— Aspan Alias The Malaysian Insider Mar 08, 2012
8 MAC — Selangor menjadi negeri idaman BN khususnya Umno. Setiap malam dan siang negeri Selangor menjadi bahan umpatan dan kritikan BN yang menggunakan TV3 mencaci dan menghina kepimpinan Selangor. Ini memang tidak menjadi kehairanan kerana Umno dan BN sedar yang Selangor merupakan negeri yang terkaya dinegara ini
Kekayaan negeri Selangor itu lah yang menyebabkan Umno tidak kering peluh mencari jalan dan berusaha untuk merampas kembali negeri ini. Memang sifat pemimpin Umno begitu. Dimana ada wang disitu mereka menyerang, seolah-olah kita hidup dizaman lampau; di mana negeri yang kaya, negeri itu akan diperangi mereka untuk mendapatkan harta rampasan jika menang peperangan itu.
Barulah tiga empat tahun ini rakyat Selangor hendak merasakan pentadbiran yang baik dan transperan, rasuah yang minima dan kecurian wang dan harta rakyat yang berbillion oleh pimpinan BN dahulu. Rakyat Selangor baru sahaja hendak merasakan situasi dalam mana Menteri Besarnya tidak membina rumah yang berharga RM25 juta walaupun MB semasa itu hanya dari keluarga yang biasa.
Baru tiga empat tahun inilah rakyat Selangor terhindar dari kecurian harta benda mereka yang berbillion ringgit seperti apa yang berlaku dalam kes PKFZ. Baru sekaranglah rakyat Selangor tahu bagaimana wang Yayasan Selangor kehilangan setengah billion ringgit semasa pentadbiran Umno dahulu.
Barulah sekarang rakyat dan kerajaan Selangor hendak merasakan sebuah kerajaan yang mempunyai bajet yang “surplus” sebanyak RM1.5 billion. Umno pernah saya labelkan sebagai sebuah parti “vandalism” yang tegar. Apa yang baik hendak dirosakkannya. Mana yang berduit dan banyak wang disitulah mereka berhempas pulas untuk merampasnya. MAS yang pernah menjadi sebuah syarikat penerbangan yang premium sekarang sudah diletakkan dibawah ketiak Air Asia.
Berbillion billion ringgit kerugian MAS semasa syarikat penerbangan itu diswastakan kepada Tajudin dahulu, dan kerajaan telah mengambilalih syarikat itu dengan harga yang sama semasa pengswastaan syarikat itu kepada Tajudin dahulu. Semua punah ranah oleh kepimpinan Umno semasa itu yang kini dianggap sebagai negarawan pula.
Proton diambilalih oleh kroni pemimpin yang sama kerana aset Proton yang berbelas billion nilainya bukan kerana hendak memperbaiki prestasi Proton. Harga belian kepada pegangan Khazanah sebanyak 42 peratus itu hanya dibayar dengan harga RM1.4 billion sahaja.
Peneroka FELDA sedang diambang penipuan pimpinan kerana FELDA itu kaya raya. Dimana-mana Umno hanya pandai merosakkan yang baik. Sekarang kerajaan negeri Selangor pula menjadi sasarannya, juga kerana Selangor mempunyai kekayaan yang paling besar dinegara ini.
Umno ini ibarat semut, dimana gula berada disitulah mereka berkerumun. Itulah sebabnya saya pernah memberikan cadangan supaya kita memilih parti yang pemimpinnya mempunyai air liur yang pekat sedikit. Kalau air liur pemimpin itu telalu cair seperti pemimpin Umno air liur itu akan senang meleleh jika nampak wang dan harta yang banyak.
BN sedang menggunakan media perdana seperti TV3 untuk melakukan segala kempen kotor mereka. Kalau mereka benar-benar dari pimpinan yang baik masakan rakyat Selangor menolak mereka dalam pilihanraya yang lalu. Sekarang ini pemimpin-pemimpin yang sama yang mencari kesalahan TS Khalid seperti orang mencari kutu didalam rambut.
Satu sahaja formula untuk memberikan penilaian untuk mengambil keputusan dalam pilihanraya yang akan datang; iaitu kita nilai berapa billion yang dirugikan wang rakyat oleh kerajaan BN dahulu. Bagi mereka yang berfikir ambil hanya satu isu sahaja, iaitu PKFZ yang melibatkan skandal yang sampai ketahap RM12 billion.
Bagi saya rakyat Selangor supaya tidak lagi mendekati pimpinan parti yang telah terbukti memporak perandakan rakyat Selangor dahulu. Tindakan rakyat Selangor memberikan mandat kepada kerajaan sekarang yang dipimpin oleh TS Khalid itu merupakan tindakan yang betul dan berpadanan.
Kesempatan ini saya memohon agar rakyat Selangor tidak lagi melakukan kesilapan dengan mengembalikan mandat kepada BN dalam pilihanraya yang akan datang ini. Malahan seluruh rakyat dinegeri-negeri lain yang dipimpin oleh BN mengikuti jejak langkah rakyat Selangor yang telah membuat keputusan yang tepat dalam pilihanraya yang lalu.
Apabila sudah membuat keputusan yang betul rakyat Selangor seharusnya menjaga mandat yang telah diberikan kepada kerajaan pimpinan TS Khalid ini dengan baik dan beramai-ramailah memberikan perlindungan dari diperah oleh pimpinan Umno yang rakus itu.
Menjaga harta benda kita adalah menjadi kewajipan kita semua dan itu adalah kerja yang sangat dituntut oleh agama dan adat kita. Sesungguhnya rakyat Selangor telah membuatkan pimpinan Umno meroyan dan tidak tahu hendak mengambilalih kuasa selain dari menggunakan ugutan, membeli undi melalui BRIM, menggunakan samseng dan berbagai-bagai lagi cara yang amat membosankan rakyat ramai.
Obsession Umno untuk mengambilalih Selangor ibarat penagih dadah yang sedang gian kerana dadah yang selalu diambilnya dahulu sudah tidak dapat diperolehi mereka lagi. Maka Umno sedang merasuk kesana kemari untuk mendapatkan “supply” yang sudah empat tahun tidak diperolehi mereka.
Kesinambungan mandat terhadap kerajaan PR sekarang ini merupakan kemestian supaya kita tidak lagi didekati oleh kumpulan yang sentiasa terintai-intai untuk memerah keringat rakyat negara dan Selangor khususnya.
Apabila sudah mendapat kebenaran jangan disia-siakan lagi. Apa yang rakyat Selangor perlu lakukan, ialah untuk membulatkan tekad untuk menjaga kepentingan negeri Selangor yang berdaulat ini.Dengan pengekalan mandat kepada kerajaan PR sekarang ini setidak-tidaknya dapat menghambat penagih tegar rasuah ini dari mendekati katung kerajaan negeri Selangor. — aspanaliasnet.blogspot.com