Lim Kit Siang

Poster-poster rasis sudah mula dinaikkan. Itu petanda BN sudah kehabisan modal

— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Feb 05, 2012

5 FEB — Saya telah pergi ke TTDI hari ini untuk bertemu beberapa orang rakan yang ingin berjumpa saya sambil minum pagi. Saya diberitahu oleh rakan-rakan saya yang sudah banyak poster-poster yang ditampal dimerata-rata tempat tentang Lim Guan Eng sebagai anti-Melayu. Poster itu berbunyi ‘Lim Guan Eng anti Melayu’. Sebagai seorang yang sentiasa berada bersama rakyat marhean di bawah ini, saya dapat merasakan dengan jelas yang DAP sedang mendapat penerimaan dari kaum Melayu yang sudah terbuka minda dan tidak lagi terkongkong dengan momokan jahat setengah pihak terhadap parti itu.

Ini juga dapat dirasakan oleh Umno dan sekutunya. Maka tidak terkejut jika mereka melakukan tindakan desperado ini kerana ini sahajalah jalan yang tinggal untuk menggagalkan usaha DAP untuik membuktikan yang parti itu benar-benar sebuah parti ‘multi-racial’ yang sedang mendapat sambutan dari semua kaum termasuk dari kaum Melayu yang sudah tidak terkongkong dengan momokan gila parti-parti dalam BN khususnya Umno.

Untuk memahami tujuan poster ini dinaikkan tidak memerlukan seorang yang bijak pandai untuk mentelaahnya. Seseorang yang terbuka sedikit mindanya dan sudah bercampur gaul dengan mereka yang berpolitik secara jujur akan cepat tahu matlamat pihak yang menaikkan poster-poster ini. Matlamatnya ialah untuk berusaha dengan cara kotor untuk BN mendapat sokongan dari semua kaum khususnya orang Melayu.

Kerja menakut-nakutkan Melayu ini memang cara Umno untuk menjauhkan Melayu dari mendekati DAP. Puluhan tahun orang Melayu ditakutkan dengan isu 13 Mei untuk menjauhkan orang Melayu dari DAP. Tetapi isu itu sudah tidak dipakai lagi kerana rakyat tahu kaum Cina lah kaum yang takut dengan pergaduhan di antara kaum kerana mereka mahukan keamanan dan hidup berniaga di dalam negara yang tidak berpecah belah.

Rakyat pun tahu yang kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng telah menunjukkan sikap mengambil tahu hal untuk semua kaum di negeri tadbiran beliau. Orang Melayu sekarang sudah sedar yang Guan Eng tidak boleh di nafikan ketelusannya dalam mentadbir negeri Pulau Pinang. Lim Guan Eng yang dituduh anti Melayu dan Islam oleh penyokong Umno dan BN telah memperuntukkan wang sebanayk RM64 juta untuk mentadbir urus hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang. Semasa BN memerintah Pulau Pinang, peruntukkan untuk hal ehwal Islam hanyalah sebanyak RM12 juta sahaja.

Walaupun negeri Pulau Pinang hanya sebuah negeri yang kecil dan jumlah orang Islamnya kecil jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, peruntukkan sebanyak RM64 juta itu merupakan jumlah yang amat besar. Peruntukkan itu termasuklah untuk menyelia elaun guru-guru KAFA, pentadbiran tanah perkuburan serta semua yang berhubungkait dengan agama Islam di negeri itu.

Umno sedar yang Guan Eng tidak boleh lagi dipersendakan kepimpinannya. Jika benar Guan Eng anti Melayu bagaimanakah 70 peratus dari kontrak yang diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang itu diperolehi oleh Bumiputra? Kerajaan Pulau Pinang tidak memandang bangsa dan ethnik dalam pembahagian kontrak-kontrak ini sebaliknya pembahagian itu adalah didasarkan kepada ‘merit’ yang ada kepada kontraktor-kontraktor itu. Dengan keadaan itu maka terbukti kontraktor-kontraktor Melayu mempunyai ‘merit’ yang tinggi yang mereka tidak dapat buktikan semasa pemerintahan Koh Tsu Khoon dahulu.

Dengan kata-kata lain Bumiputra boleh berjaya tanpa bersandar kepada peruntukkan keistimewaan Bumiputra sebagai yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara. Sesungguhnya orang Melayu mampu membuktikan yang mereka boleh bersaing dan semasa pemerintahan Gerakan dahulu mereka tidak berupaya membuktikannya kerana setiap kerja yang di berikan oleh kerajaan BN semasa itu telah diperolehi oleh kroni-kroni kerajaan semasa itu.

Segala bukti-bukti ini secara beransur-ansur dapat disaksikan oleh rakyat dan itulah sebabnya Umno ternyata takut dengan DAP yang akhirnya telah berjaya membuktikan yang parti itu benar-benar parti untuk rakyat dan bukannya untuk kroni-kroni tertentu dan ‘warlords’ yang istimewa dalam Umno dan BN itu.

Pentadbiran yang jujur memang satu perkara yang tidak mampu dilakukan oleh Umno dahulu maka perbezaan yang ditunjukkan oleh Guan Eng ini amat menakutkan Umno. Maka tidak hairanlah kenapa poster yang bersifat sensitif ini dinaikkan oleh setengah pihak yang takut kepada kejayaan DAP untuk membuktikan yang parti itu tidak bersifat rasis seperti MCA dan Umno dalam BN itu.

Poster-poster itu hanya merupakan satu tindakan yang ‘counter productive’ bagi pihak yang menaikkannya yang bersifat rasis yang keterlaluan itu. — aspanaliasnet.blogspot.com

Exit mobile version