06 am

    UMNO government has been warned by credit rating agencies that if it continues with its election spending, it may face the first downgrade in 15 years. Looms like Najip is not listening and already Malaysia has the second highest debt in Asia at about 53%. UMNO is not only stealing the rakyat’s hard earned money but also completely mismanaging the economy! The credit rating downgrade will be a very welcomed slap in the face for Najip/UMNO.

You must be logged in to post a comment.