Perkauman sempit Utusan: Said Zahari


Oleh Amaluddin Zhafir
10 June 2011 | Roketkini.com

“Kenapa tidak? Kalau ramai orang Melayu dalam DAP, boleh jadi calon DAP, itu bermakna satu perkembangan dalam kesedaran politik orang Melayu.”

Kata-kata di atas dilontar penuh semangat oleh tokoh wartawan Said Zahari ketika saya bertandang ke rumahnya di Subang Jaya semalam (9 Jun).

Pertama kali ketika menjejak ke ‘kubu’ beliau – yang dipenuhi dengan ratusan buku di rak-rak – Said Zahari atau terkenal dengan panggilan Pak Said yang sudah berusia 83 tahun sedang merenung luar dari jendela biliknya.

“Awak ni siapa, dari mana ya?” soal beliau sebaik lamunannya diganggu saya.

“Saya Zhafir, yang telefon Pak Said pagi tadi.”

“Oh, oh. Ya, ya. Betul-betul. Pasal interview itu kan? Sorry lah, saya sekarang cepat lupa. Eh, awak duduk lah dulu. Sekejap ya,” katanya sambil cuba bangun mencapai tongkat empat kaki yang terletak di sebelahnya.

Beberapa jam sebelum melawat pejuang kebebasan akhbar ini, saya sudah diberi ‘amaran’ oleh pengarang supaya tidak terlalu agresif, jangan menyampuk dan jangan buat lawak-lawak bodoh dengan beliau.

‘Jangan’ itu perkataan yang menakutkan saya. Maklumlah dalam usia pertengahan 20-an dan baru beberapa bulan dalam dunia kewartawanan, saya cuba belajar apa yang perlu dalam masa yang singkat.

Bagaimanapun, Pak Said mempunyai kelembutan bahasa: lembut kata-katanya tetapi kuat semangatnya. Ini terjelas setiap kali perbualan menjurus kepada kebebasan kewartawanan dan politik yang berkaitan Melayu, yang mana beliau akan menumbuk angin.

Itulah Pak Said; tua padi menunduk, tua Pak Said ‘menumbuk.’

Apa salahnya Melayu masuk DAP?

Pak Said sedikit meninggikan suara bila saya ajukan soalan tentang kehadiran Melayu dalam DAP. Jelasnya, “Itu adalah kerana golongan ekstremis perkauman sempit, yang kononnya mahu pertahankan hak Melayu, keistimewaan Melayu dan semuanya Melayu, Melayu, Melayu saja.”

Bagi beliau, itu adalah satu mala petaka yang membawa kepada kemunduran politik dan kewartawanan Melayu.

“Tak patut asyik dengan Melayu, Melayu, Melayu sahaja, sepatutnya Melayu harus maju ke depan! Bukan balik kepada UMNO punya cara kepimpinan!” tegasnya, sekali lagi menumbuk angin.

Sangkaan saya, nasionalis-nasionalis Melayu kiri dahulu terbawa-bawa semangat Melayu itu walau pun selepas penubuhan Malaysia sehingga generasi terkemudian yang membabi-buta mengikut semangat keMelayuan sebelum Malaysia terbentuk, menjadi Melayu yang sempit akalnya dan lemah daya kritisnya.

Tetapi sebaliknya, tidak langsung ada sifat-sifat sebegitu dalam diri Pak Said. Melayu yang beliau maksudkan jauh luas maknanya.

Melalui perbualan kami, saya kemudian sedar bahawa Pak Said bukan lagi orang Melayu Malaya, tetapi Melayu Malaysia (walau pun masih kekal warganegara Singapura) yang mengutamakan kebebasan kepada rakyat, melalui medium kewartawanan yang terbuka.

“Kalau mereka kata kononnya DAP mempengaruhi Melayu, jadi ahli parti, calon dalam DAP, why not?! Apa salahnya? Itu tanda perubahan menunjukkan Melayu sudah berani,” bergegar tongkat yang dipegangnya itu.

Bulu roma saya meremang, kulit jadi makin hitam seperti dirasuk hantu rasanya, saya dengan kata-kata Pak Said itu.

Tambah Pak Said, “Maksudnya, bila ramai Melayu sertai DAP, jadi calon, kepimpinan Melayu akan lebih ramai. Dari segi pembangunan politik di negara ini, memang sepatutnya begitu!

“Tapi… aduh… sayang, sekarang ini sudah terbalik,” jelasnya sedikit tertunduk.

