Lim Kit Siang

Bolehkah BN menang besar dengan menggunakan isu moral?

By Aspan Alias | May 08, 2011
The Malaysian Insider

8 MEI — Nampak cara pemimpin besar kita bercakap dan bergerak pilihanraya semacam dah nak dekat sangat. Kalau dikaji pula cara bergerak pemimpin pembangkang juga menambah keyakinan kita yang waktu untuk memilih siapa yang akan memerintah dan mentadbir negara sudah semakin hampir.

Yang paling menarik sekali ialah isu-isu yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak yang sedang berlumba-lumba mendapatkan keyakinan rakyat semakin panas dan menarik perhatian ramai termasuklah diri saya. Saya dapat agak banyak pandangan dari kawan-kawan yang serius memberi pandangan yang serius baik buruknya sesuatu isu bagi kedua-dua belah pihak itu.

Nampaknya BN/Umno memberikan keutamaan kepada isu moral untuk menjauhkan pengundi dari parti-parti pembangkang. Isu video seks dan sodomi memainkan peranan utama di pihak BN untuk menagih sokongan yang kian menurun untuk kembali kepada pihak pemerintah kerajaan Persekutuan itu. Ramai pemimpin setiap peringkat BN khususnya Umno merasakan kali ini isu terhadap Anwar bak kata orang minang merupakan isu yang ‘mangkuih’ bagi BN.

Beberapa pemimpin Umno yang selalu bersama saya begitu berkeyakinan yang isu video yang dikaitkan dengan Anwar itu akan membawa kembali BN dengan kemenangan di setiap kerusi yang BN telah kalah dahulu. Begitu ‘confident’ sekali mereka ini. Isu moral terhadap Anwar merupakan isu yang memberikan semangat kepada mereka untuk mendapatkan kembali sokongan ramai terhadap BN. Saya hanya mendiamkan diri sahaja kerana keadaan yang sebenarnya berlaku di bawah ini bukannya seperti yang mereka sangka.

Tetapi oleh kerana mereka menganggap mereka pandai dan bijak saya hanyalah menganggokkan kepala sahaja …. dan itu pun yang pemimpin-pemimpin Umno suka … just say ‘yes’. Pemimpin-pemimpin Umno selalunya berasa rimas kalau kita membuat perbahasan terhadap isu yang mereka bahaskan. Berkata benar adalah satu kesalahan besar kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong Umno dan BN.

Saya cuba juga untuk memberikan pandangan yang beza dengan mengatakan kalau BN menggunakan isu moral untuk ‘admonish’ pembangkang ianya akan merugikan BN akhirnya. Tetapi mereka tetap merasakan mereka telah melakukan perkara yang terbaik buat Umno dengan menggunakan isu moral untuk menjatuhkan parti-parti pembangkang. Kalau sudah begitu … gasak dialah. Saya hanya berkata dalam hati saya, “May God bless you!”

Saya hanya berdiam diri selepas itu sambil membaham karipap-karipap tebal yang mereka pesan yang masih ada di hadapan saya itu sampai habis. Habis sahaja karipap-karipap itu saya terus sahaja meminta diri kerana waktu untuk menghantar cucu saya mengaji Quran sudah sampai. Menghantar cucu pergi mengaji lebih berfaedah dari mendengar cerita dongeng yang hanya memberi ‘amusement’ kepada diri mereka sendiri.

Saya merasakan kita hanya membilang ‘buah kerayong’ sahaja setakat ini. Di situ kita menang, di sana kita menang, di sini kita menang besar dan keseluruhannya kita dapat kemenangan 2/3 di DUN Selangor.

Rata-rata di kalangan orang Umno mereka percaya yang isu moral yang dilabelkan terhadap pemimpin pembangkang itu sangat mujarab untuk mendapatkan sokongan ramai. Kita tidak mengambil isu yang baik dan mengambil isu moral untuk menjatuhkan PR. Sesungguhnya ini adalah isu yang ‘counter productive’ bagi Umno dan BN kerana ia hanya membuatkan rakyat berasa mual dan jelek.

Menggunakan isu moral yang tidak ada batas itu memakan diri Umno sendiri. Rakyat bertanya bagaimana pihak yang ditolak rakyat kerana isu moral yang nyata boleh menggunakan isu moral untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat? Umno/BN tidak ada isu moral kah?

