Oleh Syed Mu’az Syed Putra June 17, 2011 | The Malaysian Insider
KUALA LUMPUR, 17 Jun — Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir mendakwa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bertentangan dengan nilai dan etika Islam.
Selain itu menurut beliau, perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merupakan satu helah untuk mengheret rakyat ke dalam kancah politik yang lebih besar. “Usaha itu merupakan percubaan pemimpin tersebut untuk menguji pengaruh, dan kerana itu sanggup menipu lebih ramai rakyat kononnya, sistem yang pernah memberikan kemenangan kepadanya dulu dan sedikit peluang berkuasa sebagai tidak boleh dipertahankan, ia perlu dirombak dan diberikan jaminan baru sesuai dengan keperluan mereka.
“Pemimpin sedemikian merupakan orang yang tidak mempunyai jiwa perjuangan yang besar, mereka berminat mengadakan rusuhan kerana mempunyai agenda politik yang lebih besar,” katanya dalam satu tulisan disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini.
Aziz Jamaluddin juga menyifatkan penganjuran Himpunan Bersih 2.0 yang turut disertai Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sebagai satu bentuk anarkisme yang berlaku kali kedua dalam negara selepas 2007.
“Wujud pendapat umum seolah-olah merusuh di jalan raya bagi membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai sesuatu perkara sebagai natijah daripada prinsip demokrasi.
“Maka, usaha Bersih untuk menganjurkan perhimpunan jalanan pada 9 Julai ini seharusnya dilihat sebagai suatu bentuk anarkisme yang kembali ingin dibudayakan dalam masyarakat Malaysia,” katanya.
Himpunan Bersih kali pertama diadakan pada 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya menawan lima buah negeri dan memenangi 82 kerusi Parlimen.
Menurut beliau, dalam Islam perjuangan yang bersifat anarkisme tidak sesuai dengan tuntutan agama malah diharamkan kerana boleh memudaratkan termasuk dari aspek fizikal dan psikologi.
“Dengan berbuat demikian, perjalanan urusan harian di kawasan terbabit akan terganggu manakala rempuhan orang ramai akan menyebabkan terhentinya kegiatan ekonomi.
“Apa yang akan berlaku ini pada hakikatnya adalah satu musibah dan ini akan menimpa siapa sahaja. Bagi merungkaikan kekusutan yang berlaku dalam masyarakat ini, Islam mencadangkan agar setiap daripada kita mengamalkan rasa keinsanan yang tinggi, iaitu kembali berdoa kepada Allah SWT.
“Jangan sekali-kali kita pisahkan doa dengan persatuan dan kerja keras, kerana hal itu hanya akan membuat doa kita sia-sia. Dari keadaan inilah semakin terasa betapa pentingnya manfaat doa atau berdoa bagi kita,” kata Aziz Jamaluddin.
Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan serentak pada 9 Julai.
Justeru tegas Aziz Jamaluddin, rakyat harus menolak daripada menyertai perhimpunan itu kerana ia akan menimbulkan lebih banyak keburukan dan konflik.
“Jika ada pemimpin yang ditangkap atas tuduhan merancang dan mengetuai rusuhan, namanya akan menjadi lebih besar walaupun imej tersebut sebenarnya dicipta dalam semangat anarkisme dan bertentangan dengan sifat-sifat keinsanan yang dibentuk oleh Islam melalui perantaraan kemurnian akhlak.
“Jadi rakyat bukan sahaja tidak sepatutnya menyokong anarkisme yang ingin dibawa oleh pemimpin tersebut,” katanya.
Langkah Bersih mengadakan perhimpunan itu mendapat respon negatif daripada NGO dan juga pimpinan Barisan Nasional (BN).
Terbarum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perhimpunan itu akan memberi kesan negatif kepada negara dan menyekat pembangunan ekonomi.
Selain itu, beliau juga berkata perhimpunan itu tidak menggambarkan prinsip demokrasi selain tidak mewakili keseluruhan rakyat.