Media

“Jika Utusan fitnah kamu, maka kamu patut diam saja”

By Kit

June 12, 2011

Komentar Roketkini 12 June 2011 | Roketkini

12 JUN – Mungkin mengajar ketam berjalan betul lebih mudah daripada memujuk Utusan Malaysia supaya menghentikan perbuatan keji dan terkutuk memfitnah DAP dan Pakatan Rakyat.

Sidang pengarang Utusan atas nama Awang Selamat kini membawa satu lagi ajaran fitnah – jika Utusan fitnah DAP kamu, maka kamu patut diam saja.

Utusan telah menuduh DAP terlibat dalam isu pemilihan khariah masjid di Pulau Pinang, dan walau pun laporan itu bohong dan palsu, Utusan mahu DAP duduk diam dan terima sahaja fitnah kejam itu.

“Usahlah melatah”

Dan “usahlah melatah”, tajuk kolum Awang yang mengkhiri pojok pendek Mingguan Malaysia hari ini dengan ayat “Jika DAP tidak sedikitpun terlibat, diam sahaja. Janganlah wujudkan persepsi siapa makan cili, dia terasa pedas”.

Fitnah sedemikian kini sudah menjadi darah daging Utusan – walau pun akhbar itu adalah nadi perjuangan kemerdekaan negara pada suatu masa dahulu – yang disifatkan oleh bekas Ketua Pengarangnya Said Zahari sebagai suara perkauman yang sempit.

Modus operandi Utusan mudah saja. Mula-mula cipta fitnah, contohnya, membuat pembohongan bahawa “keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya bagi jawatan kuasa masjid di negeri itu” dan kemudian cari pemimpin-pemimpin UMNO dan yang bersekongkol dengan mereka untuk “mencetuskan bantahan daripada pelbagai pihak”.

Selepas itu, dibuat rumusan palsu bahawa “perkembangan tersebut dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian. Ramai orang Islam di Pulau Pinang resah”.

Dengan susunan propaganda palsu sedemikian, jelas Utusan untuk kesekian kalinya menabur fitnah untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu. Utusan tidak sedikit pun menyentuh tentang keputusan pemilihan khariah masjid itu adalah 100 peratus usaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di mana tidak ada seorang wakil dari DAP pun yang duduk dalam majlis itu.

Walau pun semua media arus perdana di Malaysia berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional, Utusanlah yang paling kerap mengada-adakan yang tiada, menyembunyikan kebenaran dan memutarbelitkan fakta.

Apabila Awang menulis “Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, Abdul Malik Kassim dari PKR mengesahkan hal tersebut”, ia cuba memberi gambaran bahawa exco kerajaan negeri Pulau Pinang yang beragama Islam itu telah mengakui kononnya DAP yang membuat keputusan itu.

Sedangkan apa yang disahkan oleh Abdul Malik ialah MAINPP yang meluluskan usaha untuk mengadakan pemilihan khariah mengikut undang-undang yang ada, bagi menggantikan sistem perlantikan, untuk memberi hak kepada ahli-ahli khariah memilih sendiri calon-calon jawatankuasa khariah masjid mereka.

Tidak ada sepatah perkataan pun daripada Abdul Malik yang mengakui DAP terlibat dalam hal-ehwal pentadbiran Islam itu. Tapi Utusan tidak peduli itu semua. Cereka ciptaannya lebih penting dari yang benar dan yang hak.

Apabila ADUN Komtar, Ng Wei Aik membuat laporan polis terhadap laporan palsu Utusan itu, Awang menulis “Awang hairan mengapa Wei Aik perlu melatah”.

Rakyat Malaysia juga hairan mengapa Awang dan Utusan tidak serik-serik membuat fitnah semata-mata kerana mahu menjadi juara perkauman sempit. Rakyat hairan mengapa Awang tidak rasa berdosa berbuat fitnah.

Rakyat juga hairan bagaimana pemerintahan 1Malaysia boleh membenarkan sebuah akhbar menyebarkan fitnah setiap hari sedangkang hak rakyat untuk berhimpun secara aman, sebagaimana yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan, diancam dengan ugutan oleh kerajaan.

