By Aspan Alias June 20, 2011 | The Malaysian Insider
20 JUN — Pihak parti-parti dan kerajaan yang memerintah usaha mereka ialah untuk menggagalkan niat Bersih untuk mengadakan rally besar-besaran pada 9 Julai nanti. Semua pihak tahu lebih-lebih lagi pihak pemerintah dan parti-parti yang berkuasa bahawa rally anjuran Bersih ini pasti akan mendapat sambutan yang ramai, malahan dijangkakan lebih besar dari yang dianjurkan pada 2007 yang lalu.
Inilah yang sangat ditakuti oleh Umno terutamanya kerana Umno tahu jika rally ini berlaku kali ini, ianya akan membawa kemenangan tambahan kepada Bersih seperti yang dialaminya pada 2007 yang lalu. Sebagai pihak yang memerintah memanglah mereka tidak mahu melihat Bersih mengulangi kejayaan itu lagi kerana pilihanraya umum ke13 akan diadakan tidak lama lagi.
Kalau kita kaji dengan teliti pihak yang bersama pemerintah pada hari ini terlalu defensif dan banyak kenyataan-kenyataan yang didengar dari pemimpin kerajaan membayangkan rasa takut dan gementar itu dengan melayangkan tuduhan-tuduhan yang tidak releven kepada penganjur rally ini.
Sesungguhnya BN terlalu tertekan dengan gerakan yang dilakukan rakyat dan baru sekarang ini BN merasakan yang kelalaian mereka selama ini akhirnya membawa mereka kepada situasi terdesak untuk mengekalkan pengaruh di kalangan rakyat.
Sekarang mereka harus sedar yang kuasa yang mereka dapati dari rakyat selama ini tidak begitu “legitimate”. Mereka hanya mampu bertahan selama rakyat belum menyedari apa yang kita lakukan itu.
Apabila rakyat mulai sedar baru lah kita tahu yang rakyat sudah menyedari yang pilihanraya selama ini merupakan pilihanraya yang berat sebelah. Rakyat sudah menyedari yang kedua belah pihak yang bertanding di dalam pilihanraya mesti diberikan peluang yang sama-rata di media perdana bagi rakyat menentukan pihak mana yang layak di berikan mandat.
Rakyat mulai sedar yang ada calun yang memerintah memenangi pilihanraya kerana undi pos yang diwas-waskan kebersihannya. Najib Razak pernah memang dengan hanya 241 undi apabila datang undi pos yang datang entah dari mana di saat-saat akhir pengiraannya.
Jika sebenarnya Bersih ini tidak membawa apa-apa pengaruh kepada keadaan di dalam pilihanraya nanti masakan ianya menjadi isu yang begitu besar kepada pihak yang sedang memerintah. Kenapa ada ugutan akan ada pertumpahan darah dan sebagainya. Kenapa tidak dibiarkan sahaja mereka berarak secara aman untuk menunjukan manifestasi mereka?
Ini tidak. Apabila perarakan berlaku secara aman pihak penguatkuasa pula yang cuba memecahkan perarakan itu dengan menahan perarakan itu di atas nama menjaga keselamatan. Ada tanda-tanda di antara mereka yang berarak itu adalah orang yang memerintah dan memulakan kekasaran dan mengalihkan kesalahan kepada kumpulan yang berarak secara aman itu.
Segala usaha dilakukan untuk menunjukan yang kekasaran itu datangnya dari pihak yang merancang rally secara aman itu.
Lagi kuat usaha dilakukan untuk menggagalkan perarakan ini lagi jelas bukti yang kerajaan yakin rakyat sebenarnya memberikan sokongan kepada perarakan secara aman ini. Pengaruh kita bukan boleh ditambah dengan menyekat orang ramai untuk datang ber rally itu. Sokongan letaknya di dalam sanubari dan pemikiran. Polis dan penguatkuasa tidak mampu untuk menahan pemikiran dan persepsi orang ramai.
Apabila Bersih merancang rally ini ada pula Pak Menteri yang menuduh godaman terhadap siber terhadap laman web kerajaan. Lemah sendiri tuduh orang lain melakukan godaman itu. Tuduhan melulu Pak Menteri ini sendiri menunjukan yang pihak mereka yang sedang berkuasa menunjukan gementar mereka dan mengakui Bersih bakal mendapat sokongan ramai dan sekali gus menambah pengaruh kumpulan Bersih ini di sisi rakyat. Bersih tetap telah berjaya mempengaruhi psikologi rakyat ramai.
Perkasa juga ingin menunjukan yang mereka juga berpengaruh dan berdemonstrasi ini bukan sahaja hak Bersih tetapi juga hak mereka. Kita terima alasan itu. Tetapi kenapa pula Perkasa juga memilih hari yang sama untuk mengadakan demonstrasi itu, Kenapa tidak buat dihari yang lain dan tunjukan yang Perkasa juga merupakan bada NGO yang sangat berpengaruh serta mampun untuk menyaingi Bersih dengan mengeluarkan 300 ribu rakyat di hadapan mata orang ramai. Bukankah dengan mengadakan di hari yang sama itu bertujuan untuk bertembung dan mencari pergaduhan?
Pemuda Umno juga akan mengadakan rally yang sama dengan tujuan dan isu yang sama dengan Bersih. Jika isunya sama kenapa tidak bersama Bersih dan mengadakan rally bersama NGO itu? Diharap Khairy Jamaluddin sebagai pemimpin muda yang mempunyai kemampuan pemikiran akan melakukan tindakan yang terbaik.
Apa pun setengah pihak bercakap tentang Khairy saya tetap mempunyai harapan yang tinggi kepada Ketua Pemuda ini untuk menunjukan kualiti kepimpinan yang berbeza dengan kebanyakan kepimpinan yang ada dalam barisan kepimpinan tertinggi Umno itu.
Jika Umno betul-betul serius saya harapkan semua kepimpinan Umno akan memberikan sokongan terhadap tindakan Pemuda pimpinan Khairy ini. Jika Umno mahukan imej yang bersatu di mata rakyat apa yang dilakukan oleh Khairy wajar mendapat sokongan dalam usahanya untuk membuahkan persepsi yang pilihanraya di negara ini dilaksanakan dengan bersih dan terhindar dari permainan kotor pihak yang sedang berkuasa.
Walau bagaimana pun kita lihat perkembangan dari masa ke semasa. Kita hanya ingin melihat rakyat dibenarkan melakukan rally secara aman dan pihak berkuasa menjaga rally itu dengan baik dan tidak memporak perandakan rally itu semata-mata bertujuan untuk menunjukan kesalahan kepada pengajuran oleh Bersih dan Pemuda Umno itu.
Jangan pula menyelitkan pihak tertentu untuk melakukan pergaduhan dan dengan senang mengarahkan kesalahan itu kepada Bersih.
* aspanaliasnet.blogspot.com