by Zairil Khir Johari The Malaysian Insider Jan 15, 2012
15 JAN — Sempena Persidangan Kebangsaan DAP 2012 tempoh hari, Jawatankuasa Tertinggi Pusat telah membentangkan “Deklarasi Shah Alam” sebagai juadah intelektual terbaru dalam agenda parti untuk Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Perisytiharan yang dibuat ini melambangkan modal siasah baru yang cuba dipacu oleh DAP demi memupuk satu wadah kenegaraan yang berkisar pada dasar dan bukan sekadar isu-isu sensasi.
Teras asas dalam perisytiharan tersebut adalah isu ekonomi yang diulas melalui konsep “solidariti ekonomi”. Intisari perisytiharan tidak perlu diulangi di sini, namun saya ingin mengupas sedikit tentang tema yang boleh dikatakan menjadi “jiwa” yang menyelubungi jasad yang dipanggil Deklarasi Shah Alam ini.
Sesungguhnya tanggungjawab sesebuah kerajaan adalah untuk memastikan kualiti hidup yang selesa dan sejahtera bagi rakyatnya. Ini bermaksud kehidupan yang tidak dibebani hutang yang melampau, serta pendapatan yang memadai untuk membina rumahtangga dengan segala kelengkapan asas seperti rumah, kereta dan pendidikan anak-anak. Dalam erti kata lain, kesejahteraan ekonomi rakyat hendaklah dipelihara.
Namun begitu, keadaan semasa di negara kita lebih indah khabar dari rupa. Walaupun diberitahu bahawa pertumbuhan ekonomi sedang giat berkembang melalui Modal Ekonomi Baru (NEM) dan program-program serpihannya seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA), tetapi hakikatnya Malaysia merupakan negara di mana purata pendapatan rakyat adalah terlalu rendah dan sudah lama terbantut.
Lebih kurang 40 peratus keluarga di Malaysia mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,500 sebulan. Tiga perempat daripada angka itu merupakan keluarga Bumiputera. Ini ditambah pula dengan nisbah bayaran hutang isi rumah (debt service ratio) yang dilaporkan berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010. Ini bermakna bahawa keluarga tipikal di Malaysia secara lazimnya akan menggunakan setengah daripada jumlah pendapatan suami isteri untuk tujuan pembayaran hutang rumah, kereta, pendidikan dan sebagainya. Siapakah yang larat hidup dalam keadaan sebegini?
Jurang pendapatan pula semakin meluas. Jumlah pendapatan 40 peratus golongan terbawah masyarakat kita hanya merangkumi 14.3 peratus daripada jumlah pendapatan negara, manakala golongan 20 peratus yang teratas pula mengaut 50 peratus ataupun setengah daripada jumlah pendapatan seluruh negara. Yang kaya makin raya dan yang papa makin kedana.
Di sini, konsep solidariti ekonomi disajikan untuk penyelesaian kemelut yang melanda. Istilah ini berpunca daripada prinsip asas demokrasi sosial yang menjadi ideologi tunjang bagi parti DAP, iaitu prinsip solidariti ataupun kesetiakawanan. Dalam konteks ekonomi, solidariti bermaksud kesetiakawanan di antara kaya dengan miskin, bandar dengan luar bandar, kapitalis dengan marhaen. Dalam erti kata lain, ia berkisar pada pengagihan hasil yang lebih saksama.
Kegagalan untuk mengamati konsep solidariti ekonomi dalam dasar kerajaan akan membawa padah kepada kerajaan tersebut. Saya ingin menggunakan negara Singapura sebagai contoh yang jelas.
Walaupun ditakrifkan sebagai negara maju dengan pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi yang jauh meninggalkan negara-negara jirannya, Pilihan Raya Umum serta pemilihan presiden yang diadakan tahun lepas telah menghasilkan keputusan yang paling teruk pernah dialami oleh parti pemerintah. Bukan sahaja seorang menteri kanan telah kecundang dalam pertandingan untuk sebuah Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC), malah calon yang disokong parti pemerintah untuk jawatan presiden hanya berjaya mengatasi lawannya dengan beza undi popular kurang daripada 1 peratus sahaja. Suatu keputusan yang sungguh tidak disangka buat parti yang telah memerintah sejak tahun 1965.
Bagaimanakah boleh sampai ke tahap begitu, terutama sekali bagi sebuah kerajaan yang telah membawa kemakmuran dan kemajuan yang di luar jangkaan ramai sejak dizahirkan kurang daripada 50 tahun dahulu? Negara yang keluasannya hanya setengah daripada saiz seluruh negeri Pulau Pinang itu mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang tiga kali ganda KDNK Malaysia. Pertumbuhan ekonominya pula telah mencatat 14.5 peratus pada tahun 2010. Di samping itu, berpuluh-puluh ribu peluang pekerjaan baru telah diwujudkan dalam tempoh tahun-tahun yang lepas ini. Begitu pesat pembangunan yang berlaku di Singapura, namun rakyatnya tidak berasa puas hati. Mengapa?
Pokoknya, krisis Kerajaan Singapura telah berlaku akibat ketiadaan solidariti ekonomi dalam dasar pengagihan hasilnya. Pembangunan dan keuntungan yang dicapai hampir kesemuanya dibolot golongan kapitalis elit, sementara rakyat di bawah hanya berdaya untuk mengutip saki bakinya.
Sungguhpun KDNK per kapita berada di tahap yang cukup mengkagumkan, sebenarnya pendapatan golongan 30 peratus terbawah telah mengalami susutan dalam tempoh 5 tahun yang lepas, sementara kelas menengah pula telah menampakkan peningkatan pendapatan nominal sebanyak 1 peratus sahaja. Ini bermakna bahawa segala pertumbuhan ekonomi yang dijana dalam beberapa tahun yang lepas ini semuanya bertumpu kepada golongan kapitalis elit. Peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan pula rata-rata dipenuhi oleh pekerja-pekerja asing daripada China dan Filipina.
Akhirnya, tanpa solidariti ekonomi, yang menikmati kejayaan dan keuntungan adalah kelas atasan dan warga asing, sementara rakyat jelata Singapura terpaksa menanggung inflasi serantau dan beban kenaikan kos sara hidup.
Kita harus berhati-hati kerana negara kita sedang mengikuti jejak langkah negara jiran di selatan itu. Matlamat Modal Ekonomi Baru adalah untuk menggandakan KDNK per kapita daripada USD7,000 kepada USD15,000. Untuk mencapai matlamat itu, pelbagai projek dicanangkan di bawah naungan Program Transformasi Ekonomi yang dikatakan sudah berjaya menerima pelaburan berjumlah lebih daripada seratus bilion ringgit dengan kewujudan hampir 300,000 peluang pekerjaan.
Namun rakyat ingin bertanya, kepada siapakah perginya pelaburan itu dan adakah peluang pekerjaan itu akan menjana pendapatan yang lebih tinggi untuk rakyat jelata? Unjuran pertumbuhan ekonomi hanyalah angka kosong jika ia tidak berjaya mengurangkan jurang pendapatan dan memastikan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar ini, solidariti ekonomi menjadi penawar.