Lim Kit Siang

Jalan ke syurga penuh dengan onak dan duri

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Apr 09, 2012

9 APRIL — Rakyat khususnya orang Melayu sudah sampai masanya untuk berfikir jauh diluar kotak. Sampai masanya rakyat memilih untuk memulakan pembetulan dengan merubah keadaan negara dari mula.

“We have to start anew”. Cara berfikir yang usang patut dibuang kerana kita orang Melayu yang sudah kononnya dibela oleh parti Melayu, Umno selama 54 tahun tidak berdaya untuk membantu bangsanya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain walaupun perlembagaan telah memperuntukkan keistimewaan untuk orang Melayu.

Jika selama 54 tahun Umno gagal menaikkan taraf “competitiveness” orang Melayu, apa pula alasan pimpinan kita untuk meminta orang Melayu untuk terus menyokong Umno dalam pilihanraya yang akan tiba ini. Peluang untuk mendapat hasil yang sama juga adalah besar… walhasil balik asal.

Kalau kita berikan mandat lagi kepada Umno keadaan Melayu akan lebih teruk lagi. Yang pasti akan berterusan dan berkesinambungan ialah bertambahnya gejala rasuah dan menyalahgunakan kuasa akan bertambah besar lagi.

Kita tidak boleh lagi memberikan harapan kepada Umno kerana jika selama lebih lima dekad parti itu telah gagal masakan kali ini dengan kepimpinan yang lebih tidak senonoh ini akan memperbaiki keadaan orang Melayu. Umno dan kegagalan adalah dua perkataan yang sinonim. Umno itu kegagalan, kegagalan itu adalah Umno. Jangan malu-malu untuk mengakuinya.

Lagi satu “attribute” Umno itu ialah ia sinonim dengan rasuah. Saya selalu berkata “Umno dan rasuah itu adalah ibarat aur dengan tebing… saling menyandar diantara satu dengan lain. Umno tidak boleh hidup tanpa rasuah dan rasuah tidak akan berkembang tanpa Umno”.

Maka Umno, kegagalan dan rasuah itu adalah “attribute” penting sebagai cara pengenalan parti itu. Masakan parti ini boleh diyakini setelah membuktikan kegagalan setelah mendapat mandat selama 54 tahun.

Saya agak ramai kenalan dikalangan OKU-OKU (orang kuat Umno) kerana kehadiran saya dalam Umno itu mencecah empat dekad lamanya. Hanya saya tidak begitu bergaul dengan pemimpin-pemimpin besar kerana saya ini tidak sama dengan “wave length” mereka, tetapi saya tidak putus-putus berhubung dan dihubungi ramai pemimpin-pemimpin kecil-kecilan parti ini.

Mereka juga bersetuju yang Umno itu sudah hilang segala plot untuk mentadbir sebuah negara demokrasi seperti negara kita. Mereka bukan tidak mahu berubah tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak berubah.

Setakat ini mereka hanya tahu untuk mendapat undi dan mentadbir, tetapi apa yang hendak ditadbir atau apa yang perlu dilakukan untuk mengisi keperluan negara ini mereka sudah tidak berdaya lagi. Kerana apa mereka jadi begini? Jawapannya ialah kerana mereka tidak dapat menanggalkan budaya memikirkan kehidupan mereka secara peribadi.

Jika pemimpin tidak dapat memberikan tumpuan terhadap fungsi siasah mereka, maka tidak mungkin mereka dapat menggubal dasar-dasar baru untuk kepentingan negara. Mereka menjadi lesu kerana mereka enggan dan tidak berani berfikir diluar kotak.

Rakyat sudah berfikir dalam ruang lingkup yang luas tetapi Umno masih lagi tidak berubah dan pemikiran Umno tidak berkembang mengikut perkembangan masa dan waktunya. Itulah sebabnya Umno dan penyokong tegarnya sentiasa menyalahkan orang lain apabila rakyat mempersoalkan mereka disisi siasah negara kita ini. Umno tidak pernah menyalahkan diri sendiri.

Perbuatan Umno selalu membuatkan orang marah, tetapi bila orang marah mereka melakukan berbagai fitnah melalui media massa yang diketuai oleh Utusan dan TV3. Mereka tidak memahami kenapa orang ramai marah tetapi bertindak untuk melakukan tekanan terhadap mereka yang mengkritik mereka.

Kalau begitu keadaannya, apakah lagi alasan untuk mempertahankan parti ini? Isu yang kita semua dengar setiap hari ialah isu mengenang budi dan membalas budi, satu isu yang sudah luntur kerana itulah isu yang diperbesarkan sejak negara merdeka dahulu. Umno mahukan orang ramai membalas budi dengan menyokong mereka melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Bagi Umno mereka mesti disokong walaupun melakukan berbagai-bagai kemungkaran politik dan ekonomi terhadap rakyat dan negaranya. Rupa-rupanya Umno mengharapkan rakyat memberikan sokongan walaupun mereka tidak lagi memperjuangakan bangsanya lagi… semata-mata kerana budi lama.

Yang kita tahu yang berbudi itu ialah Umno yang telah ditewaskan oleh Dr Mahathir Mohamad dahulu. Umno lama dahulu ditubuhkan diatas premis kesatuan dan penyatuan rakyat, sebaliknya Umno yang baru ini diwujudkan diatas perpecahan orang Melayu khususnya ahli-ahli Umno itu.

Oleh kerana pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno tidak mengubah partinya kita meminta semua orang Melayu melakukan perubahan ini. Kita boleh melakukannya. Dalam pilihanraya 2008 dahulu jumlah pengundi Melayu adalah 5.5 juta dan dari jumlah ini hanya dua juta sahaja orang Melayu memberikan undi kepada calon-calon Melayu, lebih dari 3 juta Melayu telah menolak Umno tanpa segan silu.

Dan daripada jumlah itu 1.5 juta ahli Umno telah memilih untuk mengundi parti-parti alternatif. Asas untuk memberikan waktu berihat kepada Umno memang sudah ada dengan jumlah ahlinya yang ramai yang telah mengundi pembangkang. Tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh lakukan sekali lagi bagi memberikan impak besar terhadap kumpulan perasuah tegar ini.

Selamatkan harta benda rakyat yang masih terbaki sedikit sebanyak itu. Mereka yang telah menyapu bersih harta rakyat itu tidak akan bertanggungjawab kepada tindakan mereka. Yang akan sengsara adalah generasi kita yang akan datang. Menyelamatkan generasi kita merupakan fardhu kifayah besar dan itu adalah tuntutan agama kita juga.

Tetapi kita harus menerima hakikat yang usaha untuk melakukan kebaikkan merupakan satu usaha yang perlu melalui kepayahan. Kata seorang ulamak yang muktabar, “jalan ke syurga itu berliku-liku dan penuh ranjau dan onak dan jalan ke neraka itu pula penuh dengan roti dan keju yang teramat enak rasanya”.

Kepada semua yang insaf, marilah kita berjuang walaupun terpaksa melalui segala onak dan duri itu, kerana penghujung perjuangan itu adalah adalah kebahgiaan kepada rakyat dan negara. — aspanaliasnet.blogspot.com

Exit mobile version