— Aspan Alias The Malaysian Insider Apr 09, 2012
9 APRIL — “Dua perkara yang terpenting untuk diingati oleh pemimpin, pertamanya jangan bersikap sombong, dan jangan tidak tepati janji”, kata PM Najib di Temerloh semalam. Saya dan sesiapa juga bersetuju dengan ungkapan Najib itu, baik kawan dan lawan dalam politik. Kata-kata itu memang satu nasihat dan peringatan yang baik kepada semua. Bak kata anak-anak muda sekarang “gua caya lu Najib”.
Tetapi itulah diantara sebab kenapa Umno dimarahi dan dipersoalkan oleh rakyat. “Attribute” pemimpin Umno adalah kesombongan mereka serta sikap tidak menepati janji. Dan dalam artikel ini kita boleh tambah lagi apa-apa yang melekat sebagai stigma yang tidak dapat dipisahkan dari parti pemerintah itu. Apa yang dinasihati Najib itu, itu lah yang ada kepada Umno.
Umno begitu sombong kepada rakyat dengan mengugut rakyat supaya jangan tinggalkan Umno kerana jika Umno ditinggalkan, mereka tidak akan dapat menentukan nasib yang baik untuk rakyat yang ramai. Hanya Umno sahaja yang boleh mempastikan kehidupan yang baik untuk rakyat dan “there is no life without Umno”. Kepercayaan yang segala-galanya adalah dari Tuhan Semesta Alam tidak dipakai lagi. Mereka telah cuba mengalihkan keyakinan ramai yang, “there is life without Umno” dan “there is life after Umno”.
Justru, sikap Umno yang cuba mengambilalih kerja Tuhan itulah yang menyebabkan rakyat bertambah jemu terutamanya kepada mereka yang berfikir dan diselarikan dengan keimanan didalam diri mereka. Umno hanyalah sebuah parti yang dipergunakan akhir-akhir ini (sejak tiga dekad yang lalu) hanya untuk membina kesombongan dan ke egoan pemimpin-pemimpin yang menerajui parti itu.
Janji-janjinya untuk membela bangsanya tidak pernah diberikan tumpuan. Jika benar Umno menunaikan janji-janjinya, kenapa Melayu masih berada ditahap ini walaupun Umno telah menerajui kepimpinan negara sejak merdeka sehinggalah ke hari ini? Janji-janji untuk membela bangsanya semakin menghampakan apabila hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera itu hanya diambil kesempatan oleh hanya segelintiran Melayu yang istimewa sahaja. Mereka tidak membela Bumiputera dan mereka hanya memberikan pembelaan kepada putra-putra semata-mata.
Yang “bumi” tidak dapat pembelaan dan apabila bumi yang rata-rata masih miskin ini diambil kesempatan diatas kesusahan mereka dengan membeli sokongan dengan harga RM500 sahaja sekali dalam lima tahun. Maka beraturlah ribuan “bumi” yang fakir dan lapar untuk menerima RM500 dari pemimpin-pemimpin Umno.dan pemberian sebanyak itu dipaparkan kepada dunia melaluii media massa perdana untuk menunjukkan yang rakyat mereka boleh dijadikan sebagai peminta sedekah dimata masyarakat sehingga keperingkat antarabangsa.
Segala daging batang pinangnya dibolot oleh “putra-putra” mereka sahaja. “Putra-putra” ini adalah dari keluarga pemimpin sahaja. Lepas bapa pindah pula kuasa kepada putra-putra mereka. Nasihat Najib dan pimpinan yang lain di Temerloh itu sepatutnya di arahkan kepada mereka sendiri. Pemimpin sepatutnya membela Bumiputera, bukannya hanya membela putra-putra semata-mata. Jangan ditinggalkan “Bumi-bumi” melata ditepian masyarakat yang dikuasai oleh “putra-putra” sahaja. Kerajaan dan pimpinan mesti membela Bumi-bumi bersama dengan putra-putra yang sudah kaya raya melalui jalan halal dan haram itu.
