UMNO

Berniaga buluh kasap: Hujung hilang pangkal lesap

By Kit

February 22, 2012

— Aspan Alias The Malaysian Insider Feb 21, 2012

21 FEB — Saya terbaca berita yang beberapa veteran Umno telah bertemu secara tertutup untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Diantara yang hadir itu ialah Dr Mahathir Mohamad, Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, TS Sanusi Juned, Datuk Khalid Yunus serta beberapa orang kuat Perkasa termasuk ketua wirawatinya dan pemuda kepada pertubuhan yang sangat ‘famous’ itu.

Saya bersetujulah apa yang mereka lakukan itu, tetapi yang saya nak sentuh kali ini ialah mereka yang berjumpa itu ialah dikalangan orang-orang yang telah memecah belahkan umat Melayu dahulu. Bermula dengan tindakan Dr Mahathir menggunakan peguam Sri Ram untuk mematikan Umno dan terus menyekat usaha sekumpulan ahli Umno untuk menghidupkan Umno lama benar-benar telah memecah belahkan orang Melayu. Orang Melayu berada dalam dua kumpulan; yang satu adalah kumpulan yang sayangkan Umno asal itu dan yang satu lagi kumpulan yang membawa ahli-ahli Umno ke dalam pertubuhan baru yang bernama Umno baru.

Dalam perpecahan inilah tersingkirnya Ketua Hakim Negara semasa itu, Tun Salleh Abas yang telah mengambil keputusan untuk membawa semua sembilan orang hakim-hakim Mahkamah Agong untuk menghakimkan kes tuntutan bekas ahli-ahli Umno untuk menghidupkan parti itu. Dr Mahathir tidak bersetuju kerana beliau mahukan Umno yang baru untuk menyingkirkan semua pemimpin yang tidak sebulu dengannya.

Maka berpecahlah orang Melayu khususnya ahli-ahli Umno dalam banyak kumpulan. Selepas itu dipecahkan orang Melayu dengan Raja-Raja mereka dalam krisis Umno dengan Raja-Raja Melayu dahulu. Sanusi Junid yang merupakan ‘general’ Dr Mahathir merupakan orang yang melaksanakan perintah Dr Mahathir untuk melupuskan Umno untuk digantikan dengan Umno yang ada pada hari ini. Salah seorang dari kumpulan itu Dato Haji Khalid Yunus telah membuat kenyataan pedas terhadap Raja-Raja Melayu sehingga tidak ada tolok bandingnya.

Sejak dari itu orang Melayu berpecah belah dan sekarang kumpulan ini jugalah yang berjumpa secara tertutup untuk membetulkan orang Melayu. Saya menganggap tindakan mereka ini tidak akan kemana-mana dan Melayu tetap akan berpecah belah sehinggalah pemimpin-pemimpin jenis ini tidak lagi terlibat dalam Umno.

Elok ramai-ramai baca kembali akhbar-akhbar perdana seperti Utusan, dan kumpulan NST pada tahun 1993 untuk kepentingan mereka yang tidak berada atau bergiat didalam Umno semasa itu. Kepada pemimpin seperti Hishamuddin, Shafie Apdal dan yang lain-lain yang tidak pernah menjadi ahli Umno yang dulu elok baca semuanya ini.

Kepada semua yang garang-garang yang kononnya pejuang Melayu dan Umno elok memulakan membaca semuanya ini kerana ia akan menjadikan mereka lebih faham kenapa orang Melayu kini berpecah belah. Sekarang orang melayu sudah jemu dengan perpecahan ini, maka mereka sekarang mahu bersatu kembali tetapi bukannya dibawah Umno. Mereka sudah letih dengan kerenah kepimpinan Umno yang bercakap tentang perjuangan orang Melayu tetapi sampai sekarang orang Melayu tidak kemana jua.

Tempoh 54 tahun dengan retorik kosong ini sudah cukup untuk orang Melayu bersabar. Jika Umno diberikan kuasa lagi kali ini dalam pilihanraya sekali lagi isu yang sama akan kita dengari dan begitulah sampai bila-bila.

Akhirnya orang Melayu ini akan masuk angin keluar asap. Berniaga pula ibarat berniaga buluh kasap; hujung hilang, pangkal lesap. — http://aspanaliasnet.blogspot.com/