— Aspan Alias
The Malaysian Insider
Aug 26, 2011
26 OGOS — Jika kita timbang-timbang saudara harus percaya bahawa Najib Razak merupakan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional yang paling banyak masalah yang kian hari kian bertambah tanpa sedikit pun tanda-tanda ia akan berkurangan.
Oleh kerana terlalu banyak masalah yang di hadapinya tanpa sebarang penyelesaiannya maka Najib tiada pilihan selain dari mengakui bahawa beliau sedang menghadapi krisis kepimpinan yang amat serius dalam sejarah kepimpinan negara kita sejak merdeka.
Sesungguhnya Najib tidak sepatutnya menghadapi masalah ini kerana beliau mempunyai Ahli Majlis Teringgi Umno yang sepatutnya membantu beliau. Dalam keadaan sekaranglah sepatutnya mereka-mereka yang ada di dalam Majlis Tertinggi Umno serta Ahli-Ahli Jemaah Kabinet mereka bersama-sama memikul tanggungjawab dalam erti kata “tanggungjawab bersama”.
Begitulah masalahnya di dalam Umno kerana hanya Perdana Menteri akan menerima kredit atau bertanggungjawab bersendirian jika masalah melanda. Dalam keadaan sekarang nampaknya tidak ada yang bersama-sama memberikan dukongan kepada Perdana Menteri yang telah melantik beliau ke dalam Kabinet serta menjadi “team” beliau di dalam Majlis Tertinggi parti.
Tanggungjawab bersama di dalam Umno itu sudah hilang sejak beberapa lama dahulu dan dalam sudut hakikatnya mereka-mereka yang ada di dalam Kabinet serta Majlis Tertinggi parti sekarang ini adalah “as good as non-existent” dan kehadziran mereka tidak menambah dan menokok kepada kredibiliti kepimpinan Najib.
Masing-masing hanya sibuk berpolitiking untuk kepentingan mereka sahaja dan tidak boleh membantu Najib dalam usaha untuk memulihkan persepsi yang buruk terhadap kepimpinan beliau di pandangan rakyat dan masyarakat antarabangsa.
Masalah dan isu terhadap Umno serta BN datang bertubi tubi dan bertalu-talu dan semua isu ini melibatkan rakyat ramai yang merasakan pahit maungnya menghadapi isu-isu yang susah untuk di sangkal ini.
Cuba kita imbas sebahagian kecil dari masalah yang di hadapi oleh Najib yang di biarkan oleh jemaah kepimpinan kerajaan dan parti.
Kita sebut dahulu tentang masalah dalam parti yang beliau pimpin. “Warlords” di dalam Umno merupakan masalah besar yang Najib hadapi. Di kalangan kepimpinan Umno sendiri sedang menunjukan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinannya. “Warlords” dalam Umno merungut kerana mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk melakukan sesuatu yang berkesan untuk mempertahankan Umno.
Umno memang satu parti yang tidak boleh bergerak tanpa wang ringgit. Ramai yang berjumpa dengan saya mengadu yang mereka tidak mempunyai wang dan tidak mendapat kontrak untuk membantu sumber kewangan untuk bergerak.
Mereka tidak berpuas hati kerana mereka di suruh bekerja tetapi tidak mendapat bantuan kewangan melalui kontrak-kontrak besar dan kecil kerana semua peluang perniagaan itu hanya diperolehi oleh orang yang tidak pernah merasa kesusahan menjaga parti.
Mereka hanyalah kroni kepada pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa dalam pembahagian habuan dari kementerian dan premis-premis mereka sendiri.
Di antara pemimpin Umno sendiri mengakui dan mengkritik Najib di belakang kerana tidak mempunyai kemampuan membuat keputusan secara tegas terhadap isu rasuah yang merupakan isu yang terbesar yang dikaitkan dengan Umno ini.
Dahulu sifat “flip-flop” ini hanya branding yang diberikan kepada Abdullah Ahmad Badawi sekarang ini isu “flip-flop” telah berpindah kepada Najib dan branding ini nampaknya terus sahaja sesuai dan serasi untuk memberikan gambaran sebenarnya terhadap kepimpinan beliau.
“Flip-flop” yang dikaitkan terhadap Najib ini ialah terhadap isu transformasi pembangunan yang tidak di lakukan secara konsisten dan yang akhirnya akan tinggal perancangan tanpa perlaksanaan yang “organic” yang mampu menambah keyakinan terhadap kepimpinan beliau.
Isu pembelian kapal selam scorpene sebenarnya banyak perbincangan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno sendiri. Mereka (pemimpin Umno) sendiri percaya yang kes pembelian kapal selam ini ada berlaku “hanky-panky” yang besar dan Najib adalah orang yang bertanggungjawab dengan pembelian ini serta urusan-urusan sampingan yang menjadi isu sekarang ini.
Dalam dunia sekarang ini apa sahaja yang kita lakukan akan diketahui umum dengan mudah. Begitu jugalah dalam kes pembelian kapal selam ini. Orang bercakap dan yang bercakap itu adalah dikalangan pemimpin dan ahli-ahli Umno sendiri.
Sementalahannya berlaku pula pembunuhan terhadap seorang gadis Mongolia beberapa ketika dahulu yang mempunyai hubungan rapat dengan kes pembelian kapal selam ini. Ini semua merupakan persepsi yang amat buruk untuk seorang pemimpin negara dan ianya menjejaskan kredibiliti Najib secara peribadi sebagai seorang Perdana Menteri.