Tetapi, benarkah rakyat hanya marah terhadap pemimpin yang sombong dan mungkir janji sahaja? Tidak kah pemimpin-pemimpin yang berkuasa hari ini tidak diyakini oleh rakyat kerana banyak isu lain? Isu yang utama yang berhadapan dengan pimpinan Umno dan BN hari ini ialah isu rasuah yang berada dalam lingkungan RM ratusan billion dan sekarang sudah ada bukti yang angka itu sudah mencecah sehingga RM.1.3 trillion sejak sepuluh tahun lalu?
Rakyat marah-marah kerana rasuah yang berlaku disetiap peringkat pentadbiran, dari peringkat Persekutuan sehingga keperingkat daerah dan berlaku diseluruh negara. Di peringkat daerah para pentadbir berlumba-lumba dengan rakyat biasa untuk merebut peluang kehidupan melalui jalan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang dan moral. Pegawai-pegawai diperingkat daerah ramai yang mendaftarkan syarikat diatas nama anak atau isteri untuk merebut peluang yang sepatutnya untuk rakyat yang mereka tadbir.
Siapa diantara pemimpin yang memantau keadaan ini? Jawapannya tidak ada. Gejala rasuah ini telah diabaikan sejak sekian lama dan sampai ketahap rakyat sudah tidak lagi dapat menerimanya. Sekarang ini gejala rasuah yang sangat mengerikan ini sudah tidak dapat dikawal lagi kerana hampir semua yang berada dalam kuasa hari ini terlibat secara “direct” atau “indirect” dalam kegiatan hina ini.
Budaya ini telah menjalar ke segenap lapisan kepimpinan sehinggakan ramai diantara mereka menjawab kritikan seperti yang kita buat terhadap mereka dengan berkata, “kalau kau berkuasa pun kau akan belasah juga”. Mereka menyamakan sikap kita dengan sikap mereka kerana mereka sudah percaya yang rasuah besar itu adalah budaya kepimpinan hari ini.
Bagi kumpulan ini rasuah itu adalah kemestian bagi sesiapa yang memerintah kerana semasa mereka yang sudah mula berfikir dalam kehidupan sudah melihat rasuah ini dihadapan mata mereka sendiri. Tetapi mereka tidak sedar yang negeri-negeri kepimpinan PR telah membuktikan yang rasuah itu boleh ditangani.
Di Pulau Pinang contohnya kontraktor tidak payah menggunakan “cable” politik untuk mendapatkan kerja kontrak. Kontraktor-kontraktor hanya memerlukan “Internet cable” sahaja kerana semua sebutharga dilakukan “online”. Dengan cara ini kos sesuatu kontrak itu akan menjadi rendah kerana elemen kos pembayaran komisyen sudah tidak ada dalam didalam sebutharga mereka itu.
Tidak ada kronisma dan tidak ada rasuah dan kepada sesiapa yang tidak mempunyai “connection” politik pun boleh bersama-sama berpeluang mendapatkan kerja-kerja yang sebelum ini hanya diperolehi oleh sekumpulan kecil orang-orang istimewa sahaja. Bagi kerajaan P. Pinang dan Selangor serta kerajaan PR yang lain, semua rakyat itu adalah istimewa belaka.
Dengan acara itu tidak akan adalah situasi dalam mana kos yang diperuntukkan untuk membeli peralatan senjata yang bernilai RM5 billion dinaikkan kapada RM9 billion kerana hendak memasukkan elemen komisyen kepada mereka yang berkuasa didalam pembelian peralatan senjata dan perang negara kita.
Bayangkan jika BN tidak lagi berkuasa maka peluang untuk membenteras jenis rasuah yang begitu sistematik yang dilakukan oleh pemimpin hari ini akan dihapuskan. Wang yang digunakan untuk rasuah sekarang ini, sebaliknya akan dapat digunakan oleh PR untuk kesejahteraan rakyat. Jumlahnya bukannya kecil… tetapi berbillion-billion ringgit. — aspanaliasnet.blogspot.com