Anwar Ibrahim

Hishammuddin’s reply to me on Mat Zain’s allegation on fabrication of evidence on Anwar Ibrahim “black-eye” case

By Kit

December 06, 2010

Penjelasan dan Jawapan secara bertulis oleh Menteri Dalam Negeri kepada soalan-soalan yang tidak sempat dijawab semasa sesi penggulungan perbahasan bajet 2011:

PERKARA YANG DIBANGKITKAN OLEH Y.B. TUAN LIM KIT SIANG:

Merujuk kepada surat terbuka bekas pegawai polis kanan, bekas Ketua CID Kuala Lumpur, Dato’ Mat Zain Ismail yang bertarikh 8 Oktober 2010 yang merupakan bukti kuat bahawa sistem keadilan negara kita terus merosot setelah pembentangan laporan Suruhanjaya Polis Diraja Dzaidin.

Meminta supaya mengkaji semula siasatan kes atas bukti-bukti palsu yang dikemukakan terhadap Dato’ Seri Anwar dalam kes serangan mata lebamnya dalam tahun 1998 demi melindungi kredibiliti kebebasan dan imej PDRM yang telah terjejas serius sejak 2006. Mat Zain telah membuat dakwaan yang serius bahawa bekas Ketua Polls Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail telah mencipta bukti yang palsu dalam serangan mata lebam Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mestilah bertanggungjawab terhadap sistem keadilan jenayah yang kucar-kacir ini. Menyeru supaya Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri memberikan satu penjelasan yang menyeluruh dan memuaskan mengenai perkara ini di Parlimen.

JAWAPAN DAN PENJELASAN OLEH KDN

Untuk makluman Yang Berhormat, pihak PDRM telah membuat semakan ke atas penyiasatan yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kes serangan mata lebamnya pada tahun 1998. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan berlakunya keterangan palsu dalam penyiasatan tersebut. Pendakwaan yang dibuat ke atas Tan Sri Rahim Noor kerana mendatangkan kecederaan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim berdasarkan kepada bukti-bukti yang ditemui dalam penyiasatan kes tersebut. Tan Sri Rahim Noor telah didakwa di Mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan beliau telah mengaku salah di atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman 2 bulan penjara dan denda RM2,000.00 ke atas Tan Sri Rahim Noor di atas pengakuan bersalah beliau terhadap pertuduhan tersebut. Hukuman penjara tersebut telah selesai dijalankan dan kemudian beliau telah dibebaskan. PDRM berpandangan bahawa pertuduhan yang telah di buat ke atas Tan Sri Rahim Noor tersebut adalah selaras dengan keterangan yang dikumpulkan oleh pihak polis.

Justeru, ingin saya nyatakan bahawa tidak berlaku apa-apa kucar-kacir di dalam sistem keadilan jenayah di negara ini ekoran daripada kejadian tersebut sebagaimana dakwaan Yang Berhormat. Prinsip pengasingan kuasa (separation of power) memperuntukkan polis yang ditugaskan untuk menjalankan tugas siasatan jenayah manakala Jabatan Peguam Negara adalah bertanggungjawab menjalankan pendakwaan jenayah sebagaimana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Mahkamah pula berfungsi sebagi tempat untuk mendengar dan membicarakan kes adalah masih utuh.

Oleh kerana itu, ketiga-tiga badan ini masih memainkan peranan yang ditetapkan agar tidak ada campur tangan dalam perkara-perkara yang melibatkan sistem keadilan jenayah di negara ini.

Untuk makluman Yang Berhormat juga, setakat ini tidak ada sebarang laporan polis yang telah dibuat ke atas surat terbuka bekas Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur seperti yang telah tersebar di dalam internet sebelum ini. Selain itu, kandungan surat tersebut juga tiada mempunyai sebarang unsur hasutan, fitnah, ugutan jenayah mahupun lucah bagi membolehkan PDRM untuk menjalankan siasatan.