Education

Pengalaman graduan tempatan di negara asing

By Kit

November 07, 2011

Wong Tan Kim The Malaysian Insider Nov 07, 2011

7 NOV — Sedang saya duduk berehat di sebuah hotel di kota Shenzhen, China teringin saya untuk menulis untuk bacaan The Malaysian Insider akan kehidupan seorang graduan tempatan di negara asing.

Saya dihantar oleh majikan saya di Malaysia untuk bertugas di kota Shenzhen. Setelah beberapa tahun berulang-alik di antara Malaysia (Johor Baru), Singapura, Hong Kong, Shenzhen dan Guangdong, saya dapati ada sesuatu yang tidak betul dengan sistem pelajaran di negara kita.

Saya seorang graduan lepasan UKM dalam tahun 80an. Saya mengikuti sepenuhnya dunia pendidikan saya di dalam Bahasa Malaysia. Saya mengikuti kuliah yang dikendalikan oleh profesor seperti Dr Shamsul Amri Baharuddin, Dr Sanusi Osman, Allahyarham Rustam Sani, Dr Noraini Othman, Dr Ting Chew Peh dan ramai lagi pensyarah yang saya sudah lupa namanya.

Saya seorang bangsa Cina yang tidak boleh membaca tulisan Cina dan menulis tulisan Cina. Saya hanya boleh bertutur Bahasa Mandarin yang ringkas. Dengan latarbelakang yang sedemikian, boleh bayangkan cabaran saya di negara China. Saya melihat saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan bukan warga China walaupun nenek-moyang saya berasal dari China.

Saya mengikuti perkembangan semasa negara kita melalui The Malaysian Insider, Malaysiakini dan beberapa akhbar bahasa Inggeris secara “online”.

Ketika ini isu PPSMI hangat diperbahaskan. Golongan nasionalis Melayu tidak dapat duduk senang dengan kelangsungan dasar PPSMI manakala penyokong PPSMI ingin terus diadakan sampai hari kiamat. Tidak ada titik pertemuan yang disenangi oleh semua pihak. Dr Mahathir selaku pelopor PPSMI pula mencadangan referendum untuk menentukan nasib PPSMI. Tidak keterlaluan kalau dikatakan PPSMI secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Bukanlah hasrat saya untuk memperkecilkan kewibawaan BM. BM hanya dapat digunakan di Malaysia sahaja.

Pada hakikatnya, BM tidak pernah digunapakai di dalam arena antarabangsa. Segala urusan hanya diuruskan di dalam Bahasa Inggeris.

Perbincangan, perbualan dengan rakan seperniagaan dan konvensyen hanya dikendalikan di dalam Bahasa Inggeris. Kita berdepan dengan sekumpulan delegasi yang datang dari seluruh dunia. Apakah kita ada pilihan lain jikalau bukan Bahasa Inggeris. Setelah hampir 20 tahun saya meninggalkan UKM, tidak ada satu surat pun yang pernah saya baca ataupun tulis di dalam BM. Adalah sangat sedih apabila saya melihat bila ada usaha untuk mempertingkatkan Bahasa Inggeris, ianya ditentang sebegitu rupa.

Bagaimana kita hendak bersaing di pentas antarabangsa jika rakyat kita tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dan bukan sekadar mendapat P7 diperingkat SPM dan terus ke Tingkatan Enam.

Penutur BM dianggarkan cuma berjumlah 25 juta orang. Ianya tidak akan memberikan sebarang impak ke atas sosio-ekonomi dunia. Oleh kerana faktor politik kenegaraan, saya faham dengan langkah kerajaan Malaysia untuk memartabatkan BM jikalau tidak identiti Melayu akan hilang dan ditelan zaman.

Kerajaan Malaysia menutup semua sekolah aliran Bahasa Inggeris dan digantikan dengan sekolah aliran BM untuk semua subjek kecuali Bahasa Inggeris dalam tahun 70an ternyata bukan satu polisi yang menafaatkan. Akibatnya, penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar jatuh mendadak. Impian pengubal polisi ketika itu yang menjangkakan BM dapat menggantikan Bahasa Inggeris ternyata tidak tercapai.

Apakah tidak mungkin sistem aliran Bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah diperkenalkan semula?

Nasionalis Melayu tidak harus melenting dengan saranan ini. Orang Melayu Islam akan tetap orang Melayu Islam tidak kira bahasa apa yang dipelajari.

Zaman kolonial sudah lama berlalu. Falsafah hegemony sudah lupus. Janganlah berasa malu untuk menerima Bahasa Inggeris untuk masa depan dan kemakmuran yang akan datang.

Intergrasi nasional bukan hanya terletak semata-mata ke atas bahasa kebangsaan. Saya pernah terbaca pengkritik bangsa Melayu yang mengkritik orang bukan-Melayu masih tidak fasih berbahasa Melayu setelah 54 tahun negara merdeka!. Tetapi adakah golongan ini merupakan golongan yang akan mengancam ketenteraman negara?

Bukankah kita juga mengetahui di mana perang saudara juga meletus di kalangan mereka yang sebangsa dan menutur bahasa ibunda yang sama?

Arus perkembangan globalisasi yang berlaku menuntut kita untuk berubah. Kita harus menerima hakikat bahawasanya — dunia sains dan teknologi adalah “milik” Bahasa Inggeris.

Demi “survival” kita, anak-anak muda kita harus dilengkapkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Bagi saya penguasaan Bahasa Inggeris tidak akan mencukupi dengan PPSMI. Subjek-subjek lain perlu juga diperkenalkan dalam Bahasa Inggeris supaya suasana pembelajaran Bahasa Inggeris itu lebih menarik.