Oleh kerana persepsi ramai sudah begitu rendah maka tidak hairan bilamana kita mendengar individu-individu yang terkenal bersama kerajaan pun memberikan pandangan peribadi mereka secara terbuka tanpa segan dan silu. Yang terakhir ialah pandangan Mufti Perak Harussani Zakaria yang memberikan pandangan yang Najib mempunyai kepimpinan yang lemah.
Kita tahu yang Mufti itu bukan seorang ahli politik tetapi apabila beliau sendiri boleh menyatakan pandangan secara terbuka yang BN di bawah Najib itu adalah lemah maka ianya memberikan bayangan itulah pandangan sebenar rakyat di bawah yang akan membuat keputusan di dalam pilihanraya yang akan datang ini.
Terdapat pandangan yang menzahirkan keraguan tentang isu-isu yang ada datang dari pemimpin dalam pentadbiran Najib sendiri seperti pandangan seorang Timbalan Menteri Saifuddin Abdullah tentang cara Najib mengendalikan isu Bersih dan beberapa isu lain.
Tanggungjawab bersama nampaknya tidak dipakai oleh barisan kepimpinan Najib kerana seperti yang saya sebutkan tadi mereka hanya bertindak untuk menyelamatkan diri mereka sahaja. Malahan ada nampak sedikit sebanyak kecenderungan yang ada pihak di kalangan pimpinan Umno yang mahu menyingkirkan Najib dan memberi laluan kepada pemimpin lain dalam Majlis Tertinggi itu.
Mahu tidak mahu setiap di kalangan pemimpin dalam Majlis Tertinggi parti menerima kesalahan secara bersama dan bertanggungjawab bersama kerana mereka adalah dalam barisan jemaah kepimpinan Najib.
Apabila Najib menghadapi situasi sebegini maka ialah melibatkan keruntuhan keyakinan kepada parti secara total sedangkan Umno adalah tunjang kepada BN keseluruhannya. Dalam hal ini tidak pula kita tahu samada belasan parti-parti yang ada di dalam BN masih berkeyakinan untuk Umno menunjangi kepimpinan BN itu sendiri. Jika Umno manghadapi masalah ianya akan berkait-kait dengan seluruh kepimpinan dalam BN itu sendiri.
Ramai rakyat kesal dengan Umno kerana pimpinan mengambil sambil lewa tentang kelemahan kepimpinan sejak hampir tiga dekad dahulu kerana parti dan pemimpinnya terlalu sibuk dengan politik peribadi dan tidak mempunyai “connectivity” dengan rakyat secara serius. Umno lalai di dalam pemilihan pemimpinnya.
Apabila orang seperti kami menentang beberapa tindakan yang dilakukan kami dipertikai dan dimaki hamun seolah-olah kami hendak memecah belahkan parti. Sudah menjadi tabii yang kekal di dalam Umno untuk mengenepikan pemimpin yang serius dan berkemampuan dalam parti maka sekarang Umno mesti menerima hakikat ini secara bertanggungjawab.
Umno selalu membuat kerenah yang membuatkan rakyat tidak berminat lagi untuk menyertainya dan bergiat aktif kerana budaya membunuh karaktor yang tidak berkesudahan di dalam parti itu.
Parti pembangkang akan di persalahkan secara natural sedangkan kelemahan yang dihadapi oleh Umno itu adalah kesalahan diri mereka sendiri. Umno itu Umno. Begitulah mereka hendak menyelesaikan masalah mereka… iaitu memaki hamun dan menyalahkan parti-parti pembangkang dan siapa sahaja yang kritikal terhadap mereka. Bercakap benar merupakan kesalahan yang sangat besar di dalam Umno…lebih besar kesalahan dari mencerca agama suci kita.
Ada beberapa sahabat saya dalam kepimpinan Umno berkata “Umno ni bodohnya tidak boleh diajar, cerdiknya tidak boleh nak diikut. Nasib sabut timbul, nasib batu tenggelam. Hanya berdoa sahajalah! Tidak boleh nak buat apa-apa lagi”.
Kalau di kalangan pemimpin Umno bercakap seperti ini, bagai mana rakyat hendak meletakan kepercayaan kepada Umno lagi?
Jika Umno sudah tidak laku lagi saya juga hendak melihat bagaimana keadaan penyokong-penyokong Umno diluar ini yang telah memBABIkan dan mengANJINGkan orang lain hendak meletakan muka mereka selepas ini?
Saya selalu mengingatkan mereka ini, jika marah jangan habiskan marah itu supaya senang hendak berbaik kembali, jika sayang dan menyokong jangan sokong membabi buta supaya kita tidak merasa malu di atas perbuatan cemar yang pernah kita lakukan dan noda politik yang dilakukan oleh pimpinan kita..
Dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada sahabat yang kekal. Ingat tu!! “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Itulah perbilangan orang tua-tua dahulu.
Satu lagi buat peringatan semua, “terlajak perhu boleh berpatah balek, terlajak kata emas padahnya”. Semua perbilangan ini boleh diambil sebagai nasihat dan peringatan kepada kita yang selalu terlajak dan tersasar dengan kata-kata. — aspanaliasnet.blogspot.com