Education

Laporan kajian tentang penyimpangan dan kelemahan buku teks sejarah

By Kit

May 28, 2011

CPIASIA | 27 May 2011

Urutan Power Point di bawah telah disediakan oleh Centre of Malaysian Chinese Studies (CMCS) dan Nanyang University Alumni Association of Malaya (NYUAA, Malaya) and dibentangkan kepada awam yang menghadiri upacara pelancaran kempen A Truly Malaysian History pada Mei 15 baru-baru ini.

Laporan CMCS dan NYUAA membuat ulasan bahawa skop sempit matapelajaran Sejarah tidak berupaya memupuk generasi muda yang “berpandangan global”. CMCS dan NYUAA menganggap (sila rujuk di sini nama ahli-ahli panel yang dipertugaskan Kementerian Pelajaran untuk mencatat sejarah rasmi negara) pengolahan rentetan peristiwa-peristiwa sejarah bagi sukatan pelajaran KBSM sebagai suatu pentafsiran yang berat sebelah.

Seterusnya siri buku teks Sejarah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tersebut juga mengandungi “penggunaan ayat yang menyinggung perasaan” kaum minorti.

Contohnya, buku-buku teks Tingkatan Tiga dan Lima karya Ramlah Adam et al sering menggunakan perkataan “golongan imigren” dan “pendatang” apabila merujuk kepada penghuni negara ini yang berbangsa India dan Cina. (Bagi pengetahuan umum, Ramlah adalah seorang ahli jawatankuasa pusat dalam gerakan Perkasa.)

Satu contoh lagi, para penulis buku Sejarah Tingkatan Tiga telah menyelitkan ayat berikut: “Eh, Encik Chan, nasib baik kamu masuk sekolah kebangsaan! Dapat kamu berkomunikasi dengan baik” (mukasurat 130) – yang membawa maksud tersirat budak-budak lepasan sekolah aliran bahasa ibunda tidak mampu berkomunikasi dengan baik.

Pemantauan CMCS dan NYUAA juga mendapati buku teks Sejarah Tingkatan Empat mempunyai “isi kandungan kurang seimbang and sejarah tamadun Islam terlalu panjang lebar”. Sekiranya dibandingkan dengan buku teks Sejarah terbitan tahun 1991 di mana sejumlah 30 halaman membincangkan tamadun Islam, buku teks terbitan 2002 pula memaparkan 115 halaman yang membincangkan tajuk berkenaan – suatu peningkatan fokus yang mendadak.

Di samping itu, kupasan yang dibuat tentang agama, adat resam dan budaya kaum Melayu dan penduduk pribumi Sabah dan Sarawak secara keseluruhan merangkumi empat bab dalam buku teks Sejarah Tingkatan Satu (2004). Namun tiada isi kandungan yang sejajar menyentuh kehidupan Orang Asli, kaum Cina dan kaum India di tanahair.

Buku teks Sejarah Tingkatan Dua (1996) ketika mengulas tentang pembangunan bandar Kuala Lumpur hanya menyatakan sumbangan Raja Abdullah manakala sumbangan Kapitan Cina Yap Ah Loy tidak disebut langsung. CMCS dan NYUAA membuat kesimpulan bahawa peranan tokoh-tokoh serta negarawan keturunan Cina tidak diberi penekanan yang sewajarnya.

Permasalahan buku teks sejarah peringkat sekolah menengah nampaknya timbul kerana penulisnya terlalu bersandarkan pendirian etnik dalam hujah-hujah mereka.

Maka disyorkan agar hanya fakta-fakta sejarah yang benar dan terbukti perlu dikemukakan kepada para penuntut dan bukannya pandangan peribadi penulis sepertimana yang dibayangkan dalam ayat berikut:

“Walau bagaimanapun, IMP (parti yang ditubuhkan Onn Jaafar setelah beliau meninggalkan Umno) gagal mendapat sambutan daripada kaum Cina, India dan kaum lain di Tanah Melayu. Ini kerana mereka tidak merasa bahawa mereka adalah sebagai satu bangsa Tanah Melayu. Rasa perpaduan terlalu asing bagi mereka.” (mukasurat 121, buku teks Tingkatan Lima)

Slides