“Bersih atau kotor”

Awang pun turut tumpang sekaki mengutuk hak rakyat untuk berkumpul secara aman dalam pojoknya “Bersih atau kotor” dengan mempertahankan hak-hak pelancong, jalan raya yang sesak dan ketenteraman awam yang sentiasa tergugat oleh fitnah-fitnah Utusan.

Dengan menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai depan sebagai :kotor”, Awang mahu perhimpunan aman itu yang mahu menuntut proses pilihan raya yang adil, bersih dan telus, disekat oleh pihak berkuasa.

Yang peliknya, Awang yang tidak mahu perhimpunan aman itu dibenarkan, telah mencadangkan supaya orang-orang yang bersetuju dengan pandangan Utusan supaya menyertai perhimpunan itu dengan membawa sepanduk “skandal” pemimpin pembangkang.

Malah Awang mengajar mereka cara membawa sepanduk itu dengan “paparkan juga keratan akhbar beberapa individu yang menjadi mangsa liwat”. Siapa yang menjadi mangsa liwat siapa? Sudahkah mahkamah membuat keputusan? Di mana keadilan – sama ada mengikut undang-undang sivil atau Islam – jika orang yang dituduh atau dibicarakan telah dijatuhkan hukuman oleh orang yang bukan hakim atau mahkamah?

Inilah perangai manusia yang berselindung di belakang dan menyuruh orang lain membuat kerja kotor untuk dirinya. Setidak-tidaknya para pemimpin Pakatan Rakyat lebih jujur dan berani. Pemimpin-pemimpin Pakatan yang menggalakkan ahli dan penyokong mereka menyertai Bersih 2.0 sudah berjanji untuk sama-sama turun padang menyertai perhimpunan.

Siapa terdesak, siapa terasa pedas

Betapa terdesaknya golongan perkauman sempit ini. PAS yang dipujuk supaya bersama dengan UMNO, telah menolaknya. Ini menyebabkan UMNO dan Utusan terpaksa kembali menyerang PAS. Dan dengan ini, hancur usaha UMNO untuk melemahkan PAS dalam Pakatan.

UMNO juga terpaksa meningkatkan usaha keji meneruskan fitnah terhadap DAP. Mengikut perkiraan UMNO dan Utusan, jika orang Melayu sudah tidak takut atau tidak benci dengan DAP, maka orang Melayu akan selesa dengan kerjasama DAP, PAS dan PKR. Dengan itu, orang Melayu tidak akan berasa was-was untuk mengundi salah satu daripada parti komponen Pakatan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Serangan terhadap PKR pula ditujukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan fitnah yang sentiasa ditambah-tambah, bukan sahaja untuk melahirkan rasa curiga di kalangan ahli-ahli PKR dan Pakatan tetapi juga rakyat Malaysia amnya. Namun rakyat sekarang bagai jauhari mengenal manikam.

Sehinggakan Awang dan Utusan cuba menyamakan keadaan di mana pemimpin politik luar negara yang terlibat dalam skandal telah meletakkan jawatan, maksudnya menyuruh Anwar letak jawatan walau pun tidak terbukti apa kesalahan Ketua Umum PKR itu.

Sedangkan boleh dikira dengan jari pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang telah meletak jawatan kerana pelbagai skandal termasuk skandal seks, penyelewengan, rasuah dan bermacam rompakan terhadap harta dan hak rakyat.

Tak cukup dengan itu, Awang menuduh “Anwar masih menegakkan benang basah meskipun bukti saintifik cukup kukuh”. Tak sangka sama sekali kepakaran Awang lebih hebat, jauh menandingi hakim-hakim yang bijaksana di negara ini. Kes belum selesai, Awang sudah pun menjatuhkan hukuman terhadap seorang insan yang belum dibuktikan bersalah atau tidak.

Siapa yang benar-benar terdesak? Siapa yang terasa pedas fitnah sekarang? – Roketkini.com