Sokongan mengusik jiwa


— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Jan 17, 2012

17 JAN — Kali ini saya hanya menulis “article” yang pendek sahaja. Saya telah mendapat reaksi yang banyak kerana tindakan saya menukar wadah dalam arena politik. Perlu difahami bahawa saya tidak bergiat dalam politik melebihi satu dekad dan saya pada awalnya tidak mahu lagi terlibat dalam hal ini. Saya merasakan banyak yang tidak kena dengan perjalanan dan arah tuju politik Melayu, khususnya Umno, dan mengambil tindakan mendiamkan diri adalah satu tindakan yang “natural” bagi sesiapa yang menghadapi perasaan dan masalah seperti saya ini.

Saya hanya mengambil tahu hal keadaan politik dari rumah sahaja sambil-sambil menengok-nengokkan cucu saya yang kian waktu makin membesar dan bertambah bilangannya itu. Saya mengambil langkah untuk menulis sedikit sebanyak dalam blog kecil saya ini untuk mengasah otak saya supaya tidak menjadi tumpul. Tetapi dalam waktu pencarian ini saya nampak keadaan sudah terlalu menekan untuk saya kembali dan bergiat, setidak-tidaknya untuk memberikan sumbangan sedikit sebanyak kepada pandangan masyarakat yang dahagakan perubahan.

Tindakan saya menyertai DAP ini dilakukan setelah berfikir dengan mendalam dan mencari penyesuaian dan keserasian dengan perjuangan parti ini. Setelah saya menyertainya, saya telah mendapat puluhan atau ratusan sokongan melalui e-mail saya setiap hari, kecuali beberapa orang yang menentang kemasukan saya dalam DAP. Yang lain yang ramai-ramai itu telah memberikan saya galakan dan ramai (Melayu) yang telah menunjukkan sokongan yang begitu kuat terhadap tindakan saya itu.

Saya tidak dapat untuk menjawab satu persatu email yang dihantar kepada saya itu, maka saya menulis melalui blog kecil saya ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas sokongan moral kepada saya dan kalau boleh doakan saya agar apa yang saya perjuangkan ini akan beroleh kebaikan untuk kita semua dan generasi kita yang akan datang.

Ada juga segelintir yang membidas dan menghina saya dengan isu yang bukan-bukan tetapi saya tidak memberikan respon kepada segelintiran ini kerana di antara saya dengan mereka sebenarnya kita berlainan dalam bahasa politik. Saya juga tidak mengambil hati kerana kita memandang isu-isu itu dari sudut yang berlainan. Penghinaan segelintiran mereka ini tidak meresahkan saya malah saya merasakan yang saya sedang dalam ujian dalam kehidupan saya dan saya akan laluinya dengan tabah dan tenang.

Saya hanya berdoa saya akan terus-menerus bersandar kepada kebenaran dan hanya saya sahaja yang tahu kerana matlamat saya itu saya simpan rapat-rapat di dalam sanubari saya. Jika benar apa dan ada kesungguhan perjuangan saya itu dan diizinkan Tuhan pula baiklah hasilnya dan jika sebaliknya, saya redha untuk menerima apa sahaja halangan dan kepayahan yang bakal saya hadapi. Saya telah bertekad untuk menyebelahi rakyat yang ramai dari bersekutu dengan kumpulan ekskusif yang lalai terhadap orang ramai tadbiran mereka.

Lagi pun menghadapi kepayahan dalam hidup memang mainan saya walaupun saya berada di dalam Umno yang mengaku sebagai parti untuk semua dan segala-galanya adalah Umno. Saya telah menjadi ahli parti ini selama empat dekad lamanya. Saya tidak pernah merungut dan menyesal berada di dalam Umno sebegitu lama. Setidak-tidaknya saya mahir untuk menilai parti itu dalam empat dekad berada bersamanya.

Kepada rakan-rakan serta ratusan email yang datang dari mereka yang saya belum kenali itu, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas sokongan saudara semua. Saya tidak dapat mengenali semua. Tetapi jika terjumpa di mana-mana, tegurlah saya kerana saya ingin bersalaman untuk mengucapkan terima kasih sekali lagi.

Tetapi memberikan sokongan kepada saya tidak mendapat apa-apa imbuhan. Saya tidak ada RM500 untuk dibahagi-bahagikan kepada saudara/saudari sekalian. Saya tidak mampu untuk menjanjikan apa-apa keuntungan material. Hanya saya berjanji dengan sedikit kudrat yang berbaki yang ada pada saya untuk membantu perjuangan untuk menyelamatkan harta benda rakyat dari dirompak dan dipergunakan oleh mereka yang memerintah negara kita ini.

Saya akan melakukan sedikit sebanyak yang saya mampu untuk menyumbang kepada usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut rasuah dan salahguna kuasa yang terlalu berleluasa kini. Hasil perjuangan ini mungkin tidak dapat dilihat semasa hayat saya ini, tetapi jika impian untuk mendapatkan sebuah negara yang baik pemerintahannya tercapai semasa saya sudah tiada lagi, jika ikhlas hadiahkanlah saya surah Al-Fatihah sekali. Setidak-tidaknya, itu sudah mencukupi bagi saya.

Kepada rakan-rakan sekalian, saya mengucapkan terima kasih dan ayuh kita bersama-sama menuju matlamat yang telah saya nyatakan tadi. Walaupun kita telah dikabulkan banyak doa-doa kita, tetapi hajat untuk mendapat sebuah negara yang dipimpin dengan baik dan jujur belum lagi kesampaian.

Doa kita termakbul tetapi kita sedang menunggu HAJAT yang masih lagi belum kesampaian.

Tetapi kita mesti yakin dengan janji Tuhan, “doa-doa kita tidak semestinya dikabulkan Tuhan semuanya, tetapi HAJAT tetap akan disampaikanNya”. Kita tunggu… berbohong itu adalah sifat mustahil bagi Tuhan semesta alam. Salam. — aspanaliasnet.blogspot.com

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.