Oleh Afiq Mohd Noor | May 13, 2011
Free Malaysia Today
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni.
Saya pasti ramai di antara kita yang sering mendengar peruntukkan ini, bahkan Perkara 3 (1) seringkali dibaca bersama-sama dengan Perkara 11 berkenaan dengan kebebasan beragama.
Belum pun reda dengan kontroversi penggunaan nama Allah dan Al Kitab, baru–baru ini kita digemparkan sekali lagi dengan laporan separuh masak Utusan Malaysia tentang usaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi di Malaysia.
Maka seperti biasa, banyaklah kumpulan–kumpulan ultra-Melayu seperti Perkasa dan Pembela bangkit kononnya untuk memberi peringatan kepada saudara–saudara Muslim lain tentang ancaman terbaru yang boleh menggugat kedudukan Islam di Malaysia.
Sebagai seorang Muslim, semangat tidak kena tempat kumpulan–kumpulan ini sangat membimbangkan saya. Bahkan ianya boleh menjejaskan imej Islam itu sendiri.
Masakan tidak, kita lebih senang mengambil sikap menyalahkan unsur–unsur luaran daripada mencari kesilapan kita sendiri. Ambil sahaja isu Al Kitab, ramai yang berfikiran dangkal dan sempit kononya dengan terbit Al Kitab maka ramai remaja–remaja Muslim akan lebih mudah terpengaruh dengan ajaran Kristian.
Sedangkan realitinya, berapa ramai di kalangan Muslim yang mula membaca Al Quran dari umur tujuh tahun sehingga 67 tahun terpengaruh dan terkesan peribadi dan tingkah lakunya dengan kehebatan Al Quran?
Majlis Raja-Raja
Berdasarkan kaca mata undang-undang Perlembagaan, untuk membolehkan Kristian dijadikan sebagai agama Persekutuan, satu pindaan kepada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan harus dilaksanakan. Dan sudah pasti ia memerlukan 2/3 majoriti dan kebenaran daripada Majlis Raja–Raja sebagai penjaga dan ketua agama Islam.
Justeru saya kira, sekiranya mana–mana parti politik dipilih untuk menjadi kerajaan persekutuan dan ingin meminda peruntukan– peruntukan penting ini, mereka harus mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sepanjang lebih dari 50 tahun memerintah, peruntukan–peruntukan penting di dalam Perlembagaan Persekutuan telah beberapa kali dipinda oleh Barisan Nasional yang saya yakin cukup pakar dalam hal ini.
Pada tahun 1988, Perkara 121 yang memperuntukan bidang kuasa kehakiman telah dipinda dan dihakis sehingga kini, bidang kuasa Mahkamah tertakluk di bawah undang–undang persekutuan.
Begitu juga pada tahun 1993, kekebalan Raja–Raja Melayu telah dimansuhkan, dan yang paling tidak masuk akal mereka sanggup meminda Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya.
Sejarah telah terbentang dihadapan kita, dan saya kira Utusan Malaysia barangkali terlupa atau terlepas pandang insiden–insiden penting yang merobek Perlembagaan Malaysia selama lebih 50 tahun dilacurkan oleh Barisan Nasional sewaktu memegang tampuk kuasa.
Isu Kristian sebagai agama rasmi, adalah isu murahan yang dimainkan oleh pihak–pihak tertentu untuk melaga–laga dan mengapi–apikan keharmonian umat berbilang agama ini.
Hubungan rapat
Mengapakan kita seringkali menganggap Kristian sebagai musuh, sedangkan Allah (swt) telah mengiktiraf hubungan rapat di antara Muslim dan Kristian di dalam Surah Al Maidah ayat 82:
“Dan demi sesungguhnya engkau dapati juga (wahai Muhammad s.a.w.) mereka yang paling hampir kasih sayangnya kepada orang- orang yang beriman adalah orang-orang yang berkata, “Kami adalah orang-orang Nasara (Kristian), sebabnya mereka itu terdiri daripada kalangan orang alim dan ahli ibadat dan mereka itu tidak sombong.”
Sekiranya, kita meneladani sejarah awal Rasulullah (saw) hubungan rapat di antara Muslim dan Kristian telah lama terwujud.
Ketika menghadapi tribulasi oleh Musyrikin Makkah, Rasulullah (saw) telah memerintahkan para sahabat untuk mencari perlindungan di Habsyah di bawah pemerintahan seorang Raja beragama Kristian yang bernama Najashi yang diiktiraf oleh Rasulullah (saw) sebagai raja yang adil.
Mengapakah hubungan baik ini ingin dicemari dengan sangkaan buruk orang–orang yang dangkal, sempit pemahaman Islamnya dan mempunyai motif politik yang jahat?
Islam telah menyediakan formula terbaik dalam menghadapi fitnah ini. Dalam Surah Al Hujuraat ayat 6 Allah (saw) telah berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Saya menyeru agar kita berhati–hati dan berwaspada dengan media–media syaitan ini.
—
Penulis ialah ahli NGO Lawyers for Liberty.