Bagaimanapun, dengan kemunculan Roketkini, beliau akui usaha laman web tersebut sebagai satu perkembangan yang bagus.

“Roketkini membawa satu kewartawanan Melayu ke hadapan lagi. Ya, memang bagus begitu,” jawabnya bila saya meminta pandangannya mengenai usaha DAP menarik Melayu dengan menubuhkan laman web berbahasa Malaysia.

Mengenai isu sensitif penubuhan negara Kristian oleh Utusan Malaysia baru-baru ini, Pak Said membandingkan Utusan Malaysia sekarang bagai langit dan bumi, berbanding sebelum mogok Utusan Melayu 1961 dahulu.

Mengakui beliau tidak terikut dengan polemik Utusan Malaysia tersebut, Pak Said menambah, tindakan Utusan Malaysia itu kononnya hendak menyatukan orang Melayu Islam.

“Memang ada ekstremis-ekstremis Melayu mahu memainkan isu-isu begitu untuk kepentingan mereka. Tetapi pada keseluruhannya, saya tak fikir begitu kerana orang Melayu pada saya sudah pergi jauh ke depan pemikirannya.”

Tambahnya, beliau sedikit kesal dengan masyarakat Melayu dewasa ini, kerana bagi Pak Said, Utusan Malaysia seharusnya memainkan peranan besar bagi mengembangkan kebebasan supaya betul-betul dapat mempertahankan kebebasan bersuara, kebebasan menulis, kebebasan berpolitik yang demokratik.

“Sepatutnya begitu, tapi Utusan Malaysia berbalik kepada isu perkauman sempit lagi.”

Kebebasan akhbar
Kebebasan akhbar di Malaya dan Malaysia telah mati sejak mogok 1961. Keadaan tidak membenarkan suburnya semangat perjuangan wartawan. Kongkongan ini, menyebabkan wartawan hilang arah bila berkait dengan kebebasan akhbar, apa lagi orang ramai untuk memahaminya.

Sebagai wartawan yang kritis beliau melihat dan membaca kandungan-kandungan akhbar-akhbar, yang kesimpulannya menjelaskan beliau bahawa semua kandungannya mirip kepada dasar kerajaan dan parti yang berkuasa.

Jadi, menurut Pak Said, untuk memperkatakan tentang kebebasan akhbar ini agak susah, apatah lagi hendak memperjuangkannya.

“Awak pula macam mana? Macam mana nak memperjuangkan kebebasan akhbar? Dengan pelbagai akta-akta yang mengongkong, macam mana hendak sedarkan masyarakat?”

Lutut saya jadi longgar, pen yang dipegang hampir jatuh bila diasak soalan bertubi-tubi begitu oleh Pak Said – wartawan lantang yang kritis terhadap isu-isu semasa yang berkaitan rakyat itu.

“Err… Kita kena ubah kerajaan yang mengongkong kita?” jawab saya, gugup.

“Ya, ya. Maknanya keseluruhan sistem mesti diubah!” tegasnya jelas, kali ini dengan sedikit tercungap, langsung membawa kepada tamatnya perbualan kami pada petang itu.

Sebelum meninggalkan ‘kubu’ Pak Said, sebelum menarik pintu gelongsor, secara spontan saya bertanyakan jawapan yang saya sendiri sudah tahu, “Pak Said pernah terlibat dengan politik?”

“Saya wartawan, untuk rakyat. Ya, memang benar saya sertai Parti Rakyat Singapura dan dilantik sebagai ketua Parti Rakyat Singapura pada 1963 dulu.

“Tapi hanya untuk beberapa jam sahaja. Pukul 12 malam dilantik, pukul 4:30 pagi saya di tangkap. Saya cuma sempat jadi orang politik beberapa jam saja!” katanya ketawa.

(Apabila Said Zahari ke Singapura untuk mencari sokongan kepada mogok Utusan di Kuala Lumpur, kerajaan Tunku Abdul Rahman mengharamkan beliau masuk semula ke Malaya. Terjebak di Singapura, beliau dipujuk menyertai gerakan politik di sana sehingga ditangkap oleh regim Lee Kuan Yew pada 1963) – Roketkini.com

  1. #1 by boh-liao on Saturday, 11 June 2011 - 6:16 pm

    A bright spark, d 83-yr old
    Who r d ekstremis-ekstremis Melayu?

You must be logged in to post a comment.