Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin May 18, 2011 | The Malaysian Insider
Soalan: Dr Asri, semalam ada berita seorang telah terjatuh mati kerana lari dari intipan pihak pencegah maksiat sebuah jabatan agama. Bolehkah perkara macam ini berlaku. Bolehkah kita cegah maksiat sehingga menyebabkan orang mati? Minta tolonglah Dr Asri huraikan kes ini.
Kenali mangsa, KL.
Jawapan: Ya, saya berdukacita dengan berita kematian seorang individu kerana lari daripada intipan pihak pencegah maksiat yang cuba menangkapnya kerana khalwat. Kes ini bukan yang pertama. Sudah berapa banyak kes yang sama berlaku dalam negara kita. Walaupun sudah kritikan dibuat, tetapi hal ini tetap berulang. Apabila berita tersebar dalam media, ia telah memalukan keluarga mangsa, memberikan mesej yang salah mengenai Islam kepada bukan muslim dalam negara ini, yang sememangnya telah lama salah faham disebabkan tindakan masyarakat muslim itu sendiri. Di sini saya suka menyebut beberapa perkara secara umum mengenai kes-kes yang telah berlaku;
1. Mana-mana pihak tidak boleh menuduh mangsa atau terlibat sebagai berzina, kerana tuduhan zina memerlukan empat orang saksi yang lihat secara jelas berlakunya zina, bukan sekadar berdua-duanya, atau berpelukan atau seumpamanya. Jika tidak, penuduh di bawah hukum qazaf. Jika tiada bukti jelas, paling tinggi yang boleh dituduh berkhalwat, bukan berzina.
2. Islam tidak cenderung menghukum dan membongkar maksiat peribadi sekalipun pelakunya mengaku. Islam cenderung agar pelakunya bertaubat dan menutup keaiban dirinya. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.
3. Khalwat (bersendirian) dengan bukan mahram memang suatu kesalahan. Namun, ada beza antara mereka yang secara terang bermaksiat dengan yang cuba bersembunyi. Ini yang disebut oleh Rasulullah s.a.w: :”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ini kerana yang cuba sembunyikan dosa –sekali sedang maksiat- masih lagi mempunyai nilai malu dan menjaga maruah diri dan keluarganya.
4. Apa yang peliknya dalam negara kita, maksiat yang jelas, berpelukan lelaki dan perempuan dalam filem, atas pentas lakonan, pentas seni dibiarkan oleh pihak berkuasa pencegah maksiat, sehingga ada isteri orang besar pun yang memeluk artis luar negara di hadapan umum, dibiarkan, yang sembunyi dicari dan diburu.
5. Al-Quran melarang perbuatan mengintip bagi mencari maksiat peribadi yang bukan jenayah awam. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..” Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H telah menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini. Antaranya: wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya. Kata Ibn ‘Abbas: “Allah melarang orang mukmin daripada mencari keburukan-keburukan mukmin yang lain. Kata Mujahid: “Ambillah apa yang nyata, dan tinggalkan apa yang Allah tutup”. Kata Qatadah: Tahukah kamu apa itu tajassus? Iaitu kamu mencari-cari keaiban saudaramu untuk mengetahui rahsianya. Kata Ibn Zaid: “Tajassus itu kamu berkata: sehingga aku dapat lihat kesalahan itu, aku bertanya mengenainya untuk mengetahui adakah benar atau tidak”.( al-Tabari, Tafsir al-Tabari, tahzib: Dr Salah al-Khalidi, 7/40-41 Damsyik: Dar al-Qalam (1997)
6. Justeru itu, para ulama sejak dahulu telah melarang mengintip untuk mencegah maksiat. Hal ini telah saya sebut berulang kali. Sikap suka mengintip inilah juga yang mencetuskan kontraversi ‘video seks’ yang jika dibenarkan agar menjadi trend yang digunakan oleh pelbagai untuk menjatuh pihak yang lain. Hal ini telah ditegaskan oleh al-Imam al-Ghazali dalam Ihya ‘Ulum al-Din: “Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pasukan pencegah mungkar) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
7. Dr Yusuf al-Qaradawi membuat tegasan yang sama: “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
8. Maka, tindakan mana-mana pasukan pencegah maksiat peribadi seperti khalwat, minum arak dalam keadaan sembunyi sehingga menyebabkan kematian adalah satu dosa. Maka anggota operasi perlulah didakwa dan dibicara atas tuduhan menyebabkan kematian. Mereka ini telah menyebabkan mungkar yang lebih besar iaitu kematian kerana ingin mencegah kemungkaran kecil iaitu ‘khalwat’ dan menggunakan kaedah pencegahan yang dilarang oleh agama iaitu mengintip.