Bukankah isu rasuah itu merupakan isu moral yang paling rendah sekali sehinggakan rakyat mempunyai persepsi yang Umno itu adalah rasuah dan rasuah itu adalah Umno. Apa yang membezakan di antara isu seks dengan isu rasuah? Bukankah rasuah itu merupakan kerja hina yang disamakan sebagai mereka yang memakan daging saudaranya sendiri?

Kenapa BN berani-beraninya menggunakan isu moral sebagai senjata yang mereka percaya sebagai senjata yang paling ampuh bagi BN? Rakyat lebih berminat untuk melihat harta yang mereka amanahkan kepada pemimpin itu dijaga dengan baik seperti yang diamanahkan? Rasuah merupakan dosa besar terhadap rakyat. Jika Anwar melakukan sodomi terhadap 50 orang, kerajaan BN pula seolah-olah membuntutkan 28 juta rakyat Malaysia melalui rasuah.

Isu moral hanya akan menjadi isu yang sesuai untuk dimainkan oleh Umno jika Umno sendiri tidak bergelumang dengan isu moral. Masalahnya kita merasakan isu moral ini hanya layak untuk di isukan terhadap pembangkang sahaja. BN di sebaliknya seperti mempunyai kekebalan dalam hal rasuah, jenayah, merogol , membunuh dan sebagainya.

Rasuah berlaku dari atas sehingga ke bawah, dari penggubal dasar sehingga ke pelaksana. Bagaimana pimpinan kita hendak memberi alas an kepada rakyat terhadap isu pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan di peringkat bawah seperti di pejabat-pejabat kerajaan di daerah-daerah yang mempunyai lessen kelas F untuk berlumba dengan kontraktor sepenuh masa misalnya.

Moral yang rendah ini sudah menusuk dengan begitu dalam di dalam sistem perlaksanaan dasar yang telah ditetapkan. Bagaimana Najib hendak menjelaskan kenapa menteri-menteri besarnya yang begitu kaya raya walaupun baru sahaja menjawat jawatan yang di amanahkan rakyat itu?

Bagaimana Najib hendak memberikan alasan kenapa bekas pemimpin utama negara menggunakan wang rakyat sehingga melebihi RM 1 billion untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang gagal? Boleh kah isu ini di tutupi oleh Najib dan barisan kepimpinannya? Berlambak-lambak isu moral terhadap kita boleh di jadikan isu besar oleh pihak lain, tetapi kita masih lagi percaya isu jam omega dan video seks akan memberikan kita kemenangan. Takkanlah jam omega boleh kita jadikan isu untuk memilih kerajaan.

Kenapa payah sangat untuk menyelesaikan isu pemimpin MCA dan Umno yang terlibat dengan kes PKFZ yang melibatkan RM12 billion itu. Ini semuanya isu moral yang melibatkan kehilangan wang rakyat yang berbillion ringgit. Sebaik manakah taraf moral pihak kita untuk mengisukan pihak lain dengan isu sejelek ini. Kita beriya-iya mengatakan berzina itu berdosa besar tetapi tidak pula mengisukan rasuah dengan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anaknya itu tidak pula dikatakan berdosa.

Kita masih lagi berfikir di takuk lama. Ramai di antara kita masih menganggapkan orang ramai masih lagi menerima apa sahaja yang kita perkatakan. Kita masih beranggapan yang orang ramai masih lagi menerima apa sahaja isu yang kita perbesarkan terhadap pembangkang. Kita begitu marah dan kecewa jika orang ramai tidak percaya kepada kita. Kita tidak sedar yang kita sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap parti dan kepemimpinan kita sendiri dalam isu moral ini.

Jadi persoalannya sekarang apa kah yang dimaksudkan oleh PM Najib yang BN akan menggunakan apa juga cara bagi mengambil kembali pemerintahan Selangor itu?

Hendak menggunakan ugutan? Najib dah ugut bangsa Cina dengan memberikan amaran yang Cina tidak akan diwakili di dalam kerajaan jika MCA tidak mendapat sokongan Cina di dalam pilihanraya yang akan datang. Pimpinan Dewan Assembly Hall Cina Kuala Lumpur dan Selangor telah pun menjawab yang mereka tidak perlukan wakil di dalam kerajaan jika MCA mewakili mereka. Mereka telah pun menolak MCA secara terbuka.

Nak lakukan rampasan kuasa seperti yang kita lakukan di Perak? ATAU nak guna bomoh dan ilmu hitam? — aspanaliasnet.blogspot.com

Exit mobile version